GEJALA biasa juga membabitkan pengurangan berat badan tidak sengaja, berpeluh pada waktu malam dan demam tanpa sebab.
GEJALA biasa juga membabitkan pengurangan berat badan tidak sengaja, berpeluh pada waktu malam dan demam tanpa sebab.
Fairul Asmaini Mohd Pilus


LIMFOMA adalah sejenis kanser yang berasal daripada transformasi malignan limfosit (sejenis sel darah putih).

Menurut klasifikasi terbaharu Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) mengenai kanser berkaitan dengan darah, limfoma boleh dikelaskan secara amnya kepada dua kumpulan utama iaitu Limfoma Hodgkin dan Limfoma bukan Hodgkin (NHL).

Diffuse large B cell lymphoma (DLBCL) adalah sejenis NHL agresif yang merangkumi kira-kira 40 hingga 50 peratus daripada semua NHL yang didiagnosis di Malaysia.

Perunding Hematologi Klinikal Pusat Perubatan Universiti Malaya, Dr Edmund Chin berkata, pesakit selalunya mengalami noda limfa membesar dan gejala-gejala konstitusional (pengurangan berat badan tidak sengaja, berpeluh pada sebelah malam dan demam tanpa sebab).

Kata Dr Chin, kadang kala ia boleh memberi kesan kepada organ lain selain dari noda limfa dan ini dipanggil xtra nodal.

"Penyakit ini merebak dengan pantas dan agresif serta memerlukan rawatan segera.

"Pada masa ini, rawatan awal untuk DLBCL yang baru didiagnosis adalah kombinasi imunoterapi (antibodi monoklonal) dan kemoterapi.

"Kemoterapi sudah digunakan untuk rawatan DLBCL selama lebih dari 40 tahun manakala imunoterapi baru sahaja diluluskan oleh Pentadbiran Makanan dan Ubat-ubatan Amerika Syarikat pada tahun 2006," katanya.

Menurut Dr Chin, kombinasi imunoterapi dan kemoterapi membawa kepada hasil rawatan yang lebih baik berbanding dengan kemoterapi sahaja.

Dianggarkan, kombinasi rawatan itu menyembuhkan sekitar 50 hingga 60 peratus daripada pesakit.

Jelas Dr Chin, kira-kira 30 hingga 40 peratus pesakit akan relaps (berulang) selepas tindak balas awal terhadap rawatan atau tidak mampu untuk mencapai remisi dengan terapi awal (penyakit refraktori).

Katanya, pesakit yang mengalami relaps atau penyakit refraktori (R/R DLBCL) secara amnya mempunyai prognosis yang lemah dengan jangkaan kelangsungan hidup median sekitar tiga hingga empat bulan tanpa terapi.

"Bagi mereka yang tidak mempunyai tindak balas terhadap pelan rawatan penyelamatan semasa, kelangsungan hidup pula dianggarkan lima hingga tujuh bulan.

"Standard penjagaan semasa untuk pesakit dengan relaps atau penyakit refraktori adalah kemoterapi penyelamatan (iaitu rejimen rawatan berbeza dari yang awal) diikuti dengan pemindahan sel stem haematopoietik autologous (ASCT)," katanya.

Namun kata Dr Chin, warga emas dan pesakit yang mempunyai masalah kesihatan lain mungkin tidak akan dapat menerima modaliti terapi itu.

Katanya, untuk pesakit yang boleh menjalani rejimen rawatan semasa itu, hanya 50 peratus mempunyai tindak balas terhadap kemoterapi penyelamatan dan dalam kalangan yang memberi tindak balas, hanya 50 peratus sahaja yang boleh menjalani pemindahan sel stem haematopoietik autologous.

"Untuk pesakit yang memberi tindak balas dan melakukan pemindahan, hanya 30 hingga 40 peratus kekal bebas rebakan (penyakit adalah stabil) selepas tiga tahun.

"Malah, analisa data dunia sebenar 126 buah institusi hematologi/onkologi di Amerika Syarikat untuk tahun 2010 hingga 2016 menunjukkan bahawa hanya 13 peratus daripada pesakit yang menjalani kemoterapi penyelamatan untuk tujuan ASCT meneruskan dengan ASCT.

"Ini jelas menunjukkan bahawa terdapat keperluan yang tidak dipenuhi berkaitan dengan pesakit yang lemah dan atau berumur malah juga pesakit lebih muda/sihat dengan R/R DLBCL menggunakan rejimen rawatan semasa," katanya.

Menyentuh soal masa depan pesakit pula, Dr Chin berkata, syukur kini terdapat kemajuan besar dalam pemahaman biologi DLBCL bagi membolehkan banyak terapi baharu untuk R/R DLBCL yang kini disediakan atau akan boleh didapati dalam masa terdekat.

Kata beliau, strategi rawatan baharu itu menjanjikan anjakan paradigma untuk bagaimana R/R DLBCL dirawat dan memastikan memenuhi keperluan yang tidak dipenuhi sebelum ini.

Antara modaliti rawatan baharu itu, beberapa rawatan diluluskan untuk digunakan dan beberapa rawatan yang lain pula berkemungkinan untuk diluluskan dalam masa yang terdekat.

Ia termasuk antibodi monoklonal baru dan diperkuat, konjugat antibodi-ubat (ADCs), ejen imunomodulatori, bispecific T cell engagers (BiTEs), perencat laluan molekular atau perencat molekul kecil, ubat pengubahsuaian epigenetik, perencat titik semak imun serta terapi selular baharu seperti CAR-T (Reseptor Kimera Antigen sel T) dan CAR-NK (Reseptor Kimera Antigen sel pembunuh semula jadi).

"Tidak seperti antibodi monoklonal konvensional yang tidak mempunyai bahagian kemoterapi dan kemoterapi konvensional dengan kesan sampingan luar sasaran, ADCs menyasarkan sel limfoma dan memberikan kemoterapi yang lebih selektif kepada sel kanser.

"Ini membolehkan pengkhususan yang lebih terhadap membunuh sel limfoma berbanding kemoterapi penyelamatan konvensional.

"BiTEs pula antibodi diubah suai untuk menghubungkan limfosit T ke sel limfoma DLBCL supaya membunuh sel-sel limfoma," katanya.

Tambah Dr Chin, kemajuan terkini dalam pemahaman biologi limfoma menunjukkan kepentingan interaksi antara sel limfoma dengan sel bukan kanser di sekitar (dipanggil persekitaran mikro) dan juga sistem imun dalam menggalakkan kelangsungan hidup serta proliferasi sel limfoma.

Katanya, perencat molekul kecil menyasarkan 'laluan isyarat' tertentu yang wujud di dalam sel limfoma dan cenderung untuk memberikan kesan yang kurang terhadap sel bukan kanser sert lebih selektif dalam menghapuskan sel limfoma.

"Terapi CAR- T pula menggunakan manipulasi limfosit T pesakit yang membawa kepada ekspresi reseptor diubah suai (dipanggil Reseptor Antigen Kimerik, CARs) di limfosit T yang mengenali sel-sel limfoma.

"Ia menyasarkan supaya sel-sel kanser itu untuk dibunuh dan tidak seperti BITE, modaliti terapeutik membabitkan pengubahsuaian genetik T limfosit pesakit sendiri melalui pembawa virus untuk limfosit T mengekspresikan CARs," katanya.

Sementara itu, kaedah rawatan berkenaan boleh digunakan dalam kombinasi dengan kesan bersinergi dan sesetengah kombinasi mungkin juga bebas kemoterapi.

DLBCL berulang atau kekal tidak berubah terhadap kemoterapi biasa adalah pengalaman pahit bukan sahaja untuk pesakit, penjaga atau ahli keluarga malah doktor yang merawat juga.

Namun, ada keyakinan yang tinggi bahawa dengan kemajuan terkini dalam terapi limfoma, prognosis relaps atau refraktori DLBCL akan menjadi bertambah baik.

"Apapun, selain rawatan awal untuk penyakit yang relaps, usaha dan kerjasama secara berpasukan dalam kalangan pesakit, doktor, ahli keluarga atau penjaga keselamatan juga memainkan peranan penting. Ia bagi memastikan hasil rawatan yang berjaya," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 16 November 2021 @ 7:01 AM