FAUZIAH memberi penerangan kepada pengunjung.
FAUZIAH memberi penerangan kepada pengunjung.
Nor ‘Asyikin Mat Hayin


GARAPAN kerja seni yang dihasilkannya sangat halus, menarik dan memukau sesiapa saja yang melihatnya.

Ketelitian dan kreativiti pelukis ditonjolkan dalam pemilihan warna bersesuaian menjadikan lukisan itu kelihatan begitu ‘hidup’ dan ‘segar’, sekali gus menceriakan ruang pameran.

Kehalusan seninya begitu menyerlah kerana lukisan berkenaan seolah-olah dihasilkan menerusi cetakan digital tapi hakikatnya menggunakan tangan sepenuhnya.

Lukisan itu boleh dihayati dalam pameran solo berjudul Batik oleh pelukis batik pengalaman tanah air, Fauziah Yahaya di Coffee House, Premiera Hotel Kuala Lumpur, Kuala Lumpur dari 1 hingga 31 Oktober ini.

Sebanyak 31 karya berkonsepkan batik diketengahkan dalam pameran itu yang diadakan menerusi tanggungjawab sosial korporat hotel berkenaan dengan kerjasama Mac Training Centre Sdn Bhd.

Fauziah berkata, karyanya mengetengahkan beberapa motif batik yang cukup popular seperti pucuk rebung, awan larat, dayang senandung, Siti Fatimah, bunga raya dan daun puding.

Ini kerana motif berkenaan melambangkan budaya Melayu yang sememangnya sinonim dengan batik.

 ANTARA lukisan yang dipamerkan.
ANTARA lukisan yang dipamerkan.

“Lukisan bertajuk Aku adalah karya terbaru saya yang mempunyai lima siri menonjolkan imej wanita bersama batik dihasilkan menggunakan cat akrilik atas kanvas.

“Ia membawa mesej wanita dan batik berpisah tiada walaupun ada segelintir yang enggan memakainya,” katanya kepada Nuansa.

Oleh itu, katanya, dia mahu menghidupkan semula ‘semangat’ pemakaian batik dan memberi kesedaran kepada umum bahawa warisan budaya terbabit perlu dipelihara.

Menurutnya, dia menampilkan imej wanita dalam lukisan itu yang terdiri daripada bangsa Melayu, Cina dan India sekali gus menggambarkan semangat perpaduan di negara ini.

“Saya menggunakan motif bunga raya untuk karya bagi imej wanita Melayu, bunga sakura (wanita Cina) dan daun sirih (wanita India).

“Setiap motif ini juga menggambarkan identiti bangsa terbabit,” katanya.

Katanya, dalam lukisan itu dapat melihat imej berbeza seperti marah, gembira, sedih dan menangis kerana ia menjelaskan wanita mempunyai banyak emosi yang sentiasa berubah-ubah mengikut situasi.

Selain itu Fauziah berkata, beliau menyertai pameran itu bukan untuk mendapatkan keuntungan semata-mata tapi pada masa sama membuat kebajikan dengan menyumbang 10 peratus daripada hasil jualan lukisan kepada rumah anak yatim.

FAUZIAH bersama karyanya berjudul Aku.
FAUZIAH bersama karyanya berjudul Aku.

INFO

•Pameran Batik

•Artis: 1

•Karya: 31

•Tarikh: 1 Oktober hingga 31 Oktober 2018

•Masa: 7 pagi hingga 11 malam.

•Tempat: Tingkat 5, Coffee House,

•Premiera Hotel Kuala Lumpur

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 17 Oktober 2018 @ 11:14 AM