EMI Idura aktif berkongsi panduan bergaya dengan cara dengan betul.
EMI Idura aktif berkongsi panduan bergaya dengan cara dengan betul.
Muhamaad Razis Ismail


SAMBUTAN Aidilfitri pada tahun ini amat istimewa bagi masyarakat di negara ini selepas hampir dua tahun negara diserang pandemik Covid-19.

Nampaknya pada tahun ini kelonggaran diberikan kerajaan susulan keadaan semakin terkawal dengan kadar jangkitan semakin berkurangan.

Perunding Imej dan Warna Profesional, Emi Idura Che Hashim berkata, salah satu aktiviti yang tidak dapat elakkan apabila tibanya musim perayaan adalah membeli baju raya baharu.

Katanya, mungkin terdapat juga senarai tambahan seperti langsir baru, set sofa dan paling sinonim dengan wanita adalah gelang raya baru.

"Terdapat segelintir yang sanggup mengeluarkan belanja yang besar seolah-olah ingin membalas dendam, untuk beraya 'sakan' pada tahun ini.

"Ini bukan sahaja dilihat bagaimana orang ramai memilih untuk berbuka puasa di luar sama ada di hotel mewah dan restoran malah koleksi baju raya oleh pereka fesyen tempatan juga dilihat habis terjual di kebanyakan laman web mereka," katanya.

Bagaimana pula dengan nasib mereka yang masih lagi terkesan dengan pandemik Covid-19, di mana kuasa membeli apabila kedatangan Syawal tidak lagi hebat seperti dulu?

GUNA koleksi pakaian  sedia ada, pilih dan bandingkan warna asalkan ia masih padan.
GUNA koleksi pakaian sedia ada, pilih dan bandingkan warna asalkan ia masih padan.

Bagi mereka yang tiada pilihan, terpaksa akur dengan keadaan ekonomi semasa keluarga yang tidak mengizinkan.

Mereka, terpaksa menolak ke tepi segala nafsu membeli baju raya baru apatah lagi nak merasa berbuka ala-ala kayangan di luar sana.

Menurutnya, tidak hairanlah jika ada yang memilih untuk beraya serba sederhana seperti tahun sebelumnya.

"Mereka sudah terbiasa dengan sambutan sebegitu dan memilih cara bersederhana," katanya.

PEMILIHAN warna pakaian mengikut musim.
PEMILIHAN warna pakaian mengikut musim.

Emi Idura berkata, biarpun begitu, Aidilfitri masih boleh disambut dengan meriah dengan melupakan perasaan 'fear of missing out' (FOMO).

"Anda masih boleh menggunakan koleksi baju raya lama dengan kaedah dan strategi yang betul.

"Pendekatan ini bukan sahaja menjimatkan malah dapat mengelakkan pembaziran sekali gus mengurangkan 'kesesakan' pakaian di dalam almari ," katanya.

Emi Idura yang juga pengarang buku Kuasa Warna berkongsi empat rahsia dan strategi yang boleh diaplikasikan untuk tampil menarik ketika hari raya:

GUNAKAN pakaian sedia ada untuk menjimatkan perbelanjaan.
GUNAKAN pakaian sedia ada untuk menjimatkan perbelanjaan.

1. Rahsia #Stylerepeats

- Ramai yang mungkin tidak pernah mengetahui kewujudan terma atau kaedah ulang gaya atau 'style repeats movements' yang pernah diperkenalkan oleh pengasas Huffington Post dan Thrive Global, Arianna Huffington.

- Secara peribadi, sebagai perunding imej dan warna profesional, saya juga sering mengamalkan #stylerepeats ini baik untuk pilihan gaya ketika mengendalikan program imej, menghadiri majlis-majlis rasmi mahupun majlis hari raya atau bertanding ke majlis kahwin.

- 'Style repeats' ini sebenarnya mendidik diri kita untuk berasa cukup dengan koleksi sedia adadan apa yang kita perlukan adalah sedikit kreativiti bagaimana untuk suai padan supaya nampak baru dan segar.

2. Senaraikan warna atau tema yang pernah dimiliki

- Sebelum aktiviti ini berlaku, pastikan baju-baju itu masih muat untuk dipakai dan ketepikan ia untuk kita susun-atur strategi.

3. Suai padan 'kuasa warna'

i) Untuk wanita atau isteri- pilih salah satu baju raya yang berkenan di hati.

- Jika baju yang dipilih itu bercorak, maka pilihan tudung haruslah polos dan diambil daripada warna yang terkecil di dalam corak itu. Bukannya warna daripada latar baju (base color) berkenaan. Ini kesalahan suai padan yang biasa kita lihat.

- Ulangi warna tudung tadi sebagai pilihan warna baju Melayu si suami dan anak-anak.

- Bagaimana pula jika kita tak pernah memiliki baju bercorak? Tiada masalah, boleh saja memilih baju raya yang polos, tapi pastikan pilihan tudung harus disuai padan daripada koleksi bercorak atau bermotif.

- Pilih salah satu warna terkecil di dalam corak tudung untuk disuai padan untuk si suami dan anak-anak.

ii) Suai padan mengikut skim warna. Cara-caranya adalah dengan menyuai padankan warna anda dan pasangan atau anak-anak berdasarkan skim warna berikut :-

Skim warna 'complementary'

- Antara pilihan merah dengan hijau, ungu dengan kuning, biru dengan jingga, Saya akui pilihan warna ini agak 'bold' dan 'daring' - tetapi adakalanya ia sesuai buat seisi keluarga yang gemar memilih gaya dramatik bukan klasik.

Skim warna 'analogous'

-Tema berunsurkan warna sejuk - padanan warna biru, biru kehijauan (turquoise), biru keunguan, ungu, atau merah keunguan dalam satu gaya keluarga.

- Tema yang berunsurkan warna hangat pula boleh dipilih daripada warna merah, merah jingga, jingga, kuning jingga atau kuning.

- Analogous ini masih lagi kelihatan harmoni dan tidak terlalu dramatik berbanding skim warna 'complementary.'

Skim warna monochromatic

- Bukan pilihan warna hitam, putih dan kelabu. Monochromatic ini merujuk kepada pilihan satu warna, cuma berlainan tona sahaja.

- Contoh, daripada himpunan koleksi baju raya yang ada, ketepikan himpunan warna daripada palet yang sama. Sekiranya memiliki koleksi biru gunakan yang berlainan tona.

- Jika mengikut terma analisa warna peribadi, ia merujuk kepada warna berdasarkan musim iaitu sejuk, panas, luruh dan bunga.

- Bagi orang kebiasaan, mungkin terma yang biasa kita gunakan - biru tua (gelap), biru muda, biru terang (royal blue) dan biru kusam.

- Variasi pilihan warna biru seperti di atas memberikan lebih keharmonian kepada si pemakainya, jika dipilih dengan tepat.

- Berbanding dengan tema biru yang biasa digayakan, kita perlukan sedikit kelainan dalam strategi suai padan hari ini.

4. Pilihan fesyen klasik bagi mereka yang tidak berkemampuan tetapi tidak mahu merasa ketinggalan dengan trend fesyen terkini, pilihlah satu daripada koleksi fesyen klasik berbanding fesyen trend.

- Fesyen klasik seperti kurung moden boleh diibaratkan fesyen yang tidak lapuk ditelan zaman. Walaupun sudah beberapa tahun berlalu, mengenakan pakaian ini tidak membuatkan kita rasa ketinggalan dan malu.

- Berbanding dengan fesyen trend, mengenakannya setelah beberapa tahun membuatkan kita berasa baju atau tudung itu sudah agak ketinggalan dan tidak lagi relevan dengan keadaan semasa.

EMI Idura tidak lokek berkongsi ilmu.
EMI Idura tidak lokek berkongsi ilmu.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 30 April 2022 @ 6:20 AM