NORMAN. FOTO Arkib NSTP
NORMAN. FOTO Arkib NSTP
Norhayati Nordin

Kuala Lumpur: Prihatin dengan situasi semasa yang mana ramai orang terjejas pendapatan akibat Covid-19, Yayasan KRU tampil mengajak golongan belia dari kalangan keluarga kumpulan B40 menjadi sukarelawan untuk menjayakan program Kita Jaga Kita yang bakal diperkenalkan pada 1 Jun ini.

Presiden Ahli Lembaga Pemegang Amanah Yayasan KRU, Datuk Norman Abdul Halim berkata sebagai permulaan pihaknya perlu mencari sukarelawan berminat dalam golongan belia.

"Program Kita Jaga Kita ini berbentuk tajaan latihan jangka pendek dan sumbangan barangan teknologi maklumat bagi tujuan memperkasakan ilmu dan ekonomi golongan belia terutama dari kalangan keluarga kumpulan B40. 

"Melalui modul latihan disediakan, golongan belia ini diberi pendedahan untuk mempersiapkan diri dalam usaha mencipta peluang ekonomi cara baru melalui platform digital berteras kemahiran industri kreatif.

"Dengan menggunakan barangan teknologi maklumat yang diberikan itu, penerima sumbangan terbabit diwajibkan mengambil kursus-kursus latihan jangka pendek selama satu bulan di bawah tajaan Yayasan KRU secara dalam talian bagi bidang kemahiran berkaitan industri kreatif dan pemasaran digital," katanya.

Norman berkata sukarelawan yang menjadi pelatih itu akan dibimbing untuk menjadi 'influencer' atau pempengaruh untuk memulakan perniagaan mereka atau memajukan perniagaan sedia ada masing-masing.

"Bagi memudahkan pelatih memahami selok-belok berhubung pemasaran digital, turut dijalin kerjasama strategik dengan rangkaian platform digital dan e-dagang terkemuka.

"Dalam situasi norma baharu sekarang, banyak sudah berubah terutama dari aspek menjana ekonomi bagi membantu keluarga B40 keluar dari kepompong kemiskinan dan seterusnya ada sumber pendapatan yang baik," katanya.

Ujar Norman, pihak yayasan juga percaya program Kita Jaga Kita yang dibuat untuk membantu masyarakat itu mempunyai impak tersendiri dalam usaha sebagai inisiatif mengubah nasib golongan belia B40 untuk membantu keluarga masing-masing.

Norman turut memaklumkan program Kita Jaga Kita itu sudah mula mendapat sokongan dari sektor swasta, ikon-ikon media dan sukarelawan berminat untuk menyemarakkan semangat keusahawanan pada kalangan belia B40.

"Saya menyeru orang ramai untuk menjadi sukarelawan bagi program ini dengan mendaftarkan diri melalui laman sesawang www.yayasankru.org. Untuk maklumat lanjut, email ke [email protected]

Bagaimanapun, sukarelawan hanya perlu membantu Yayasan KRU memuat naik dan berkongsi bahan hebahan program Kita Jaga Kita di platform media sosial masing-masing.

"Program ini terbuka kepada sukarelawan berusia 18 tahun dan ke atas. Seiring juga dengan program vaksinasi yang giat dijalankan ketika ini, golongan belia harus bersedia untuk mencipta peluang ekonomi cara baru yang menyumbang pada tambahan pendapatan," katanya.

li>Lagi berita berkaitan Perintah Kawalan Pergerakan

  • Lagi berita berkaitan Covid-19
  • Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 30 April 2021 @ 5:26 PM