NORAMIRA bersama Mohd Najib serta ditemani anak mereka membuat ketupat palas buat kali pertama di rumah mereka di Taman Molek, Johor Bahru. FOTO NUR AISYAH MAZALAN
NORAMIRA bersama Mohd Najib serta ditemani anak mereka membuat ketupat palas buat kali pertama di rumah mereka di Taman Molek, Johor Bahru. FOTO NUR AISYAH MAZALAN
Mary Victoria Dass


Johor Bahru: Seorang suri rumah menghasilkan 100 ketupat palas untuk dijadikan juadah Aidilfitri selain diagih kepada jiran sebagai cara mengubati rindu dengan keluarga di Terengganu.

Noramira Jalil, 31, berkata dia bersyukur kerana hasratnya untuk menghasilkan ketupat palas buat kali pertama disambut baik suaminya, Mohd Najib Mohaini, 36.

Ibu kepada tiga cahaya maya itu berkata, dia yang berasal dari Telemong, Terengganu tidak dapat pulang ke kampung selama dua tahun bagi meraikan Syawal.

Menurutnya, pada tahun ini sepatutnya dia pulang ke rumah ibu mentua di Batu Pahat, namun terpaksa membatalkan perancangan itu sebagai langkah pematuhan kepada Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

"Biarpun masih dapat berkomunikasi menerusi panggilan video, saya dan suami amat merindui keluarga masing-masing mahupun juadah Hari Raya disediakan mereka.

"Saya dan suami memang pandai menghasilkan lemang dan ketupat yang menjadi makanan tradisional Johor.

"Namun pada tahun ini kami memilih untuk mencuba membuat ketupat palas dan mendapatkan resipi dari YouTube selain tip dari ibu di kampung halaman," katanya yang tinggal di Taman Molek, di sini.

Sementara itu, Najib yang bekerja sebagai jurugambar di Jabatan Penerangan Johor selama 14 tahun berkata, dia dan isterinya mengambil masa tujuh jam bagi menyediakan 100 ketupat palas.

"Kami akan berkongsi bersama jiran pada tahun ini dan bercadang untuk memasak bagi keluarga di Batu Pahat dan Terengganu pada tahun depan sekiranya berpeluang beraya di kampung.

"Proses memasak ketupat ini agak sukar dan mencabar dan perlu memilih daun palas tidak begitu muda atau tua ketika memasak.

"Bahan digunakan termasuk beras pulut, santan dan garam. Diharap juadah akan diagihkan kepada jiran dapat menjalin silaturahim selain memeriahkan lagi sambutan Aidilfitri walaupun hanya beraya di rumah masing-masing," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 12 Mei 2021 @ 10:44 PM