VIE Xendra sentiasa mementingkan asas dan kesesuaian warna kepada individu yang disoleknya.
VIE Xendra sentiasa mementingkan asas dan kesesuaian warna kepada individu yang disoleknya.
Hafiz Ithnin


BERKERJAYA atau tidak, mekap akan sentiasa menjadi teman baik wanita, terutama dalam menutup cela.

Jika tahun lalu, solekan minimalis menjadi perhatian seluruh dunia, 2020 pula tidak banyak berubah.

Menurut Jurusolek Profesional Vie Xenddra, wanita masa kini lebih tertarik dengan solekan semula jadi yang mengutamakan warna tanah untuk pemakaian harian.

Namun, ia tetap perlu disesuaikan dengan acara, yang mana warna lebih menyerlah perlu dimainkan jika menghadiri majlis makan malam atau glamor.

OLESAN gincu yang berkilat sesuai digunakan pada acara glamor.
OLESAN gincu yang berkilat sesuai digunakan pada acara glamor.

“Saya menjangkakan trend untuk 2020 tidak terlalu berubah seperti tahun sebelumnya kerana solekan semula jadi dan menaikkan seri masih menjadi pilihan.

“Warna tanah dan semula jadi seperti coklat akan tetap menjadi pilihan untuk tatarias mata serta keseluruhan. Mungkin ada campuran elemen warna-warni ketika menghadiri majlis glamor.

“Elemen ini akan mengembalikan kita kepada solekan era 1970-an dengan hijau dan merah yang dioles di mata sebagai penyeri wajah,” katanya yang berpengalaman 20 tahun sebagai jurusolek.

Gincu dekad ini dijangka menampilkan warna merah menyala, selain warna tanah kerana memberi kesegaran dan lebih daya tarikan, berbanding merah jambu terang.

Warna itu juga senang untuk disesuaikan dengan solekan semula jadi. Tiada lagi mekap malam atau siang, sebaliknya satu solekan boleh dipadankan untuk apa jua suasana.

“Bagi wanita berkerjaya, lebih sesuai dengan mekap semula jadi atau korporat. Jika perlu menghadiri acara pada sebelah malam, solekan itu akan menjadi solekan asas, yang mana mereka hanya perlu oleskan gincu jenis berkilat sahaja untuk nampak lebih elegan dan glamor.

“Lagipun sudah tiada lagi konsep mekap siang, mekap malam. Ada wanita menggunakan mekap yang menonjol seperti mekap malam ketika majlis di sebelah siang.

“Tiada yang salah dalam solekan. Apa yang penting, kena tahu asas mekap dan kesesuaian mekap dengan kulit serta karakter pemakai,” katanya yang tidak menggalakkan penggunaan ‘highlighter’ bagi wanita berusia dan mempunyai kulit jerawat.

WARNA semula jadi dijangka terus menjadi perhatian pada tahun ini.
WARNA semula jadi dijangka terus menjadi perhatian pada tahun ini.

Vie menasihati wanita supaya menggunakan mekap yang bersesuaian dengan diri untuk tampil menawan, berbanding mengikut trend melulu.

Kata pemilik Instagram queenxenddra_ itu, wanita perlu berkeyakinan ketika mengenakan solekan yang fungsinya untuk menaikkan sisi jelita.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 17 January 2020 @ 8:30 AM