Hazira Ahmad Zaidi

Kota Bharu: Dua beranak dari Kampung Kubang Palas, Banggu di sini, tidak menang tangan menyiapkan tempahan 17,000 biji ketupat palas sempena Aidilfitri, minggu depan.

Rahimah Omar, 62, dan anaknya Tuan Norliza Tuan Abdullah, 40, perlu menyiapkan sekurang-kurangnya 1,000 biji ketupat palas setiap hari sejak lima hari lalu.

Katanya, dia juga tidak lagi menerima tempahan baharu pada minggu kedua Ramadan kerana bimbang sukar menyiapkannya, apatah lagi kebanyakan pelanggan menempah lebih awal.

"Walaupun menerima banyak permintaan daripada penduduk kampung dan orang luar, namun disebabkan kekangan pembantu untuk membungkus ketupat palas, saya terpaksa menolak tempahan berkenaan kerana bimbang tidak dapat menyiapkannya," katanya ketika ditemui di rumahnya di Kampung Kubang Palas.

Rahimah berkata, setiap hari dia akan memulakan kerja seawal 7 pagi untuk mengukus pulut secara berperingkat dengan kira-kira 20 kilogram beras pulut direndam semalam.

"Kemudian perlu 'mengarong' (mengadun) pulut bersama santan, yang mana ia agak memenatkan kerana perlu sentiasa dikacau dengan senduk kayu supaya adunan lebih sebati.

"Kebiasaannya proses menyediakan ketupat ini berakhir sehingga lewat malam iaitu proses terakhir membungkus dengan daun palas," katanya.

Ibu kepada sembilan anak itu berkata, dia membuat lima jenis ketupat bersama serunding daging yang dijual pada harga RM1 sebiji, manakala bagi ketupat manis, lemak, manis kacang dan pulut hitam pula dijual 80 sen sebiji.

Katanya, dia juga mengekalkan harga jualan meskipun berdepan kenaikan harga bahan mentah kerana tidak mahu membebankan pelanggan.

Akuinya cabaran paling besar adalah mencari daun palas kerana daun itu yang semakin sukar diperoleh.

"Kebiasaannya daun palas ini dicari di kawasan hutan berhampiran rumah dan pucuk palas yang muda dan lebar daripada pokok yang segar menjadi pilihan.

"Jika tidak cukup, saya terpaksa membeli daun palas ini daripada penduduk kampung sekitar," katanya lebih 30 tahun menjual ketupat palas.

Ketika tempoh pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan yang lalu, Rahimah menerima tempahan sehingga 21,000 biji ketupat pada Aidilfitri.

Rahimah menunjukkan ketupat palas yang sudah siap dibungkus ketika ditemui di rumah mereka di Kampung Kubang Palas, Banggu. FOTO HAZIRA AHMAD ZAIDI
Rahimah menunjukkan ketupat palas yang sudah siap dibungkus ketika ditemui di rumah mereka di Kampung Kubang Palas, Banggu. FOTO HAZIRA AHMAD ZAIDI

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 11 April 2023 @ 9:34 AM