TYA serius mahu kembangkan karya seninya ke India.
TYA serius mahu kembangkan karya seninya ke India.
Nurul Husna Mahmud


KESAN kemalangan ngeri yang dialami pada 2007 membuatkan kehidupan pelukis dan pengasas Metamorphosis Art Gallery, Sathaya Bama, 54, ini berubah dari fasa individu normal kepada kelompok golongan istimewa.

Perjalanan balik dari rumah keluarganya di Taiping, Perak ke Pulau Pinang itu bagi menikmati hidangan kegemarannya iaitu pasembor bersama kenalan lama sepatutnya menjadi detik meriangkan apabila pulang ke Malaysia selepas sekian lama berada di United Kingdom.

Wanita tabah itu lebih selesa dipanggil Tya mengakui hanya menyedari kecederaan serius termasuk tempurung kepalanya pecah selain beberapa bahagian tulang patah sebaik dirawat di hospital.

Kata Tya, sejak itu juga perubahan 360 darjah dalam hidupnya apabila terpaksa melalui pelbagai pembedahan dalam tempoh singkat bagi merawat kecederaan serius akibat kemalangan itu.

"Saya masih ingat betapa 'buruknya' keadaan kecederaan sehingga apabila melihat di depan cermin seolah-olah diri berada pada orang lain. Saya nampak kesan pembedahan kepala dan beberapa bahagian tubuh lain dibalut.

"Impak daripada insiden itu masih dirasai sehingga hari ini apabila ingatan atau memori saya turut terganggu selain pergerakan akibat kecederaan saraf.

 TYA melihat seni sebagai terapi selepas insiden terburuk pada 2007.
TYA melihat seni sebagai terapi selepas insiden terburuk pada 2007.

"Sebenarnya baik diri saya mahupun doktor yang merawat ketika itu sukar mempercayai saya masih boleh hidup dengan situasi kecederaan parah ketika itu. Kekuatan saya didorong anak perempuan yang memerlukan jagaan saya berumur lima tahun ketika itu," katanya.

Menjelaskan situasi dengan pasangan hidupnya ketika itu, kata Tya, hubungan dengan bekas suami juga sudah hambar berikutan tiada sefahaman dan perselisihan pendapat kerana jurang perbezaan budaya serta latar belakang keluarga.

"Mungkin nasib saya berbeza dengan wanita yang mengahwini lelaki berbangsa asing kerana cukup dikenali sebagai 'gentleman.' Perkenalan dengan suami ibarat kisah dongeng apabila pertemuan singkat atau pandangan pertama membuatkan si dia melamar.

"Tahun pertama dan kedua membahagiakan kerana suami melayan baik sehingga ada isu berkait dengan hal anak timbul. Keadaan menjadi semakin tidak terkawal apabila saya rasa diri diabaikan suami sehingga kemuncak apabila membuat keputusan pulang ke Malaysia bagi memulakan hidup baharu.

AKTIVITI bersama komuniti.
AKTIVITI bersama komuniti.

"Selepas masing-masing berdiam diri untuk satu tempoh yang lama iaitu kira-kira dua tahun, suami minta saya datang semula ke United Kingdom. Saya tidak menyangka pertemuan kami adalah bagi menguruskan hal penceraian selain suami mahu menuntut hak jagaan anak," katanya.

Mengakui berjauhan dengan anak sendiri antara detik menyakitkan dan dia hanya dapat bersama anaknya itu setahun sekali dalam tempoh empat minggu ketika cuti musim panas apabila anaknya berada di Malaysia.

"Mencabar bagi saya ibu yang terpaksa berjauhan dengan anak ialah hubungan kami tidak serapat dahulu dan bukan mudah apatah lagi ketika itu saya tidak mempunyai pekerjaan atau pendapatan cukup stabil.

"Mahu atau tidak saya terpaksa menyerahkan anak di bawah jagaan suami kerana dia penjaga yang layak dan boleh memenuhi keperluan anak," katanya.

MEMPUNYAI bakat dalam seni fotografi.
MEMPUNYAI bakat dalam seni fotografi.

Dalam bergelut dengan komplikasi kekal akibat kemalangan seperti masalah saraf kronik menyebabkan kerja harian terganggu, Tya turut didiagnosis mempunyai kecelaruan personaliti pinggiran (borderline personality disorder).

"Sebenarnya saya cuba sedaya untuk terus hidup dan cuba kekal positif dengan setiap masalah dihadapi. Kalau sebelum ini sokongan cukup kuat ialah ibu saya, tapi meninggal selepas menderita beberapa tahun disebabkan kanser, kini adik-beradik saya antara yang banyak memberi sokongan," katanya.

Menjelaskan mengenai perjalanan dalan artis seni lukis, kata Tya, bakatnya itu adalah anugerah selepas insiden kemalangan itu.

"Satu anugerah sebalik satu kejadian malang ialah bakat dalam lukisan. Ketika anak saya berusia 10 tahun, dia tengok saya melukis dalam keadaan berhalusinasi.

TYA berkongsi album dan kenangan anak dan bekas suaminya.
TYA berkongsi album dan kenangan anak dan bekas suaminya.

"Dia kata ketika itu saya merepek dalam pelbagai bahasa asing termasuk menyanyi. Bagi kanak-kanak seusianya, melihat keadaan ibu sedemikian suatu pelik dan mula merakam video.

"Saya tidak sedar langsung dan selepas melukis saya pergi tidur. Sebaik saya bangun, dia tunjukkan hasil lukisan itu saya tidak percaya sehingga melihat video yang dirakam sebelum itu," katanya.

Atas inisiatif anak juga yang berkongsi hasil kerja dalam talian dan mendapat maklum balas menjadi penguat kepada Tya mengembangkan karier dalam bidang seni lukis.

"Saya kongsikan semua hasil kerja dalam talian dan turut hantar untuk penilaian di Itali. Tidak sangka karya saya bernilai sekitar RM7,000 dan ke atas.

HOBI baru iaitu berkebun.
HOBI baru iaitu berkebun.

"Malah, saya turut mempunyai perancangan besar termasuk mengembangkan kerjaya ke India kerana ada projek usaha sama dengan rakan artis di sana.

"Tetapi, hasrat itu terpaksa ditangguh berikutan pandemik yang semakin memburuk baik di sana mahupun di Malaysia. Boleh dikatakan itu satu lagi cabaran buat saya ketika ini untuk meneruskan kelangsungan sebagai artis seni," katanya yang pernah mempamerkan karya di beberapa galeri seperti di United Kingdom, Perancis, Amerika Syarikat dan India.

Memanfaatkan kualiti hidup sebagai penderita pelbagai penyakit dan pemegang kad orang kurang upaya (OKU), kata Tya, dia tampilkan diri kepada umum untuk memberi mesej mengenai pentingnya menyayangi diri selain fokus terhadap keupayaan diri pastinya dapat memberi kebaikan kepada orang lain.

"Membuatkan saya fokus ialah karier, hobi dan sumbangan kepada komuniti meskipun saya ini golongan istimewa," katanya.

Sejak 2016, dia aktif memainkan peranan dalam advokasi pelbagai isu membabitkan keganasan domestik, keganasan seksual serta hak golongan OKU.

Dia juga ahli Pertubuhan Penyakit Tidak Kelihatan Malaysia (Malaysian Invisible Illneses Association-MIIA) yang turut menjalankan terapi seni bagi komuniti.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 31 Mei 2021 @ 6:10 AM