JANGAN sesekali jadikan anak sebagai tempat melepaskan tekanan atau kemarahan.
JANGAN sesekali jadikan anak sebagai tempat melepaskan tekanan atau kemarahan.
Siti Nadirah Hafidzin

Realiti yang tidak dapat disangkal, kebanyakan ibu bapa semakin hari semakin tertekan apabila si anak mula menunjukkan perubahan sikap dan melakukan perkara yang mengundang kemarahan.

Mungkin ia adalah lumrah dalam proses membesarkan anak, namun setiap ibu bapa pasti mahukan yang terbaik dalam memastikan permata hati menjadi individu yang bukan saja cemerlang dari aspek akademik malah mempunyai didikan, jati diri serta disiplin diri terbaik.

Hukuman fizikal seperti merotan dan menyebat dianggap sebagai amalan biasa dalam corak didikan keibubapaan masyarakat Asia.

Ia juga dianggap sebagai cara paling berkesan dalam mendidik dan mendisiplinkan anak, persoalan yang timbul di sini adakah kaedah itu sesuai dan boleh digunakan dalam mendidik anak tersayang.

Menurut Perunding Kanan (Pendidikan & Keibubapaan) Ikhwah Training & Resources Nur Firdaus Abdul Razak, berdasarkan kajian dalam aspek didikan dan kekeluargaan yang dilakukan di seluruh dunia, kecenderungan menggunakan kaedah hukuman fizikal didapati berlaku dalam kalangan ibu bapa masyarakat Asia dan Afrika.

"Malah, ia turut diamalkan masyarakat Asia dan Afrika yang tinggal di negara kulit putih seperti Amerika Syarikat. Masyarakat barat dikenali dengan sikap keterbukaan dalam corak asuhan mereka, manakala masyarakat timur bersikap tegas dan berorientasikan pendisiplinan.

"Mungkin apabila membaca artikel ini, ramai di antara kita yang mula berfikir bagaimanakah cara didikan yang digunakan dalam mendidik anak setiap hari, adakah terlalu garang atau terlalu berlembut," ujarnya.

 PASTIKAN anak faham mengapa mereka dihukum.
PASTIKAN anak faham mengapa mereka dihukum.

Nur Firdaus berkata, gaya asuhan ibu bapa terbahagi kepada empat kategori:

• Keibubapaan dominan : Banyak meminta, sedikit mendengar, anak-anak tidak diberikan hak bersuara

• Bersikap penyayang dan tegas: Banyak meminta, banyak mendengar, anak-anak diberikan hak bersuara

• Keibubapaan permisif: Hampir tidak meminta, banyak mendengar, anak-anak dilihat terlalu bebas

• Bersikap mengabaikan: Hampir tidak meminta, hampir tidak mendengar, anak-anak terabai

Berdasarkan empat kategori gaya asuhan atau didikan ibu bapa itu, Nur Firdaus berkata, secara konsepnya, keibubapaan dominan adalah corak asuhan ibu bapa yang autokratik, banyak permintaan terhadap anak supaya melakukan sesuatu atau mencapai sesuatu dan anak-anak tidak atau kurang diberi peluang untuk bersuara khususnya dalam membuat keputusan keluarga.

Dalam konsep ini, peraturan keluarga ditentukan sepenuhnya oleh ibu bapa.

Keibubapaan yang bersikap penyayang dan tegas pula adalah corak asuhan ibu bapa yang ala demokratik. Ibu bapa mempunyai banyak permintaan supaya melakukan sesuatu atau mencapai sesuatu, namun anak-anak diberi ruang untuk bersuara dan menyatakan pandangan khususnya dalam membuat keputusan keluarga.

"Peraturan keluarga ditentukan oleh ibu bapa, namun pandangan anak-anak turut diambil kira. Keibubapaan permisif dan mengabaikan adalah gaya keibubapaan yang ada kekurangan kerana ibu bapa tidak meminta atau sangat kurang meminta anak-anak untuk melakukan sesuatu atau mencapai sesuatu.

"Bagi gaya permisif, ibu bapa banyak mendengar dan memberikan apa yang diminta oleh anak-anak sebaliknya dalam corak keibubapaan yang mengabaikan pula ibu bapa tidak mahu mendengar dan memenuhi apa yang diminta oleh anak-anak," katanya.

Menurutnya, dalam era 80-an, kebanyakan ibu bapa di Malaysia mengamalkan gaya dominan. Penggunaan hukuman fizikal seperti merotan adalah antara ciri yang dapat dilihat melalui gaya ini dan ramai yang percaya ia adalah cara yang terbaik.

Cara Rasulullah

"Namun persoalan di sini, adakah anak-anak berusia tujuh tahun dan ke bawah sesuai dipukul dalam konteks mendisiplinkan mereka. Untuk mendapat jawapan yang jelas, bagi masyarakat Islam, boleh meneliti sebuah hadis berkenaan menyuruh anak-anak mendirikan solat.

"Mengikut hadis itu, Nabi Muhammad SAW bersabda yang bermaksud perintahkanlah anak-anakmu mendirikan solat ketika mereka berusia tujuh tahun dan pukul mereka (sekiranya tidak mendirikan solat) ketika berusia 10 tahun dan pisahkanlah tempat tidur mereka," ujarnya.

Nur Firdaus berkata, apa yang dapat diperhatikan melalui lafaz suci baginda dalam hadis itu? Ya, pukullah ketika usia anak-anak mencapai 10 tahun.

"Melalui hadis ini juga, kita dapati memukul bukanlah kaedah mendidik yang baik untuk anak-anak yang berusia bawah 10 tahun. Kita imbas semula teori kognitif Piaget yang mana menurutnya, kanak-kanak pada usia dua hingga tujuh tahun berada dalam tahap praoperasi.

"Praoperasi adalah tahap di mana anak-anak banyak berimaginasi dan belum mampu berfikir secara logik. Apabila belum boleh memahami logik, mereka tidak mampu melakukan justifikasi dan menentukan sesuatu itu baik atau tidak baik," katanya.

Tambahnya, apabila kanak-kanak memasuki usia tujuh tahun, mereka sudah mencapai tahap operasi konkrit, iaitu kemampuan daya fikir yang lebih kompleks termasuk membezakan apa yang baik dan tidak baik.

"Mereka sudah boleh berfikir secara logik, namun logik mereka hanya berkisar sekitar perkara yang konkrit saja. Konkrit bermaksud sesuatu yang jelas dan tidak abstrak. Contoh perkara abstrak adalah keadilan, kesaksamaan hak, nilai kasih sayang hakiki dan perkara rumit seumpamanya.

"Atas dasar ini, Allah SWT melalui nabinya memerintahkan ibu bapa supaya mengajarkan anak solat. Solat adalah sesuatu yang konkrit. Ia boleh dilihat dan diikuti dengan mudah dan anak hanya boleh mula dipukul sebagai pengajaran kerana tidak menunaikan solat apabila usia mereka memasuki 10 tahun," ujarnya.

Rotan sayang sebelum waktu

Anak-anak berusia tujuh tahun belum boleh dipukul. Nur Firdaus berkata, mereka masih tidak boleh memahami pukulan itu adalah pukulan disebabkan sayang.

"Bagi mereka, pukulan itu adalah hukuman. Walaupun kita terangkan merotan kerana sayang, mereka tetap tidak boleh memahami falsafah 'pukul, pengajaran dan sayang'.

"Ya, mereka akan takut untuk meninggalkan solat tetapi ia bukanlah kerana takutkan Allah SWT, sebaliknya kerana ingin mengelakkan diri daripada mendapat hukuman," katanya.

Terdapat dua kesan buruk utama jika ibu bapa masih memukul kanak-kanak di bawah usia tujuh tahun iaitu:

1. Anak akan berasakan ibu bapa adalah insan 'penghukum', cenderung untuk menggunakan cara fizikal jika mereka buat kesalahan. Ia boleh membuatkan mereka sedikit jauh hati dengan ibu bapa.

2. Anak 'mentaati' ibu bapa kerana adanya hukuman dan menyebabkan mereka tidak bersolat ketika ketiadaan ibu bapa.

JANGAN memukul atau merotan anak di bawah usia tujuh tahun.
JANGAN memukul atau merotan anak di bawah usia tujuh tahun.

Tambahan pula, Nur Firdaus berkata, kanak-kanak yang belum akil baligh bukanlah seorang mukallaf dan mereka tidak berdosa sekiranya meninggalkan solat. Sememangnya ia satu perkara yang dilihat kurang baik, namun kita perlu melihatnya daripada kaca mata wahyu, bukannya emosi kita sendiri.

"Apabila mencapai kematangan fikiran, mereka akan mampu memahami pukulan seorang ibu bapa adalah satu perintah Allah SWT. Ia dilakukan kerana rasa sayang dan rasa ingin menyelamatkan mereka. Anak-anak juga akan memahami konsep tanggungjawab. Pendidikan agama adalah satu tanggungjawab ibu bapa. Justeru semua yang berkaitan dengannya adalah sesuatu yang berkaitan dengan bab tanggungjawab.

"Pemahaman seperti ini hanya mampu dicapai oleh anak yang sudah mencapai tahap kematangan berfikir. Justeru amat berbahaya sekiranya anak di bawah usia ini sering dipukul oleh ibu bapa bahkan ada ibu bapa yang menjadikan anak sebagai tempat melepaskan tekanan dan kemarahan. Mereka sememangnya tidak akan memahami ia dilakukan sebagai tanda sayang, kesannya, mereka akan membesar sebagai individu yang mempunyai sifat panas baran," katanya.

Bagaimana menghadapinya?

Tambah Nur Firdaus, mendisiplinkan anak dengan nilai Islam adalah tanggungjawab bagi setiap ibu bapa Muslim. Kaedah dan pendekatannya juga perlu selari dengan apa yang disyariatkan agama. Berikut adalah apa yang boleh ibu bapa lakukan untuk mendisiplinkan anak-anak:

1. Sempurnakan segala keperluan mereka (kasih sayang, makan, perlindungan). Bagi yang pernah menunggang kuda, mereka akan memahami bahawa kuda tidak akan memberikan apa yang kita mahu selagi kita tidak memberikan apa yang mereka mahu. Manusia bukan kuda, manusia adalah khalifah maka soal keperluan ini perlulah lebih diberikan perhatian.

2. Menjadi qudwah sepanjang awal usia mereka. Seperti yang kita bincangkan, bayi dan kanak-kanak kecil memerhatikan seluruh percakapan dan perbuatan ibu bapa untuk belajar cara menjadi seorang manusia. Kesungguhan ibu bapa dalam membentuk keperibadian anak akan meminimumkan kebarangkalian mereka melakukan sesuatu yang boleh mengundang kemarahan.

3. Jika perlu merotan, laksanakan mengikut panduan Islam. Jangan rotan anak yang belum boleh berfikir sempurna, jangan rotan bahagian depan badan dan jangan rotan secara menghayun.

4. Paling penting, jangan sesekali menggunakan tangan untuk memukul anak-anak.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 6 April 2018 @ 4:48 PM