Samadi Ahmad


Putrajaya: Kerajaan memperuntukkan RM2.6 juta untuk mengadakan sanitasi awam di pusat kerajaan bagi enangani penularan wabak Covid-19.

Menteri Wilayah Persekutuan, Tan Sri Annuar Musa berkata, proses sanitasi pembasmi kuman itu perlu dilaksanakan dengan kerap kerana ia adalah tempat yang sering dikunjungi orang ramai.

Menurutnya, operasi sanitasi itu akan dilakukan di semua jabatan kerajaan, masjid, pusat beli belah serta kawasan awam.

"Putrajaya sudah mencapai sifar kes baharu Covid-19 dan kita mahu jumlah itu dikekalkan serta menjadi contoh kepada negara luar.

"Pihak berkuasa tempatan (PBT) perlu mempunyai perancangan dengan sentiasa menyediakan peruntukan khusus bagi operasi sanitasi awam terutama ketika negara berdepan gelombang ketiga pandemik ini," katanya pada sidang media ketika menyertai Operasi Sanitasi Awam di Presint 4 di sini, hari ini.

Operasi sanitasi diadakan Kementerian Wilayah Persekutuan itu disertai 55 anggota terdiri daripada Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia, Alam Flora, Perbadanan Putrajaya (PPj), SWCorp dan Jabatan Kesihatan Daerah.

Empat kawasan luar di sanitasi membabitkan Kementerian Pembangunan Luar Bandar (KPLB), Kementerian Komunikasi dan Multimedia, Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) dan Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat.

Annuar berkata, peruntukan untuk membeli bahan sanitasi serta kelengkapan perlindungan diri (PPE) perlu ada selain elaun lebih masa perlu diberikan kepada petugas barisan hadapan.

Katanya, sebanyak 600 Persatuan Penduduk di Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur dan Putrajaya diberi peruntukan khas untuk melaksanakan kempen kesedaran bagi meningkatkan pematuhan prosedur operasi standard (SOP) Covid-19.

"Sebanyak RM2,000 hingga RM3,000 diperuntukkan bagi mengadakan program itu bertujuan mempertingkat kesedaran tentang pematuhan SOP yang perlu dilaksanakan secara berterusan," katanya.

ANGGOTA Bomba dan Penyelamat Malaysia bersama kakitangan Pejabat Kesihatan Daerah Putrajaya melakukan kerja-kerja sanitasi awam di sekitar pejabat kerajaan Presint 4, Putrajaya. FOTO Mohd Fadli Hamzah
ANGGOTA Bomba dan Penyelamat Malaysia bersama kakitangan Pejabat Kesihatan Daerah Putrajaya melakukan kerja-kerja sanitasi awam di sekitar pejabat kerajaan Presint 4, Putrajaya. FOTO Mohd Fadli Hamzah

  • Lagi berita berkaitan Covid-19


  • Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 19 Oktober 2020 @ 2:53 PM