RASA takut menyebabkan anak-anak menipu untuk melindungi diri mereka. FOTO: Sumber Google
RASA takut menyebabkan anak-anak menipu untuk melindungi diri mereka. FOTO: Sumber Google
Nurul Husna Mahmud

SEORANG penyelidik Pusat Kajian Perkembangan Kanak-kanak di Institut Pendidikan Ontario Kanada, Kang Lee berpendapat apabila kanak-kanak menipu menunjukkan salah satu kejayaan positif berbanding sesuatu yang negatif pada kanak-kanak.

Bagi ibu bapa mungkin memandang penyataan pakar yang membuat kajian mengenai kelakuan kanak-kanak selama 20 tahun itu mengelirukan kerana ia bukan satu perbuatan baik bagi anak mereka.

Namun penjelasan mudah ialah seperti mana perkembangan lain, lagi awal kanak-kanak itu 'pandai menipu,' ia menunjukkan kemajuan dalam perkembangan otak mereka. Anak bukan sahaja lebih sensitif dengan situasi sekitar selain mempunyai kemahiran mengawal perasaan sendiri.

Menjelaskan lebih lanjut mengenai apa yang dimaksudkan pakar berkenaan tabiat menipu berlaku dalam kanak-kanak, Pakar Psikiatri Universiti Sains Islam Malaysia (Usim), Dr Khadijah Hasanah Abang Abdullah menjelaskan perlakuan itu sesuatu yang normal apabila kanak-kanak itu menginjak usia dua hingga tiga tahun.

"Sebenarnya seawal usia dua tahun mereka sudah mempunyai keupayaan menipu kerana ia berkait rapat dengan perkembangan kognitif terutama fungsi eksekutif otak iaitu menyusun, mengatur dan merancang.

MENIPU disifatkan salah satu keupayaan mental anak-anak. FOTO: Sumber Google
MENIPU disifatkan salah satu keupayaan mental anak-anak. FOTO: Sumber Google

"Kalau melihat perspektif lain, menipu pada ketika itu tidak serius dan lebih kepada membentuk pemikiran kreatif. Kalau meneliti teori minda yang mana kreatif membabitkan imaginasi dan mengadakan sesuatu, jadi biasanya kanak-kanak ini bercerita daripada fahaman mereka.

"Memang apabila mereka bercerita sesuatu yang boleh menarik perhatian baik kawan sebaya atau orang dewasa, mereka akan menokok tambah kepada cerita kerana mereka sedang berimaginasi.

"Cuma ibu bapa boleh tahu pada usia sekitar dua hinggalah ke usia awal prasekolah penipuan mereka itu lebih mudah dikesan. Apabila ibu bapa menyoal anak usia ini sukar menyembunyikan," katanya.

Adakah ia sesuatu wajar diraikan ibu bapa, apabila anak mereka boleh mempunyai tabiat menipu, kata Dr Khadijah sebenarnya penting untuk penjaga kanak-kanak menilai sebenar terlebih dahulu punca atau tujuan anak-anak mereka berkelakuan sedemikian.

"Dalam moral memang kita sedia terdidik bahawa menipu adalah sesuatu tidak baik buat sesiapapun baik usia kanak-kanak apatah lagi dewasa. Kita diajar mengenai jujur dan integriti kerana itu dilihat sesuatu yang murni dalam masyarakat.

"Pada saya nasihat bagi ibu bapa ialah perlu faham terlebih dahulu sebab anak menipu, sama ada mereka ini inginkan perhatian, mahu elak dimarah, mahu elak melakukan sesuatu, kurang keyakinan diri atau lebih kepada eksperimen.

IBU bapa perlu elak memarahi anak di atas kesilapan mereka. FOTO: Sumber Google
IBU bapa perlu elak memarahi anak di atas kesilapan mereka. FOTO: Sumber Google

"Penipuan juga ada dua jenis iaitu 'anti social lie 'iaitu menipu bagi tujuan salah dan melakukan perkara negatif atau 'pro social lie' yang merujuk kepada penipuan berniat baik dan murni. Ini boleh difahami sering berlaku pada kanak-kanak usia antara empat hingga lima tahun yang mana mereka sudah faham kesan memaklumkan sesuatu kadangkala boleh menyakitkan.

"Contoh terdekat apabila ibu sendiri bertanya, Adakah masakan hari ini enak? Maklum balas normal anak kecil, mereka memuji meskipun tidak menyukai hidangan disajikan demi menjaga hati ibu mereka. Jadi penipuan anak itu berniat baik dan menyembunyikan hakikat demi menjaga hati orang yang disayangi," katanya.

Meskipun begitu kata Dr Khadijah amalan bercakap jujur perlu ditekankan kerana ia moral dan perkara sewajarnya dibentuk dalam diri anak-anak.

"Selalunya anak suka perhatian dan pujian dan selalunya itu mendorong mereka menipu. Jadi sebaiknya ibu bapa bersikap realistik dan pujian diberikan atas kerja keras anak berbanding hasil akhir," katanya.

DR KHADIJAH  FOTO: Ihsan Dr Khadijah
DR KHADIJAH FOTO: Ihsan Dr Khadijah

Berikut adalah teknik dalam membantu mengurangkan tabiat menipu dalam kalangan kanak-kanak

i. Tekankan bercakap benar ketika buat kesilapan kurang kesan buruk. Apabila anak melakukan kesilapan tegur dan puji mereka berani berterus-terang.

ii. Puji diberikan atas usaha dan kerja keras berbanding prestasi.

iii. Ibu bapa perlu abaikan kesempurnaan diingini pada kanak-kanak. Contohnya anak gemar menumpahkan air, elak memarahi dan hargai usaha mereka.

iv. Ibu bapa perlu tunjuk teladan iaitu kalau ada sesuatu yang salah atau kesilapan, ibu perlu meminta maaf.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 19 Ogos 2020 @ 7:00 AM