KEPELBAGAIAN corak mangkuk tingkat yang membuatkan pengunjung rambang mata.
KEPELBAGAIAN corak mangkuk tingkat yang membuatkan pengunjung rambang mata.


BERTEMAKAN Kraf Di Hati, Hari Raya Aidilfitri Dinanti, promosi Warna-Warni Aidilfiri (WWA) 2021 di Kompleks Kraf Kuala Lumpur, Jalan Conlay sekali lagi menjadi tumpuan ramai.

Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya (Motac) menerusi Kraftangan Malaysia menganjurkan WWA 2021 itu bermula 15 April lalu hingga 2 Mei depan.

Menurut menterinya, Datuk Nancy Shukri, ia adalah program promosi bertujuan memberi peluang kepada usahawan kraf memasarkan produk kraf yang digunakan dalam persiapan menyambut Aidilfitri.

"Malah, promosi yang dianjurkan sejak 2003 ini turut menonjolkan kemeriahan sambutan melalui kreativiti dan idea baharu sesuai dengan persiapan untuk lebaran ini.

"Promosi itu adalah inisiatif kerajaan dalam membantu usahawan ketika negara berdepan penularan pandemik Covid-19. Apatah lagi promosi fizikal pertama dilaksanakan sejak Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) bermula 13 Januari lalu.

"Pada masa sama menyasarkan 220 usahawan di mana 100 usahawan di Kompleks Kraf Kuala Lumpur, manakala 120 usahawan lagi berada di lapan lokasi terpilih," katanya ketika sidang media di Kompleks Kraf Kuala Lumpur yang turut dihadiri Ketua Pengarah Kraftangan Malaysia, Ibrahim Ismail.

NANCY (tengah) meneliti tenunan songket sambil diperhatikan Ibrahim.
NANCY (tengah) meneliti tenunan songket sambil diperhatikan Ibrahim.

BEG diketengahkan dengan warna kontemporari dan memenuhi cita rasa.
BEG diketengahkan dengan warna kontemporari dan memenuhi cita rasa.

PRODUK kraf anyaman tampil dengan rekaan terbaharu dan kontemporari.
PRODUK kraf anyaman tampil dengan rekaan terbaharu dan kontemporari.

Tidak ketinggalan katanya, terdapat juga penyertaan usahawan bukan kraf yang menawarkan perkhidmatan dan produk Aidilfitri.

Katanya, pelaksanaan promosi WWA 2021 turut diadakan serentak di lapan lokasi pusat beli-belah terpilih di peringkat negeri seperti East Coast Mall, Pahang, KTCC Mall, Terengganu, AEON Mall Kinta City, Perak, AEON Mall Nilai @ Seremban 2, Negeri Sembilan, MYDIN Mall Bertam, Pulau Pinang, Freeport A' Famosa Outlet, Melaka dan One Utama Shopping Centre, Selangor.

Pengunjung WWA 2021 pula bakal menikmati harga diskaun bagi barangan yang dijual.

Di samping itu, pengisian aktiviti WWA 2021 turut membabitkan jualan produk kraf dan produk perkhidmatan Aidilfitri, pameran, demonstrasi kraf, interaktif kraf, demonstrasi masakan dan kuih tradisional serta pelbagai pertandingan menarik lain.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 26 April 2021 @ 7:00 AM