PETUGAS MPK menjalankan kerja pembersihan. FOTO Ihsan MPK
PETUGAS MPK menjalankan kerja pembersihan. FOTO Ihsan MPK
Asrol Awang


MAJLIS Perbandaran Kuantan (MPK) melakukan proses pembersihan dan sanitasi Terminal Sentral Kuantan (TSK), Indera Mahkota di sini malam tadi.

Proses yang mengambil masa dua jam bermula 9.30 malam itu, sebagai langkah pencegahan penularan wabak Covid-19 di terminal terbabit.

Ketua Seksyen Perhubungan Awam dan Korporat MPK, Norkamawati Kamal berkata, inisiatif itu juga susulan seorang penumpang yang menaiki bas ekspres dari Terminal Bas Larkin Sentral, Johor Bharu ke TSK Isnin lalu, disyaki dijangkiti Covid-19.

Katanya, operasi berkenaan dilakukan pihak berkuasa tempatan (PBT) itu sendiri untuk keselamatan dan kepentingan awam yang menggunakan perkhidmatan di terminal itu.

“Inisiatif ini juga bertujuan untuk mencegah penularan wabak terbabit dan memastikan tiada sebarang jangkitan.

“Oleh itu, orang ramai yang tiada keperluan untuk ke TSK supaya mematuhi Perintah Kawalan Pergerakan,” katanya ketika dihubungi hari ini.

PETUGAS MPK menjalankan menyembur cecair pembasmi kuman. FOTO Ihsan MPK
PETUGAS MPK menjalankan menyembur cecair pembasmi kuman. FOTO Ihsan MPK

Semalam, Facebook Promosi PKD Kuantan dalam hantarannya membuat pengumuman penting meminta semua penumpang yang menaiki bas ekspres Plusliner bernombor pendaftaran VDJ 2367, Isnin lalu, menghubungi segera PKD Kuantan.

Berdasarkan laporan, bas ekspres itu memulakan perjalanan dari Sentral Larkin di Johor Bharu-Stesen Bas Endau, Mersing-Terminal Sentral Kuantan (TSK).

Difahamkan, langkah mengesan semua penumpang dilakukan berikutan seorang daripada penumpang yang menaiki bas ekspres itu dikatakan positif selepas menjalani ujian Covid-19.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 20 Mac 2020 @ 3:14 PM