DEKORASI menarik di pusat beli-belah Sunway Velocity Mall sempena meraikan sambutan Tahun Baharu Cina.
DEKORASI menarik di pusat beli-belah Sunway Velocity Mall sempena meraikan sambutan Tahun Baharu Cina.
Fairul Asmaini Mohd Pilus


SUNWAY Velocity Mall mengajak orang ramai bersama meraikan sambutan Tahun Baharu Cina 'Niu' di pusat beli-belah itu sehingga 9 Mac ini.

Meskipun masih lagi dalam pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) namun suasana sambutan Tahun Lembu tetap dirasai.

Tahun Lembu seperti yang sedia maklum signifikan dengan sifat positif, kekuatan, keyakinan dan ketahanan yang menunjukkan keteguhan harapan serta limpahan nasib baik.

Justeru, pusat beli-belah berkenaan dihias menarik bagi memeriahkan lagi sambutan perayaan berkenaan.

Di Atrium Utama, aras bawah dihias dengan dekorasi bak kekayaan jatuh dari langit dan di tengah kawasan itu terdapat replika lembu emas yang berdiri megah dengan syiling emas.

Pengunjung pasti terpukau dengan dekorasi menarik yang disediakan pusat beli-belah itu dan jangan lepaskan peluang untuk merakam gambar sebagai kenang-kenangan.

Di bahagian itu juga turut dimeriahkan dengan gerai jualan menarik dan pengunjung boleh mendapatkan hamper, pohon kristal kekayaan, gelang atau barangan keperluan harian daripada pelbagai jenama.

Pengurus Besar Sunway Velocity Mall, Phang Sau Lian berkata, ini adalah tahun yang sukar dan ketika menghampiri tahun baharu dengan lembu emas, keyakinan dan kegigihannya memberi inspirasi kepada orang ramai untuk terus bertahan serta berjuang sepanjang beberapa bulan akan datang.

"Semoga kita dapat menjalani perjalanan tempoh pemulihan ini bersama-sama dengan orang tersayang tidak kira sejauh mana jarak sekali pun.

"Dengan semua itu, diharapkan menjadi lebih baik dan semoga tahun ini dipenuhi dengan kejayaan serta kesihatan yang baik untuk semua. Gong Xi Fa Cai," katanya.

Sementara itu, pusat beli-belah itu juga akan memberikan pita yang diikat di Pintu Kemakmuran untuk 2,000 penebusan pertama.

Untuk setiap pita harapan dan berdasarkan kempen 'A Place To Call Home,' Sunway Velocity Mall akan menyumbangkan RM3 kepada Pusat Penjagaan Warga Emas Chan bagi membeli barangan keperluan harian.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 12 Februari 2021 @ 6:18 AM