SELEMA.
SELEMA.
KETUPAT palas sejuk beku.
KETUPAT palas sejuk beku.
SELEMA tekun membuat ketupat palas.
SELEMA tekun membuat ketupat palas.
SELEMA mengacau pulut supaya tidak berketul-ketul.
SELEMA mengacau pulut supaya tidak berketul-ketul.
ZURAIDAH (kiri) membungkus ketupat palas untuk disejuk beku.
ZURAIDAH (kiri) membungkus ketupat palas untuk disejuk beku.
Oleh Ainal Marhaton Abd Ghani

Menggalas tugas dan tanggungjawab menjadi ketua keluarga selepas suami tercinta, Mohd Ali Ismail menghadap Illahi 15 tahun lalu menjadikan wanita ini menggunakan tulang empat keratnya mencari rezeki untuk menampung belanja rumah dan membiayai persekolahan enam anaknya.

Sinonim dengan panggilan Tok Mie dalam kalangan cucu-cucunya, Selema Othman, 64, nekad menggunakan kudratnya berniaga pelbagai jenis makanan dan dihantar ke kedai makan serta kedai runcit berdekatan rumahnya di Kampung Rhu Muda, Marang, Terengganu.

Tidak pernah bersungut dengan keadaan sukar yang diharungi, Selema sentiasa memotivasi dan berusaha menjadi ibu dan ayah demi anak-anak dalam meneruskan kelangsungan hidup.

Kini walaupun semua anak sudah berjaya dalam kehidupan masing-masing, Selema tetap meneruskan minatnya berniaga makanan kerana sudah sebati dengan kehidupan yang dilalui sejak lebih 35 tahun lalu.

“Bagaimanapun, tumpuan kini lebih kepada menerima tempahan makanan daripada jiran tetangga dan penduduk kampung kerana kudrat juga sudah berkurangan,” katanya.

Menyingkap kisah lalu, Selema berkata, tanpa mengenal penat lelah dan sakit pening, dia tetap menyiapkan jualannya di samping menguruskan anak-anak yang masih bersekolah ketika itu.

“Macam-macam makanan dan kuih-muih yang dijual termasuk ketupat ubi, pulut panggang, kuih-muih tradisional sehingga ketupat palas yang menjadi sumber pendapatan utama keluarga.

“Dengan duit jualan ini juga sebahagiannya saya simpan dan membesarkan anak sehingga masuk universiti.

“Permintaan bertambah setiap kali musim perayaan seperti hari raya puasa dan hari raya haji serta tempahan kenduri kahwin serta pelbagai majlis yang diadakan di sekitar kampung,” katanya yang perlu menyediakan lebih 1,000 biji untuk menampung permintaan setiap kali menyambut hari raya puasa.

Menurutnya, walaupun menerima tempahan tinggi daripada penduduk kampung, kekangan pembantu membuatnya terpaksa menolak tempahan.

Perbualan daripada mulut ke mulut mengenai ketupat palas berkenaan menyebabkan ia semakin dikenali. Permintaan juga semakin bertambah membuatkannya semakin yakin untuk meneruskan perniagaan itu.

“Ketika itu, saya tiada kaedah untuk menyimpan stok yang banyak. Bimbang jika dibuat dalam kuantiti yang banyak, tetapi kaedah penyimpanan yang tidak betul, ia boleh rosak dan menjejaskan kualiti ketupat itu sendiri dan menampung kerugian pula.

“Sebelum bermula Ramadan tahun ini, anak saya, Zuraidah memperkenalkan kaedah penyimpanan secara sejuk beku bagi memenuhi permintaan pelanggan yang jauh,” katanya.

Dia memerlukan tiga hingga lima kilogram beras pulut untuk menghasilkan 200 hingga 370 ketupat palas untuk satu pusingan. Sehari antara dua atau tiga kali pusingan (kukus beras pulut) bagi memenuhi tempahan.

“Saya buat berdasarkan permintaan, tapi sekarang sudah ada ketupat sejuk beku, tidaklah terlalu susah untuk menerima tempahan pelanggan.

“Begitupun, di kampung saya, penduduk masih boleh mendapatkan ketupat segar yang belum disejuk beku. Kebanyakan ketupat sejuk beku untuk Zuraidah yang selalu menerima tempahan daripada rakan dan pelanggan Facebooknya,” katanya.

Menurutnya, cara penyediaan ketupat palas sama saja antara yang biasa dan sejuk beku.

“Untuk tiga kilogram beras pulut, saya menggunakan 600 gram santan pekat, 600 gram air, enam sudu besar gula dan garam, tetapi tiada bahan pengawet digunakan. Santan dan pulut dimasak dengan sebaiknya supaya ketupat tidak mudah basi.

“Daun palas pula diperoleh daripada pembekal yang mencarinya di hutan. Saya lebih suka menggunakan daun muda atau bahagian pucuk kerana lembut dan mudah dibentuk sebagai kelongsong,” katanya.

Menurutnya, beras direndam satu jam sebelum dikukus dalam tempoh sama. Selepas itu, ia disalin dalam besen besar dan ‘diharung’ dengan santan yang sudah dicampurkan dengan air, garam dan gula bagi menimbulkan rasa lemak manis.

“Beras pulut ini perlu disebatikan dengan santan ketika masih panas, jika tidak ia akan membeku dan berketul-ketul menjadikannya tidak sekata.

“Sebaik santan dan pulut sudah sebati terus masukkannya dalam kelongsongnya, tetapi tidak perlu dikukus semula untuk mengekalkan kualiti dan kesegaran daun palas itu,” katanya sambil menambah, ketupat itu boleh dimakan terus atau digoreng.

Selain itu, katanya, proses mengacau pulut juga amat penting bagi memastikan pulut tidak melekat di sudip.

Katanya, pulut yang sudah diisi dalam sarung ketupat itu kemudian dimasukkan dalam plastik dan dibiarkan sejuk sepenuhnya sebelum disimpan dalam peti sejuk beku.

“Untuk ketupat biasa, ia dihantar terus kepada pelanggan. Ketupat sejuk beku perlu dikukus semula sebelum menikmatinya, tetapi rasanya tetap sama,” katanya mengakui ketupat sejuk beku itu boleh bertahan sehingga tiga bulan.

Sementara itu, Zuraidah berkata, dia berusaha mencari kaedah terbaik untuk memenuhi permintaan pelanggan yang semakin meningkat ketika bulan puasa lalu.

“Saya tidak mempunyai pilihan selain menggunakan kaedah cuba jaya dan melihat cubaan saya bekukan ketupat itu kemudian dikukus semula tidak menjejaskan kualiti rasa dan kelongsong itu sendiri.

“Alhamdulillah, ia berjaya sekali pun saya tidak menggunakan bahan pengawet,” katanya.

Menurutnya, peringkat permulaan memang sukar mendapatkan keyakinan pelanggan yang masih ragu-ragu mengenai kualiti makanan sejuk bekunya itu.

“Bagaimanapun, saya menerima maklum balas positif apabila mereka mula membuat pesanan ulangan.

“Pastinya ia satu perkhabaran menggembirakan ibu saya dan saya sedia membantunya meningkatkan pasaran walaupun masih terhad kerana tiada pembantu untuk menghasilkannya dalam jumlah yang besar,” katanya.

Sepanjang Ramadan lalu, Zuraidah meminta ibunya membuat ketupat palas dalam kuantiti yang banyak dan mengambilnya untuk disejuk beku di rumahnya bagi memenuhi permintaan pelanggan terutama yang memerlukan pengeposan.

“Saya cuba mempromosikan di FB menggunakan akaun Ketupat Palas TokMie, ternyata langkah itu tepat apabila ramai peminat ketupat ini bertanya mengenainya.

“Saya terangkan kepada mereka terutama kaedah sejuk beku itu, secara tidak langsung mereka memahami dan terus membuat tempahan,” katanya yang turut menjual pelbagai jenis coklat dan kek.

Zuraidah lebih senang mengambil stok ketupat daripada ibunya kerana kekangan waktu untuk membuat sendiri, selain mahu mengekalkan cita rasa dan aroma ketupat palas itu sendiri.

“Apabila pelanggan sudah serasi dengan air tangan ibu, mereka tidak lagi menempah dengan orang lain dan saya tidak mahu pelanggan tetap lari,” katanya yang mempunyai pelanggan tetap di Kuala Lumpur, Segamat, Johor, Balakong dan Shah Alam, Selangor serta di Labuan, Sabah.

Menurutnya, 25 ketupat dijual pada harga RM20, 50 biji (RM35) dan 500 biji (RM280) manakala ketupat mini mengandungi 10 biji dengan serunding daging kering pula dijual pada harga RM10 sebekas.

“Bagi yang memerlukan perkhidmatan penghantaran cepat, tempahan melebihi 500 biji adalah percuma sebagai penghargaan kepada mereka.

“Bagi yang dekat, boleh membeli atau mengambil sendiri atau dihantar terus ke rumah mereka pada hari tertentu,” kata ibu kepada empat cahaya mata ini.

Menurutnya, dia perlu menyimpan stok ketupat sejuk beku di rumahnya bagi memudahkannya memenuhi permintaan pelanggan yang tidak tentu masa membuat tempahan.

“Paling tidak saya perlu menyimpan 1,000 ketupat sejuk beku kerana tempahan menerusi dalam talian sentiasa ada sehingga ada ketika tidak dapat menampung permintaan kerana hanya ibu seorang yang membuatnya di kampung,” katanya yang tidak menyangka tempahan ketupat sejuk beku itu semakin meningkat.

Zuraidah berkata, ibunya pernah menyatakan hasrat untuk melepaskan kemahiran membuat ketupat palas itu kepada anak cucunya yang banyak membantunya menguruskan jualan sama ada di kampung atau di rumah Zuraidah.

“Ibu mahu adik lelaki saya (Zualizam, 25) mengembangkan perniagaan yang kami usahakan terutama selepas menerima permintaan dalam bentuk sejuk beku.

“Apa yang perlu dilakukan adalah meningkatkan ilmu pemasaran dan saya sedia membantunya bagi mencapai hasrat ibu untuk memajukan perniagaan ini dalam skala yang lebih besar,” katanya yang turut mendapat sokongan moral suami, Mohd Rashiddin Rashid,34.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 26 November 2015 @ 10:17 AM