SENTUHAN ajaib ibu enam anak berjaya hasil karya seni cukup mengagumkan.
SENTUHAN ajaib ibu enam anak berjaya hasil karya seni cukup mengagumkan.
Muhamaad Razis Ismail


Siapa sangka dengan mencabar diri untuk melakukan perkara dari luar bidang mampu menjana pendapatan yang lumayan.

Ia dibuktikan Iswati Ishak, 51, yang menjadi 'tukang ukir' buah-buahan sebagai karier sepenuh masa sejak lapan tahun lalu.

Tanpa bakat, dia dapat membuktikan dengan latihan dan usaha tanpa jemu, seseorang itu masih boleh berjaya dalam bidang diceburi.

Sentuhan ajaib Iswati berjaya menghasilkan satu karya seni yang cukup mengagumkan.

Jadi tidak hairan, ibu kepada enam anak ini berjaya mengharumkan negara ke persada antarabangsa apabila memperoleh keputusan membanggakan dalam setiap pertandingan disertai.

Pada masa sama, dia juga tidak menang tangan untuk menyiapkan tempahan pelanggan pada setiap minggu terutama majlis perkahwinan.

Bermula sekadar suka-suka menyertai kursus pendek selama empat minggu, kini wanita berasal dari Kampung Jenjarom, Selangor ini mampu berbangga dengan pencapaian yang diperoleh.

ISWATI bersama ukiran buah yang dihasilkan.
ISWATI bersama ukiran buah yang dihasilkan.

Kemahiran dan minat terhadap ukiran buah turut diperturunkan kepada seorang anaknya, Muhammad Aizammudin yang juga cef di sebuah hotel di Kuala Lumpur.

Iswati berkata, sebelum ini dia menjalankan perniagaan kek dan roti sebelum mengikut kursus ukiran buah pada 2003.

Katanya, pada ketika itu dia hanya menyertai kursus anjuran sebuah majalah tempatan itu sekadar untuk mengisi masa lapang dan menambah ilmu.

"Kursus itu memberi pendedahan teknik asas untuk mengukir buah-buahan untuk dijadikan sebagai hantaran dan makan beradab untuk majlis perkahwinan.

BERSAMA suami dan anak yang banyak memberi sokongan.
BERSAMA suami dan anak yang banyak memberi sokongan.

"Bagaimanapun, selepas kursus itu berakhir, saya terus berniaga seperti biasa kerana tidak merancang untuk bergerak secara serius dengan seni ukiran buah-buahan kerana belum nampak potensinya untuk berjaya," katanya di rumahnya.

Namun segalanya berubah, 10 tahun kemudian selepas dia mempunyai ramai rakan dalam kalangan pengukir buah di media sosial.

"Dari situ, minat terhadap seni ukiran buahan ini berputik sehingga membuatkan saya kembali mengasah kemahiran yang dipelajari satu dekad lalu.

"Saya mula berlatih memperkemaskan ukiran dengan bantuan rakan yang lebih berpengalaman," katanya.

Katanya, pada 2015 dia mula menyertai pertandingan di dalam dan luar negara apabila diajak rakan.

ANTARA ukiran buah yang dihasilkan.
ANTARA ukiran buah yang dihasilkan.

"Di Malaysia saya pernah peroleh pingat emas manakala di luar negara seperti di Thailand, Singapura dan Indonesia, saya mendapat pingat perak dan gangsa.

"Sebenarnya untuk semua pertandingan ini, kami pergi atas inisiatif sendiri untuk kepuasan kecuali pada 2019 saya pergi di bawah Persatuan Gastronomi Malaysia," katanya.

Mengulas lanjut, dengan menyertai pertandingan di luar negara ia banyak membuka mindanya bahawa bidang ini mempunyai potensi besar untuk berkembang.

"Saya dapat mengenali ramai pengukir buah yang hebat termasuk dari Thailand, Indonesia dan Taiwan, sekali gus dapat pelajari perkara baharu daripada mereka.

"Dahulu kita agak ketinggalan, namun kini rekaan ukiran buah dari negara kita turut mendapat perhatian dan mampu bersaing dengan negara luar.

MOTIF bunga antara yang menjadi pilihan pelanggan.
MOTIF bunga antara yang menjadi pilihan pelanggan.

"Insya-Allah jika tiada halangan pada November depan saya merancang untuk menyertai pertandingan di Turki," katanya.

Iswati berkata, keunikan seni ukiran buah dari negara kita adalah rekaan kerawang yang membezakannya dengan negara lain.

"Biasanya saya akan gabungkan motif bunga dan kerawang yang berlapis-lapis ini supaya ia nampak unik dan menarik," katanya.

Jelasnya, untuk sampai ke tahap sekarang, laluan Iswati sebenarnya tidak mudah dan menuntut banyak pengorbanan.

"Saya bermula dari 'kosong' dan tidak pernah langsung terbabit dengan seni ukiran kecuali menyertai kursus pendek pada 2003.

PERALATAN yang digunakan untuk mengukir buah.
PERALATAN yang digunakan untuk mengukir buah.

"Malah, saya bersyukur suami dan anak-anak banyak memberi sokongan dan dorongan untuk bergiat secara serius dalam bidang itu.

"Dengan melatih diri untuk bersabar dan minat mendalam banyak mendorong untuk saya sampai ke tahap sekarang. Malah, kini saya pun masih belajar untuk memperkemaskan kemahiran yang ada," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 10 Februari 2022 @ 6:40 AM