Fairul Asmaini Mohd Pilus


HARI Kraf Kebangsaan 2020 (HKK 2020) kini berlangsung hingga 9 Mac depan di Kompleks Kraf Kuala Lumpur.

Berbeza dengan penganjuran sebelumnya, HKK 2020 mengetengahkan tema Kraf Memperkasa Sosioekonomi Rakyat yang turut menjadi aspirasi kerajaan demi Kemakmuran Bersama.

Perasmiannya disempurnakan Ketua Setiausaha Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya Datuk Dr Noor Zari Hamat, Khamis lalu.

“Sempena Visit Malaysia 2020, HKK 2020 sebagai program utama yang berkesan dalam usaha merancakkan aktiviti mempromosi industri pelancongan negara.

“Penggiat kraf diharap memanfaatkan kehadiran pelancong menerusi penghasilan produk bertaraf antarabangsa, mengikut trend terkini, unik serta beridentitikan Malaysia. Di akhir HKK 2020 diharap nilai jualan iaitu RM18 juta tercapai,” katanya.

DR Noor Zari (tiga dari kiri) menyerahkan anugerah kepada Rohana sambil diperhatikan Ibrahim (dua dari kiri)- FOTO BERNAMA.
DR Noor Zari (tiga dari kiri) menyerahkan anugerah kepada Rohana sambil diperhatikan Ibrahim (dua dari kiri)- FOTO BERNAMA.

Beliau turut menyampaikan dua anugerah iaitu Anugerah Tokoh Kraf Negara kepada Rohana Abdul Rahman dari Sweet Touch Ceramic Sdn Bhd dan Anugerah Usahawan Kraf Muda 2020 dari Syarikat Kayu Warisan Enterprise Johor, Nor Hazilawati Buang.

Sementara itu, Ketua Pengarah Kraftangan Malaysia, Ibrahim Ismail berkata, tujuan utama sambutan HKK diadakan untuk memberi pengiktirafan kepada usahawan kraf tempatan di atas usaha dan komitmen mereka dalam membangun serta mengembangkan industri itu, sekali gus menyumbang kepada ekonomi negara.

Kata Ibrahim, HKK juga dapat menjadi platform utama kepada usahawan dalam bertemu dan berinteraksi dengan pelanggan selain mendapat maklum balas secara terus daripada pengguna.

“Sambutan HKK 2020 kali ini memberi tumpuan kepada produk hadiah dan cenderamata.

ANTARA rekaan cenderahati dan hadiah menarik untuk dimiliki.
ANTARA rekaan cenderahati dan hadiah menarik untuk dimiliki.

“Untuk itu, pelbagai produk sempena Tahun Melawat Malaysia 2020 meliputi bidang tekstil, hasil rimba, logam, hasil tanah mahu pun aneka kraf yang berasaskan ikon dan ‘signature’ yang melambangkan identiti Malaysia diketengahkan kepada orang ramai,” katanya pada sidang media di Kompleks Kraf itu, baru-baru ini.

“Antara aktiviti yang disediakan adalah jualan kraf membabitkan keseluruhan 680 usahawan, padanan perniagaan, pertandingan ukiran kayu dan bakat tari rakyat Malaysia serta banyak lagi.

ANTARA rekaan cenderahati dan hadiah menarik untuk dimiliki.
ANTARA rekaan cenderahati dan hadiah menarik untuk dimiliki.

“Tidak ketinggalan, pelbagai pameran menarik seperti pameran Malaysian Craft Digital Hub, karya ulung kraf ukiran kayu, ukiran kayu dalam seni bina, produk inspirasi tokoh, evolusi kraf ukiran kayu, produk baharu Tahun Melawat Malaysia 2020, pameran korporat Institut Kraf Negara (IKN), pameran khas Tokoh Kraf Negara (TKN) serta pameran 40 Tahun Kraftangan Malaysia turut diadakan.

“Lebih istimewa, HKK 2020 juga akan mengadakan pameran khas rekaan batik bermotifkan corak beragi yang diilhamkan Raja Permaisuri Agong, Tunku Azizah Aminah Maimunah Iskandariah,” katanya.

REKAAN kraf tempatan yang sesuai dijadikan sebagai cenderahati.
REKAAN kraf tempatan yang sesuai dijadikan sebagai cenderahati.

Dalam pada itu, bagi memberi peluang kepada orang ramai melihat sendiri cara pembuatan produk kraf pula, Ibrahim berkata, Kraftangan Malaysia turut mengadakan sesi demonstrasi membabitkan TKN sendiri, Adiguru Kraf serta pengajar dan pelajar IKN.

Sesi demontrasi itu meliputi pembuatan tekatan benang emas, sulaman kelingkam, blok batik, pertukangan perak, anyaman rotan, tenunan Pahang, kraf tembikar, tenunan Mugah, tenunan sambitan, pandai besi Bajau Sabah, tenunan pua kumbu, pasu Iban, anyaman mengkuang, menenung songket dan

menganyam beg rotan.

REKAAN unik tengkolok mini untuk dijadikan hadiah.
REKAAN unik tengkolok mini untuk dijadikan hadiah.

Katanya, pengunjung turut berpeluang menghasilkan sendiri produk kraf seperti mewarna batik, tenu

nan tapestri tiga dimensi, ukiran kayu pola bujang, Copper Tooling, anyaman rama-rama, teknik capan: mini blok kayu dan keratan bahan tumbuhan semula jadi.

“Pengunjung juga boleh mencuba permainan tradisional seperti congkak, jerat tupai, batu Seremban dan jejak kraf (dam ular).

KOLEKSI kraftangan daripada batik dan mengkuang menarik.
KOLEKSI kraftangan daripada batik dan mengkuang menarik.

“Selain itu, sesi perkongsian ilmu berkaitan keusahawanan, pemasaran digital, seni dan falsafah produk kraf serta kisah kejayaan oleh panel jemputan dari dalam dan luar negara turut diadakan kepada peserta dan pengunjung,” katanya.

IBRAHIM melihat antara barangan kraf
IBRAHIM melihat antara barangan kraf

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 2 Mac 2020 @ 7:00 AM