SISTEM pesan dan ambil diperkenalkan bagi meminimumkan sentuhan.
SISTEM pesan dan ambil diperkenalkan bagi meminimumkan sentuhan.
Fairul Asmaini Mohd Pilus

PERINTAH Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) kini mendorong orang ramai terus melakukan penjarakan sosial dan memilih untuk membeli barangan keperluan dari rumah berbanding keluar untuk mendapatkannya.

Menyedari akan keperluan itu, pusat beli-belah terkenal, Sunway Pyramid mewujudkan kedai dalam talian bagi membolehkan pelanggan mendapatkan barangan pilihan mereka yang merangkumi pelbagai kategori seperti kecantikan, fesyen, perhiasan rumah, penjagaan kesihatan, kasut, makanan dan minuman serta gaya hidup digital.

Selain itu, pusat beli-belah berkenaan juga akan mengadakan jualan kilat selama 72 jam di laman sesawangnya bermula 29 Mei hingga 1 Jun (hari ini).

Pelanggan boleh membeli barangan daripada peruncit yang mengambil bahagian selain mendapatkan diskaun sehingga 50 peratus untuk produk terpilih.

Peruncit terpilih juga akan mengadakan sesi video secara langsung di halaman Facebook pusat beli-belah itu untuk mempromosikan produk mereka dan berinteraksi bersama pelanggan.

Pelbagai kandungan menarik akan disiarkan termasuk demonstrasi penjagaan tumbuh-tumbuhan dan sesi penyediaan hidangan sihat yang orang ramai boleh cuba sendiri di rumah.

DEKORASI elemen kampung menarik untuk memeriahkan lagi sambutan Aidilfitri.
DEKORASI elemen kampung menarik untuk memeriahkan lagi sambutan Aidilfitri.

Selain itu, pelanggan yang berbelanja melebihi RM200 di kedai dalam talian itu turut layak untuk menebus baucar tunai eksklusif dan juga penyedut minuman besi.

Ketua Pegawai Operasi Sunway Malls, Kevin Tan berkata, langkah mewujudkan platform dalam talian itu adalah usaha terbaharu ke arah transformasi digital bagi memudahkan urusan pengguna selain membantu menyokong perniagaan peruncitnya.

"Tempoh dua bulan yang lepas adalah satu tempoh yang mencabar bagi kita semua dan kami mahu memberi peluang kepada peruncit untuk mencapai pelanggan mereka dengan hanya beberapa klik sahaja.

"Bukan semua peruncit berupaya memasarkan produk mereka secara dalam talian jadi kami berharap ikhtiar ini dapat membantu menguatkan perniagaan mereka dan seterusnya memastikan kelangsungan perniagaan pasca PKP ini," katanya.

Dalam pada itu, pusat beli-belah berkenaan turut menetapkan 82 langkah untuk memastikan keselamatan pelanggan dan peruncit termasuk saringan dan pemeriksaan keselamatan yang lebih ketat, meningkatkan penjarakan sosial, latihan dan pendidikan holistik untuk semua kakitangan serta usaha penjagaan kebersihan yang lebih teliti.

Sementara itu, pelanggan yang ingin meminimumkan sentuhan fizikal boleh memanfaatkan sistem 'Pesan & Ambil' iaitu hanya perlu menghubungi kedai kegemaran untuk membuat pesanan, tetapkan lokasi pengambilan dan mengambil barangan tanpa perlu memasuki pusat beli-belah.

Bagi memeriahkan lagi keceriaan sambutan musim perayaan ini, pusat beli-belah terbabit turut dihiasi dengan elemen kampung yang cukup nostalgik.

PELANGGAN yang memerlukan turut diberikan pelitup muka.
PELANGGAN yang memerlukan turut diberikan pelitup muka.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 1 Jun 2020 @ 6:30 AM