NAMA sebenar Nurtria Wulandari Arifin. FOTO Aziah Azmee.
NAMA sebenar Nurtria Wulandari Arifin. FOTO Aziah Azmee.
Ridzuan Abdul Rahman


BUKAN mudah membahagikan masa antara tanggungjawab terhadap keluarga serta karier seni. Bagaimanapun, pelakon kelahiran Palembang, Indonesia iaitu Tya Arifin bersyukur kerana hasrat untuk meneruskan kerjaya sebagai pelakon direstui suami tercinta, Asyraf Khalid.

Pemilik nama sebenar Nurtria Wulandari Arifin, 25, sudah tentu gembira dan lega apabila belahan jiwanya memberikan sokongan serta memahami minatnya.

Namun begitu, Tya sama sekali tidak menyalahgunakan kepercayaan yang sudah diberi. Setiap pembabitan mahupun keputusan yang diambil mesti atas izin suami.

“Suami menyokong apa sahaja bidang yang saya ceburi. Dia berikan kepercayaan kepada saya untuk buat pilihan sendiri. Bagaimanapun, seorang isteri harus meminta izin terlebih dahulu sebelum melakukan sesuatu. Izin dan restu suami sangat penting.

“Apa pun, saya gembira dan terharu kerana dia sangat memahami. Dia akan menyokong dan memberikan bantuan jika perlu. Dia sentiasa ada di sisi untuk memberikan kata-kata semangat,” katanya.

POPULAR dengan panggilan Tya Ariffin. FOTO Aziah Azmee.
POPULAR dengan panggilan Tya Ariffin. FOTO Aziah Azmee.

Mendirikan rumah tangga pada 1 November 2015, pasangan itu dikurniakan dua cahaya mata iaitu Arif Jiwa Asyraf, 2, dan Azzahra Jiwa Asyraf, yang kini berusia enam bulan.

Memikul status sebagai ibu dan isteri, ia sedikit pun tidak melunturkan rasa cinta Tya pada bidang lakonan. Di Indonesia, Tya pernah membintangi beberapa filem antara Gending Sriwijaya, Tak Sempurna dan Garuda Superhero.

Bakal tampil dengan naskhah penyiasatan berjudul M.O.X - Misi Operasi X, kata Tya, dia memegang watak sebagai Fifi iaitu kekasih kepada Don Pedro lakonan Ebi Kornelis.

“Ini adalah filem pertama lakonan saya di Malaysia. Saya berterima kasih kepada pihak produksi kerana memberikan peluang dan percaya saya mampu melakonkan karakter itu dengan baik.

“Kami menjalani penggambaran filem itu empat tahun lalu. Saya gembira kerana ia akhirnya ditayangkan. Ia adalah platform untuk saya meluaskan kerjaya seni di sini,” katanya.

Masih menerima tawaran berlakon dari negara kelahiran, Tya bagaimanapun belum dapat memenuhi permintaan produksi di sana apatah lagi jika ia membabitkan penggambaran sinetron.

Kata Tya, tidak mungkin dia sanggup meninggalkan dua permata hatinya itu dalam tempoh yang lama tambahan pula Azzahra masih kecil.

“Semua sedia maklum, sinetron adalah drama panjang yang memakan masa berbulan-bulan untuk menjalani penggambaran. Saya tidak boleh pentingkan diri demi karier.

“Anak-anak saya masih kecil dan sudah pasti keluarga adalah keutamaan. Namun, kalau ada projek pendek, mungkin saya akan ambil bergantung pada masa dan jadual,” katanya. - Ardini

Sophia Sina

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 17 November 2019 @ 5:01 AM