INISIATIF Kraftangan Malaysia wujud platform bantu pengusaha terjejas pasarkan produk ekoran wabak Covid-19. FOTO Ihsan Kraftangan Malaysia, Salini Idris & Khairul Aznan Mohamed Kamal
INISIATIF Kraftangan Malaysia wujud platform bantu pengusaha terjejas pasarkan produk ekoran wabak Covid-19. FOTO Ihsan Kraftangan Malaysia, Salini Idris & Khairul Aznan Mohamed Kamal
Muhamaad Razis Ismail

PENULARAN pandemik Covid-19 di negara ini memberi kesan kepada banyak industri termasuk kraf tangan yang tidak dapat meneruskan operasi seperti biasa.

Ketua Pengarah Kraftangan Malaysia, Ibrahim Ismail berkata, beberapa program untuk membantu pengusaha kraf tangan mempromosikan dan memasarkan produk tidak dapat dijalankan kesan Covid-19 ini.

Beliau berkata, sebagai sebuah agensi di bawah Kementerian Pelancongan Seni dan Budaya (MOTAC), pihaknya sudah merancang pelbagai program di seluruh negara untuk merancakkan industri kraf tangan negara.

"Malah kita baharu sahaja menganjurkan Hari Kraf Kebangsaan 2020 pada Februari lalu yang mendapat sambutan menggalakkan.

"Bagaimanapun, perkara yang tidak dijangka berlaku disebabkan penularan pandemik Covid-19 sehingga kita terpaksa membatalkan program lain yang secara tidak langsung menjejaskan perniagaan kraf tangan," katanya ketika dihubungi baru-baru ini.

Menyedari perkara itu, inisiatif segera diambil dengan menyediakan platform dalam talian iaitu Facebook (FB) E-Kraf Bazar pada 8 April lalu untuk mengumpul pengusaha kraf tangan di seluruh negara.

USAHAWAN kraf tangan perlu bersedia dengan normal baharu.
USAHAWAN kraf tangan perlu bersedia dengan normal baharu.

ANTARA aksesori wanita yang dijual di E-Kraf Bazar.
ANTARA aksesori wanita yang dijual di E-Kraf Bazar.

Katanya, FB ini dibuat khas atas keprihatinan kerajaan untuk membantu usahawan kraf tangan di seluruh negara memasarkan produk mereka di dalam talian dan peminat kraf tangan.

"Pada hari pertama dilancarkan, 2,000 usahawan dan peminat kraf tangan sudah menyertai FB ini. Selepas Menteri MOTAC, Datuk Seri Nancy Shukri membuat pengumuman mengenai FB ini, kita mendapat permintaan luar biasa untuk sertai dan kini tidak sampai sebulan, FB ini memiliki hampir 7,000 ahli.

"Biarpun menggunakan kaedah baru, ia tetap mendapat sambutan luar biasa dalam kalangan usahawan yang memberi maklum balas positif kerana membantu mereka terus beroperasi sepanjang Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

"Malah, peminat kraf tangan juga selesa membeli-belah di dalam talian sepanjang berada di rumah," katanya.

Menurutnya, inisiatif ini terbuka kepada semua usahawan produk kraf tangan daripada usahawan bidang seperti tekstil, hasil rimba, seramik, logam dan aneka kraf selain paling penting produk yang dipromosikan ialah buatan Malaysia.

"Di sini, mereka boleh promosikan produk mereka setiap hari secara percuma dengan syarat mudah yang perlu dipatuhi.

"Pembeli juga memperoleh manfaat menerusi komunikasi secara interaktif dengan usahawan ataupun pengeluar mengenai bagaimana produk itu dihasilkan," katanya.

Beliau berkata, sebagai 'administrator,' pihaknya sentiasa membantu memberi panduan kepada usahawan untuk memasarkan produk dalam talian dengan baik.

SALINI (kanan)
SALINI (kanan)

"Bagi yang masih tidak biasa dengan kaedah baru ini, Kraftangan Malaysia sedia memberi tunjuk ajar untuk memastikan mereka tidak ketinggalan termasuk membantu memasarkan produk mereka di FB Kraftangan cawangan di setiap negeri," katanya.

Mengulas lanjut, antara produk yang mendapat sambutan adalah produk fesyen dan kelengkapan rumah seperti baju batik, produk anyaman dan seramik.

"Sempena Pesta Kaamatan dan Hari Gawai, E-Kraf Bazar turut mengadakan promosi sambutan perayaan khas bagi masyarakat untuk mendapatkan produk kelengkapan diri seperti manik serta pakaian etnik.

"Turut mendapat sambutan ramai ialah produk menjelang Ramadan seperti rehal, penunjuk kayu untuk bacaan al-Quran dan songkok.

"Dalam masa terdekat juga, kita akan membawa masuk pembekal bahan mentah untuk memudahkan pembuat kraf tangan mendapatkan barang keperluan dengan mudah," katanya.

Tambahnya, usaha ini akan diteruskan selepas tempoh PKP berakhir kerana melihat keberkesanannya membantu pengusaha kraf tangan memasarkan produk yang dihasilkan.

"Ini boleh dikatakan sebagai normal baharu yang perlu dibiasakan oleh usahawan dan peminat kraf tangan selepas PKP dilaksanakan. PKP ini adalah permulaan untuk kita bergerak lebih jauh selepas ini.

"Insya-Allah, pada tahun ini, kita akan bangunkan sebuah 'e-Marketplace' untuk memberi ruangan lebih besar kepada usahawan kraf tangan negara," katanya.

KHAIRUL AZNAN
KHAIRUL AZNAN

Sementara itu, rata-rata usahawan kraf tangan menyambut baik inisiatif kerajaan ini yang sangat membantu mereka memasarkan produk ketika berdepan saat sukar ini.

Pengurus syarikat Paulini Heritage Craft, Salini Idris berkata, penularan Covid-19 memberi kesan kepada perniagaannya.

"Dalam tempoh PKP, perniagaan tidak dapat beroperasi seperti biasa sekali gus menjejaskan pendapatan. Malah banyak tempahan produk juga dibatalkan.

"Menerusi platform dalam talian yang diperkenalkan MOTAC dan Kraftangan Malaysia, ia banyak membantu saya mempromosi dan memasarkan produk kraf tangan aksesori wanita berasaskan logam timah yang mendapat sambutan menggalakkan," katanya.

Bagi pengusaha batik, Khairul Aznan Mohamed Kamal, E-Kraf Bazar memberi peluang untuknya memperoleh lebih ramai pelanggan baharu di seluruh negara.

"Melihat keberkesanan kaedah ini, setiap hari saya akan membuat sehingga empat hantaran termasuk video untuk mempromosikan batik. Dalam tempoh PKP ini kaftan atau lebih dikenali sebagai 'baju kelawar' mendapat sambutan menggalakkan.

"Saya harap usaha ini dapat diteruskan biarpun tempoh PKP ini ditamatkan," katanya.

IBRAHIM melihat FB E-Kraf Bazar yang mendapat sambutan menggalakkan.
IBRAHIM melihat FB E-Kraf Bazar yang mendapat sambutan menggalakkan.

PRODUK kraf tangan yang mendapat sambutan di E-Kraf Bazar.
PRODUK kraf tangan yang mendapat sambutan di E-Kraf Bazar.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 28 April 2020 @ 7:01 AM