AZMI menunjukkan motif identiti tempatan.
AZMI menunjukkan motif identiti tempatan.
Hafiz Ithnin


KADANGKALA apabila ingin membeli pakaian bermotif batik di platform media sosial seperti Instagram, pasti sukar mencari produk yang mempunyai identiti Malaysia.

Bagi mereka yang ingin menyarungnya untuk majlis keramaian persidangan antarabangsa pasti juga keliru untuk mengangkat nilai budaya tempatan di mata negara asing.

Atau mahukah kita menyarung sesuatu motif batik itu yang akhirnya di sapa 'mas'? Sedangkan Malaysia sebenarnya mempunyai pelbagai motif tersendiri yang boleh dibanggakan.

Baru-baru ini penulis berkunjung ke Kelantan iaitu negeri yang begitu sinonim dengan aktiviti perusahaan batik.

Menariknya, dapat melihat sendiri perusahaan anak tempatan secara langsung selain turut mendapat penerangan daripada Kraftangan Malaysia.

BATIK tempatan yang mempunyai identiti tersendiri.
BATIK tempatan yang mempunyai identiti tersendiri.

Pengarah Kraftangan Malaysia Cawangan Kelantan, Nor Azmi Ismail memaklumkan Kraftangan Malaysia dalam usaha mengazetkan motif batik tempatan mengikut identiti negeri masing-masing.

Jelasnya, usaha itu bagi membolehkan orang ramai mengenali identiti tempatan dengan mudah apabila hendak memilikinya.

"Gazet ini terbahagi kepada dua iaitu perwataan dari kerajaan negeri dan kedua, petunjuk geografi (GI) yang didaftarkan di bawah Perbadanan Harta Intelek Malaysia (MyIPO). Ia untuk mengangkat keistimewaan identiti motif batik di negeri yang mengusahakan kraftangan itu.

"Setakat ini, Melaka sahaja sudah mengazetkan Bunga Kesidang sebagai identiti batik mereka kerana bunga itu begitu sinonim dengan warisan tempatan seperti dalam seni ukiran istana," katanya.

Jelasnya, di Kelantan khasnya yang begitu sinonim sebagai lokasi penghasilan batik di Malaysia kini dalam proses untuk mengazetkan Bunga Ketam Guri dan Bunga Telang sebagai identiti kerana kedua-duanya begitu sinonim dengan negeri berkenaan.

"Bagi Bunga Ketam Guri, motifnya banyak digunakan dalam pembinaan ukiran tempatan sejak zaman berzaman termasuk di istana. Jadi, kita melihat

ia begitu sesuai untuk diangkat sebagai satu identiti bagi Kelantan.

"Manakala, Bunga Telang pula bahan makanan yang sinonim dengan Kelantan, nasi kerabu dan kita melihat ia mempunyai keunikan dari segi warna makanan berwarna biru. Malah, bunga itu menjadi antara bahan asas masakannya sejak turun-temurun," katanya.

BUSANA batik tempatan mempunyai aura tersendiri.
BUSANA batik tempatan mempunyai aura tersendiri.

Nor Azmi berkata, mengazetkan kedua-dua bunga itu kini dalam proses dilaksanakan Kraftangan Malaysia dengan pihak berkepentingan terutama Kerajaan Kelantan sejak awal tahun ini.

Tambahnya, proses untuk mengazetkan juga perlu mendapat bantuan pakar sejarah dan warisan bagi memastikan pemilihan kedua-dua bunga itu sebagai motif batik di Kelantan adalah tepat.

"Setakat ini kami sudah adakan tiga perjumpaan bersama pihak terbabit iaitu dua kali dengan Kerajan Kelantan dan sekali dengan Perbadanan Muzium Negeri Kelantan untuk membincangkannya dan setakat ini penerimaan positif.

"Kami jangkakan dapat memuktamadkan keputusan itu pada awal 2021," katanya yang turut memaklumkan ketika ini terdapat 350 usahawan batik di Kelantan berdaftar di bawah Kraftangan Malaysia dan angka itu paling terbesar berbanding negeri lain.

Malah, Azmi memaklumkan empat usahawan inkubator batik di bawah Kraftangan Malaysia Cawangan Kelantan yang kini diusahakan golongan muda turut menunjukkan minat untuk menghasilkan karya batik mereka bersandarkan motif kedua-dua bunga berkenaan.

"Kami juga ingin mempromosikan batik sebagai satu pakaian yang sebenarnya sesuai untuk dipakai dalam pelbagai acara dan kini boleh lihat golongan pengusaha turut menghasilkan karya yang tampak moden berteraskan batik," katanya.

USAHAWAN inkubator yang menguasahakan batik di Kelantan.
USAHAWAN inkubator yang menguasahakan batik di Kelantan.

Tambahnya, bagi memastikan masyarakat tidak terkeliru dalam memperoleh kain batik tempatan, Kraftangan Malaysia sudah mewujudkan satu piawaian bagi memudahkan penggemar kain batik mengenali batik Malaysia iaitu dengan memperkenalkan Standard Batik Malaysia : MS 692 : 2007.

"Persijilan piawaian itu hanya diberikan kepada pengeluar batik yang mematuhi dan memenuhi kriteria serta ujian makmal yang dijalankan Kraftangan Malaysia," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 26 Ogos 2020 @ 6:16 AM