BUDAK berusia 6 tahun sudah mempunyai kesedaran untuk jaga penampilan diri
BUDAK berusia 6 tahun sudah mempunyai kesedaran untuk jaga penampilan diri
Nurul Husna Mahmud

Seperti golongan dewasa, solekan dikatakan memberi kesan positif terhadap kanak-kanak dari aspek psikologi kerana membantu meningkatkan rasa positif pada si pemakai.

Menurut Pakar Psikologi Klinikal Dr Noor Aishah Rosli, lumrah naluri semula jadi manusia untuk tampil cantik termasuklah kanak-kanak.

Seawal-awal usia dua tahun, mereka mudah tertarik dengan sesuatu yang cantik dan berwarna-warni termasuk solekan.

"Secara fitrah memang manusia tertarik dengan sesuatu yang cantik. Apatah lagi peranan solekan adalah untuk berhias dan tampil lebih menarik. Tidak hairanlah, kanak-kanak perempuan terutamanya cenderung untuk memiliki minat dalam bersolek.

"Apatah lagi didorong faktor persekitaran terutama imej kartun berperwatakan puteri mahupun penceritaan kisah dongeng yang selalu memperlihatkan imej karakter mengenakan solekan atau menghias diri dengan pakaian cantik," katanya.

Selain itu, teori perkembangan kanak-kanak melihat usia tertentu golongan ini lebih gemar mengajuk atau meniru perbuatan orang dewasa rapat seperti ibu dan kakak termasuk perbuatan bersolek.

"Pada usia tiga hingga empat tahun yang mana mereka ini memerhati dan pada peringkat seterusnya iaitu di usia lima hingga enam tahun mereka mula meniru perlakuan orang dewasa seperti ibu dan kakak yang kerap mengenakan solekan di depan mereka.

"Lebih menarik pada peringkat lima hingga enam tahun yang mana kanak-kanak sudah ada idea atau kesedaran kepentingan penampilan diri. Senario itu juga menyebabkan mereka yang lebih suka dengan aktiviti mencantikkan diri termasuklah bersolek kerana ia kaedah dapat membantu mereka menaikkan keyakinan diri.

ELAK berkongsi alat solek dan begitu juga jika ingin dipakai pada kanak-kanak gunakan produk atau peralatan baru mengelak pencemaran.
ELAK berkongsi alat solek dan begitu juga jika ingin dipakai pada kanak-kanak gunakan produk atau peralatan baru mengelak pencemaran.

"Selagi ia dalam ruang lingkup sebagai aktiviti bermain dan mendapat pemantauan serta panduan ibu bapa, ia tidak menjadi kesalahan selagi penggunaan alat kosmetik selamat atau minimal untuk kanak-kanak," katanya.

Secara peribadi beliau berpendapat anak kecil perempuan yang ada minat untuk tampil cantik dengan bersolek antara 'penanda aras' perkembangan psikologi anak itu sihat berdasarkan ekspresi warna solekan biasanya cerita dan cantik.

"Saya tegaskan aktiviti solek menyolek ini antara aktiviti boleh dilakukan ibu untuk rapat dengan anak perempuan mereka. Tetapi bukan untuk anak lelaki kerana saya pernah mengendalikan kes ibu yang turut mengenakan solekan kepada anak lelaki.

"Kesannya anak itu boleh berdepan dengan risiko kecelaruan jantina kerana menyangkakan lelaki boleh bersolek seperti mana kanak-kanak wanita," katanya.

Penting ibu bapa menjadi sebahagian daripada aktiviti solekan kerana dapat memberi panduan mengenai solekan atau penggunaan alat kosmetik berbanding ia didedahkan rakan sebaya atau pengaruh media sosial yang ada kalanya keterlaluan.

Sementara itu, Pakar Perunding Dermatologi Pusat Perubatan Universiti Malaya (PPUM) Kuala Lumpur, Dr Kwan Zhenli melihat tindakan mengenakan solekan pada kanak-kanak lebih banyak keburukan berbanding kebaikan apabila melihat aspek kesihatan mereka.

Kata pakar itu, berdasarkan fakta solekan yang dihasilkan dalam pasaran adalah untuk orang dewasa berbanding kumpulan kanak-kanak.

RADANG kulit antara implikasi yang kerap boleh dilihat apabila adanya gejala kemerah-merahan.
RADANG kulit antara implikasi yang kerap boleh dilihat apabila adanya gejala kemerah-merahan.

"Sebenarnya alat kosmetik yang ada dalam pasaran adalah tidak sesuai untuk kanak-kanak. Sehingga usia tiga tahun, kulit kanak-kanak 30 peratus lebih nipis berbanding orang dewasa.

"Keadaan itu menyebabkan kanak-kanak lebih cenderung untuk mengalami kehilangan air daripada kulit dan mempunyai kapasiti penyerapan yang lebih tinggi. Oleh itu, kanak-kanak sepatutnya menggunakan produk yang eksklusif atau diluluskan khusus untuk mereka," katanya.

Tambah Dr Kwan, organ atau bahagian tertentu pada wajah antara permukaan kulit yang sensitif berdasarkan ciri-ciri fisiologi dimiliki bahagian itu.

"Bibir juga sejenis mukosa yang akan menyerap bahan kimia dengan lebih mudah dan pengguna perlu berhati-hati apabila menyapu gincu di bibir kanak-kanak.

"Selain itu, kadar metabolisme kanak-kanak lebih tinggi dan badan kanak-kanak boleh menyerap hampir 100 peratus bahan kimia yang digunakan dengan kadar penyerapan yang 10 hingga 20 peratus lebih tinggi berbanding orang dewasa.

"Sistem daya tahan kanak-kanak juga kurang kuat berbanding orang dewasa dan kanak-kanak juga mempunyai keluasan badan yang lebih tinggi," katanya.

Sadisnya dalam statistik atau data berkait dengan penggunaan alat solekan mendapati seawal usia dua tahun kanak-kanak sudah terdedah dengan solekan.

BACA label untuk pemilihan bahan bebas kimia atau logam berat.
BACA label untuk pemilihan bahan bebas kimia atau logam berat.

Gambaran ini secara tidak langsung mereka berisiko terdedah dengan kimia dalam alat kosmetik seperti bahan-bahan yang mungkin menyebabkan alergi kulit termasuk getah, kobalt, nikel, paraben dan pewangi tertentu.

"Kulit mungkin menjadi merah, gatal, berair atau luka. Alat solek yang direka untuk kulit dewasa juga mungkin menyebabkan masalah jerawat, penuaan kulit dan pengeringan kulit.

"Bahan lain boleh ditemui adalah silika dan talkum (kerana dikontaminasi dengan asbestos) mungkin menyebabkan masalah paru-paru. Lebih parah lagi, sesetengah alat solek mengandungi logam berat seperti merkuri dan plumbum yang mungkin meninggalkan kesan jangka panjang seperti masalah sistem saraf dan mental serta menjejaskan perkembangan kanak-kanak," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 4 Jun 2022 @ 7:00 AM