Hazira Ahmad Zaidi

Kota Bharu: Seramai 60 petugas media dari Kelab Media Kelantan Darul Naim (Kemudi) sudah menerima suntikan dos pertama vaksin Covid-19.

Presidennya, Shahnun Hanif Abdullah Suhaimi berkata, untuk hari ini, seramai 31 pengamal media daripada pelbagai agensi menerima suntikan dos pertama di Dewan Teratai Kompleks Kota Darul Naim.

Katanya, dia berterima kasih kepada kerajaan negeri, Jabatan Kesihatan Negeri Kelantan, Kementerian Kesihatan Malaysia serta Kementerian Sains, Teknologi, dan Inovasi (MOSTI) atas program suntikan vaksin kepada media.

"Penantian warga media di Kelantan akhirnya tertunai selepas kami menerima suntikan vaksin dos pertama yang dianggap penting dalam usaha mengekang penularan penyakit Covid-19 yang semakin membimbangkan.

"Dengan ini warga media akan lebih bersemangat dan yakin untuk menjalankan tugas di lapangan yang pada masa sama menuntut kami bertemu dengan pelbagai lapisan masyarakat bagi mendapatkan bahan berita," katanya ketika ditemui di Dewan Teratai Kompleks Kota Darul Naim, di sini, hari ini.

SERAMAI 60 orang petugas media dari Kelab Media Kelantan Darul Naim (KEMUDI) yang menerima suntikan dos pertama vaksin Covid-19 di di Dewan Teratai Kompleks Kota Darul Naim. FOTO Nik Abdullah Nik Omar
SERAMAI 60 orang petugas media dari Kelab Media Kelantan Darul Naim (KEMUDI) yang menerima suntikan dos pertama vaksin Covid-19 di di Dewan Teratai Kompleks Kota Darul Naim. FOTO Nik Abdullah Nik Omar

Beliau berharap agar semua warga media terus mematuhi prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan termasuk memakai pelitup muka, menjaga penjarakan fizikal serta sentiasa memakai cecair pembasmi kuman.

Sementara itu, wartawan sambilan, Rohana Mohd Nawi, 55, berkata, dia bersyukur apabila pengamal media dapat menerima suntikan vaksin yang sudah lama dinantikan.

"Kita sedia maklum, sebagai wartawan yang perlu ke lokasi bagi mendapatkan bahan berita, kami sangat terdedah dengan risiko jangkitan Covid-19 kerana tuntutan tugas yang memerlukan kami sentiasa berada di lapangan.

"Walaupun vaksin bukan jaminan kami terhindar daripada dijangkiti Covid-19, namun ia sekurang-kurangnya mampu memberi perlindungan kepada diri setiap kali berada di lapangan," katanya.

  • Lagi berita berkaitan Perintah Kawalan Pergerakan
  • Lagi berita berkaitan Covid-19
  • Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 10 Jun 2021 @ 1:09 PM