Hafiz Ithnin


BUDAK mana yang tidak pernah nakal adalah ungkapan biasa yang kita dengar apabila melihat keletah kanak-kanak yang memberontak atau berkelahi sesama mereka.

Sebagai ibu bapa atau penjaga kadangkala perasaan marah tidak dapat dibendung apabila melihat perlakuan si anak yang dirasakan mengganggu ketenteraman mereka. Baik di rumah atau pun di tempat awam seperti pusat beli-belah atau restoran.

Kita juga biasa mendengar ungkapan jika sayangkan anak 'tangan-tangankan' iaitu diberi hukuman supaya mereka dapat dididik untuk mengikut arahan dan tidak melakukan perkara yang menyakitkan hati.

Pensyarah Jabatan Psikologi Pendidikan dan Kaunseling, Kulliyyah Pendidikan, Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM) Gombak, Profesor Madya Dr Mastura Badzis berkata, sebagai ibu bapa tidak boleh menghukum anak-anak dengan sesuka hati kerana keadaan mereka tidak seperti kita yang dahulu sudah biasa dirotan atau dimarahi ibu bapa untuk mendidik.

Beliau berkata, keadaan sekarang amat berbeza dengan situasi kehidupan masa kecil ibu dan bapa kerana jika dahulu terdapat banyak ruang untuk anak-anak melepaskan tekanan jika dimarahi atau dihukum berbanding kanak-kanak zaman kini.

“Kehidupan di bandar misalnya, kanak-kanak tinggal di kawasan rumah strata yang tidak mempunyai tempat untuk melepaskan perasaan mereka. Rumah pula agak kecil jadi mereka tidak boleh pergi ke mana-mana untuk melepaskan perasaan selepas dihukum ibu bapa.

HUBUNGAN keluarga dapat dieratkan jika ibu bapa dan anak-anak sentiasa memahami antara satu sama lain.
HUBUNGAN keluarga dapat dieratkan jika ibu bapa dan anak-anak sentiasa memahami antara satu sama lain.

“Kalau kita orang dewasa, dulu ketika kecil kita tinggal di kawasan yang mempunyai tempat untuk melarikan diri seketika daripada merasa tekanan seperti menaiki basikal keliling kampung atau pergi ke rumah jiran. Hari ini, zaman sudah berubah dan kanak-kanak tidak lagi mempunyai peluang seperti itu, katanya.

Ungkapan kanak-kanak zaman sekarang semakin manja adalah tidak tepat kerana zaman itu sudah berubah.

Mastura berkata, jika anak-anak melakukan kesalahan atau kesilapan terdapat beberapa perkara yang boleh dilakukan ibu bapa untuk memberi hukuman dalam usaha mendidik.

Katanya, ibu bapa tidak boleh terus menghukum seperti meninggikan suara kerana si kecil sepatutnya diberikan nasihat dan amaran terlebih dahulu sebagai peringatan perlakuan mereka itu salah.

“Nasihat secara lembut terlebih dahulu. Jelaskan bahawa perlakuan mereka itu tidak betul dan berikan penjelasan serta akibat jika si kecil melakukan perkara itu. Jadi mereka dapat memahami situasi itu, katanya.

Tambahnya, jika anak melakukan kesalahan di hadapan ibu, si ibu tidak seharusnya menyuruh ayah memarahi tindakan si anak.

“Selain itu, jangan lakukan dua hukuman serentak dalam satu masa. Contohnya, apabila sudah meninggikan suara kepada si kecil, kita terus menyuruhnya melakukan hukuman kedua seperti membuat ketuk ketampi. Perkara ini menyebabkan si kecil mengalami tekanan. Cukup satu kesalahan dan dihukum dengan satu hukuman, katanya.

Katanya, jangan memaksa anak untuk meminta maaf selepas dihukum kerana ia perlu ikhlas dan bukan suatu paksaan. Perkara itu penting bagi mendidik jiwa mereka mengenai maksud meminta maaf dan paksaan juga boleh memberi tekanan psikologi.

“Selain itu, jika sudah menghukum, jangan merekod atau memuat naik hukuman itu di media sosial kerana kita tidak mahu, jika mereka keluar berjumpa masyarakat, si kecil merasa tertekan kerana orang lain tahu dia dihukum ibu bapa, katanya.

MEMBERI secara lembut dapat menjadikan anak lebih dekat dengan ibu bapa.
MEMBERI secara lembut dapat menjadikan anak lebih dekat dengan ibu bapa.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 11 April 2020 @ 6:31 AM