KOMITED dengan tugasnya mengendalikan kargo produk khas termasuklah vaksin Covid-19.
KOMITED dengan tugasnya mengendalikan kargo produk khas termasuklah vaksin Covid-19.
Nurul Husna Mahmud

Mengimbau detik penting apabila sebanyak 312,390 dos vaksin Covid-19 jenis Pfizer- BioNTech diterbangkan Malaysia Airlines ke Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) pada Februari lalu, memberi gambaran peranan petugas syarikat itu tidak kurang pentingnya dalam membantu negara menangani pandemik berkenaan.

Dari kesinambungan itu, sempena sambutan Hari Malaysia pada hari ini, penulis teruja berkongsi kisah empat kakitangan syarikat penerbangan nasional itu yang boleh dilihat setanding dengan wira lain apabila mengutamakan keperluan orang lain melangkaui diri sendiri.

Pengalaman berkenaan dikongsi ketika sesi temu bual khas bersama Malaysia Aviation Grup Unsung Hero sempena Hari Malaysia menerusi dalam talian, kelmarin.

Peranan dimainkan Penolong Pengurus Pengendalian Kargo Produk Khas bagi Operasi Kargo Malaysia Airlines, Siti Zainon Yusup ini umpamanya antara individu penting yang bertanggungjawab dalam mengurus perjalanan vaksin sepanjang ia diterbangkan ke Malaysia.

Beliau adalah satu-satunya wanita dalam jabatan berkenaan selain cukup menggambarkan betapa mencabarnya tugas wanita berusia 56 tahun itu apabila menjadi petugas barisan hadapan dalam pergerakan vaksin sebaik tiba di KLIA.

"Khidmat kargo khas termasuklah ubat-ubatan memang Malaysia Airlines mempunyai kepakaran dan pengalaman baik dari segi prosedur mahu pun teknologi mengikut piawaian serta standard ditetapkan klien.

"Namun sesuatu yang baru bagi saya dan kumpulan pekerja di bahagian kargo ini ialah tekanan dari segi masa dan suhu sedikit berbeza dengan prosedur membawa masuk produk khas seperti ubat atau vaksin penyakit lain sebelum ini.

"Jadi, untuk vaksin Covid-19, kami melakukan persiapan lebih rapi dengan menjalankan dua simulasi bagi memastikan perjalanan memindahkan bekalan vaksin terbabit berjalan lancar mengikut suhu dan juga tempoh masa ditetapkan.

"Dari segi suhu sudah ada teknologi kawalan suhu khusus dapat memenuhi piawaian diperlukan iaitu di bawah -18 darjah Celsius. Cumanya kita bergelut dengan masa yang singkat apabila klien menetapkan 90 minit untuk proses memindahkan vaksin ke trak logistik dari kargo kapal terbang berbanding empat jam dalam prosedur yang biasa," katanya.

SITI Zainon tidak kekok bekerja dengan majoriti petugas kargo lelaki.
SITI Zainon tidak kekok bekerja dengan majoriti petugas kargo lelaki.

Pengalaman itu juga satu kenangan manis apabila pihaknya berjaya mengendalikan urusan menerbangkan vaksin Covid-19 selamat sampai untuk keperluan rakyat Malaysia.

Di sebalik kesibukan dan kecekalan wanita 'besi' ini dalam melaksanakan tugas penting terbabit, tersemat satu kisah meruntun hati apabila beliau kehilangan suami tercinta akibat Covid-19 pada Jun lalu.

Siti Zainon turut dijangkiti Covid-19 sehingga terpaksa menerima bantuan pernafasan akibat kontak rapat.

"Saya bersyukur kerana masih diberikan peluang untuk hidup dan berbakti kepada keluarga. Saya ada ibu yang sakit dan terlantar selain anak-anak yang masih perlukan perhatian.

"Meskipun kehilangan suami, pada saya ia satu tamparan hebat tetapi keluarga, kenalan, majikan dan jiran yang membantu saya kekal kuat sehingga hari ini. Pada saya suatu rahmat dalam keadaan sukar ialah keprihatinan dan kasih orang lain diterima sepanjang saya diuji dengan Covid-19," katanya.

Bagi Azlina Abdul Hamid yang juga kru kabin berpengalaman 29 tahun bersama syarikat penerbangan itu pula, dia mengambil inisiatif mengisi masa terluang apabila banyak penerbangan dibatalkan dengan menyantuni petugas barisan hadapan.

"Satu kepuasan apabila dapat membantu memudahkan urusan orang lain. Saya menggunakan minat dan skil memasak untuk membantu petugas barisan hadapan.

"Saya bermula dengan menyumbang makanan ke Hospital Shah Alam apabila menyedari kesukaran petugas di hospital membeli makanan kerana banyak restoran dan kedai makan tidak beroperasi ketika Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) yang pertama.

"Meskipun sibuk dengan tugas baru iaitu sebagai MH Rangers yang berperanan seperti pegawai perhubungan mengiringi delegasi atau kumpulan pelabur luar datang menerusi kerjasama strategik antara Malaysia Airlines dan Lembaga Pembangunan Pelaburan Malaysia (MIDA), saya masih meneruskan kerja menyediakan pek makanan bagi disumbangkan ke hospital termasuklah Hospital Kuala Lumpur dan Hospital Sungai Buloh," katanya.

AZLINA (dua dari kanan) isi masa dengan aktiviti menyumbang makanan kepada petugas barisan hadapan.
AZLINA (dua dari kanan) isi masa dengan aktiviti menyumbang makanan kepada petugas barisan hadapan.

Dalam tempoh pandemik ini juga, kata Azlina, dia cukup terkesan dengan sikap prihatin rakyat Malaysia apabila begitu murah hati menyumbang dana dalam kerja-kerja kebajikan dilakukannya.

"Ketika pandemik ini juga saya sedar istimewanya rakyat Malaysia ini adalah sikap murah hati dan tidak berkira dalam menyumbang dan meringankan beban orang lain.

"Tidak kiralah berlainan bangsa dan agama sekali pun, namun mereka menyumbang dana terhadap kerja-kerja kebajikan saya meskipun tahu ia untuk kariah masjid tertentu," katanya yang turut kehilangan ayah tercinta akibat kanser pada tahun lalu.

Pegawai Kanan Jabatan Teknologi Maklumat dan Pengurusan Fasiliti MASwings Kota Kinabalu, Sabah, Makain Mongijal, cukup dikenali dengan sikapnya yang tidak berkira dan sanggup memikul tugas orang lain.

"Apabila ada staf yang terkena Covid-19, saya terpanggil untuk membantu melakukan kerja-kerja sanitasi bangunan meskipun pada dasarnya bukan tugas saya. Adakala terpaksa laksanakan tugas itu seorang diri apabila rakan sekerja lain yang dijangkiti Covid-19 terpaksa menjalani kuarantin di rumah.

"Tugas ini remeh kerana petugas yang melakukan kerja sanitasi perlu mengenakan kelengkapan perlindungan diri (PPE) dan juga sanitasi diri sebelum serta selepas melakukan tugasan berkenaan," katanya.

MAKAIN turut melakukan kerja sanitasi bagi meringankan tugasan staf yang terkena jangkitan.
MAKAIN turut melakukan kerja sanitasi bagi meringankan tugasan staf yang terkena jangkitan.

Antara perlu dilalui termasuk terpaksa korbankan waktu cuti umum ataupun hujung minggu untuk datang ke pejabat bagi tugasan sanitasi.

Ditanya sama ada dia bimbang dengan tugas baru kerana berisiko terdedah dengan jangkitan berkenaan akui Makain, memastikan kawasan di tempat kerja ini selamat adalah bawah tanggungjawabnya.

"Mereka ini ada keluarga dan tindakan pantas seperti kerja-kerja sanitasi yang dilakukan sekurang-kurangnya membantu mengurangkan risiko dari menular kepada orang lain.

"Dalam keadaan sekarang semua kena memainkan peranan untuk membantu orang lain. Ini antara sumbangan saya sebagai petugas syarikat penerbangan dengan melakukan sesuatu yang dapat mengekang penularan pandemik Covid-19.

Sementara itu, peranan Pegawai Perkhidmatan Penumpang atau Kru Darat, Chan Chun Kiant, tidak kurang pentingnya apabila menjadi 'duta kecil' mewakili syarikat itu menyelesaikan isu terpencil seperti penumpang China yang terkandas kerana syarat perjalanan Covid-19 yang ketat dikenakan pihak berkuasa negara itu.

Tugasnya memerlukan dia bersedia 24 jam bagi menangani pelbagai masalah berkaitan perjalanan penumpang dari negara itu.

CHAN prihatin dan membantu memudahkan urusan penumpang China.
CHAN prihatin dan membantu memudahkan urusan penumpang China.

"Bidang tugas ini memerlukan saya berdepan dengan pelbagai risiko apatah lagi saya antara barisan pertama yang berhubung langsung dengan penumpang yang tiba di Malaysia atau terbang ke China.

"Mengenai Covid-19 ini sesuatu yang di luar jangkaan dan ada kemungkinan petugas yang menyambut dan mengiringi perjalanan penumpang dari China terdedah kepada bahaya ini.

"Selain itu kecekapan kru dalam memastikan semua prosedur perjalanan dipatuhi terutama dalam tempoh daftar masuk penumpang. Kalau dulu urusan ini boleh selesai dalam satu minit tapi kini ia boleh berlanjutan kira-kira 15 minit bagi seorang penumpang," katanya.

Meskipun baru dua tahun berkhidmat dengan Malaysia Airlines kata Chan, dia gembira dapat membantu penumpang yang terkesan dengan situasi pandemik ini.

"Setiap orang ada peranan masing-masing dan saya melakukan tugas sebaiknya dengan harapan ia memberi persepsi baik mengenai negara kita. Pada saya, itu antara keistimewaan mengenai negara kita yang mana terkenal dengan sikap toleransi dan prihatin terhadap sesiapa saja," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 16 September 2021 @ 7:01 AM