BAWA seminimum mungkin, tapi meliputi keperluan asas keluarga.
BAWA seminimum mungkin, tapi meliputi keperluan asas keluarga.
Muhamaad Razis Ismail


Sejak kerajaan memberi kelonggaran untuk merentas negeri, aktiviti pelancongan yang terjejas teruk sebelum ini dilihat kembali rancak.

Apa tidaknya, ramai mengambil peluang untuk bercuti di dalam mahupun di luar negara untuk meredakan tekanan dan stres kerana sudah lama terpaksa berkurung di rumah berikutan pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

Bagaimanapun, bercuti boleh memberikan tekanan kepada mental dan fizikal apabila sampai ke destinasi tanpa persediaan rapi.

Perunding imej dan warna profesional, Emi Idura Che Hashim berkata, melalui satu kajian yang dijalankan ke atas lebih 1,000 orang di Britain mendapati bahawa 33 peratus wanita berasakan perancangan percutian dan tempoh perjalanan banyak memberikan tekanan kepada mereka berbanding pasangannya.

"Ini kerana golongan wanita, seorang isteri, juga ibu kepada anak-anaknya berasakan mereka perlu bertanggungjawab dalam menyusun atur, mengemas beg supaya segala keperluan perjalanan cukup lengkap sedangkan pasangannya dilihat mengambil sikap mudah dan santai pula.

"Bagi anda yang berasakan diri anda tergolong dalam sebahagian peratusan kajian di atas, saya percaya ada beberapa strategi yang boleh anda praktikkan bagi mengurangkan tekanan kepada perjalanan itu tadi," katanya ketika dihubungi.

KENAL pasti pakaian yang sesuai.
KENAL pasti pakaian yang sesuai.

Menurutnya, pengalaman dalam bab pengurusan perjalanan percutian ini sebenarnya banyak mengajarnya erti lebih berdikari dan nikmati kepuasan apabila segalanya berjalan lancar seperti dirancang.

"Matlamat saya adalah dengan merancang percutian dengan membawa seminimum mungkin, tapi masih meliputi semua keperluan asas sekeluarga. Agak sukar bunyinya, tapi boleh dipraktikkan

"Ia sedikit sebanyak mungkin boleh membantu anda bagaimana untuk pergi bercuti dengan bebas tekanan dan yang penting dengan bagasi kecil dan terhad, tetapi masih mampu memaksimumkan gaya.

"Tetapi, percayalah apabila segalanya cukup teratur, anda bukan sahaja akan kelihatan hebat, tapi mood percutian yang lebih menyeronokkan," katanya.

Emi Edura berkongsi panduan bagi mengurangkan tekanan untuk menguruskan barang keperluan untuk bercuti.

1. Mengenal pasti jenis pakaian yang hendak dibawa

• Bayangkan jika anda sangkakan cuaca di negara ingin dilawati masih panas, sedangkan musim sebenarnya adalah musim sejuk.

• Ya, tidak saya nafikan, ini boleh berlaku kiranya anda melawati negara seperti Australia di antara Jun hingga Ogos berbanding negara di Eropah.

• Dengan mengenal pasti musim negara ingin dilawati ini, ia dapat memberikan anda sedikit petunjuk, jenis pakaian dan fabrik yang sesuai untuk dibawa.

• Jika di dalam negara pula, jadual program percutian boleh memberikan anda sedikit petunjuk akan jumlah dan jenis pakaian mengikut majlis atau tempat yang akan dihadiri.

• Bagi memberikan efek keselesaan kepada pemakainya, jenis pilihan fabrik amat penting.

Fabrik yang nipis dan mudah menyerap peluh mungkin akan menjadi pilihan.

RANCANG percutian dengan membuat senarai semak.
RANCANG percutian dengan membuat senarai semak.

a. Fabrik kain kapas

Fabrik ini mampu menyejukkan badan dan menyerap peluh dengan mudah, sebaliknya mampu memberikan rasa hangat ketika musim sejuk.

b. Fabrik sutera

Terkenal dengan lambang kemewahan, ia lembut, berkilau dan adalah satu gred fabrik tertinggi yang memberikan keselesaan kepada si pemakai dalam semua jenis cuaca.

c. Fabrik linen

• Antara jenis fabrik yang sering menjadi pilihan mereka yang berpersonaliti gaya klasik elegan dan kasual minimalis kerana elemennya yang kelihatan ringkas, tetapi mewah. Ramai sedia maklum bahawa baju berfabrik linen ini biasanya dijual pada harga yang agak mahal berbanding fabrik kapas biasa. Antara lain ramai juga kurang menggemari fabrik ini sebagai koleksi wardrobe mereka kerana sifat fabriknya yang agak sukar digosok dan seringkali mudah berkedut sebaik kita duduk.

• Bersifat anti peluh, hypoallergenic dan antibakteria. Menurut kajian, bagi mereka yang mengalami masalah dermatologi, fabrik linen seharusnya menjadi pilihan kerana ia tidak akan merengsakan kulit si pemakainya.

2. Memilih skema warna

• Jika anda mengehadkan pemilihan warna berdasarkan lima koleksi tona warna terbaik anda, bukan sahaja anda akan nampak hebat berpenampilan, tetapi memudahkan lagi untuk memadankan dengan pakaian yang dibawa pada bila-bila masa.

• Bayangkan jika anda membawa sejumlah pakaian yang pelbagai warnanya seakan koleksi warna-warna pelangi, tentunya ia memerlukan ruangan bagasi lebih besar kerana teknik suai padan menjadi agak sukar dan terhad pula.

• Anda perlu ingat, percutian sesuatu yang sering dinantikan setiap individu, tetapi amat memenatkan jika tiada perancangan rapi.

• Apa lagi, jika anak-anak dan suami memerlukan khidmat kepakaran anda dalam bab mengemas dan memilih yang terbaik. Pemilihan jumlah aksesori seperti fesyen aksesori rantai, kasut ,hijab juga lebih minimum kepada skema warna yang dipilih tadi.

3. Aplikasi teknik kapsul wardrobe

• Kapsul 'wardrobe' ini merujuk kepada koleksi pakaian yang boleh ditukar ganti dan dipadankan dengan koleksi pakaian sedia ada bagi memaksimumkan jumlah pakaian yang boleh digayakan.

• Tujuannya adalah untuk mempunyai pakaian yang sesuai untuk sebarang majlis tanpa memiliki koleksi pakaian yang berlebihan.

• Ini biasanya boleh dicapai dengan membawa apa yang dianggap sebagai 'kunci' dalam menyelaraskan warna (pakaian), kesesuaian 'undertone' kulit masing-masing, bentuk badan, jenis fabrik berkualiti, corak dan reka bentuk klasik.

• Ringkasnya, ia adalah himpunan lima hingga lapan jenis pakaian berlainan seperti (blaus, jean, skirt dan seluar) yang sesuai dipadankan dengan satu sama lain.

• Pilih jalur dan gaya yang sederhana juga kemasan fabrik yang bersesuaian. Himpunan pakaian klasik sebenarnya lebih mudah dipadankan.

• Jika anda memilih untuk merancang sebuah percutian yang hebat, dengan membawa keperluan bagasi yang terhad sambil memaksimakan gaya, ini rahsianya yang perlu anda pelajari.

4. Bercuti dengan senarai semak bijak

• Rancang percutian dengan membuat senarai semak perjalanan bijak dan menggunakannya secara konsisten. Ia boleh dimulai dengan menyenaraikan satu persatu.

• Dokumen perjalanan dan dokumen penting lain.

• Jenis pakaian dan aksesori pilihan (diri, suami dan anak-anak).

• Alat solek dan barangan penjagaan diri.

• Barangan kesihatan dan kecantikan.

• Alatan elektronik.

• Barangan keperluan bayi (jika perlu).

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 16 Disember 2021 @ 6:30 AM