FAEZNUR mahu wanita tampil berkeyakinan dengan seni bela diri.
FAEZNUR mahu wanita tampil berkeyakinan dengan seni bela diri.
Yusliza Yakimir Abd Talib


PERSEKITARAN yang semakin mencabar buat wanita dan kanak-kanak menjadikan mereka sasaran mudah si penjenayah, malah saban hari kita dihidangkan berita menakutkan, kes penculikan, rogol dan banyak lagi kejadian tidak diingini.

Berdepan peristiwa hitam apabila rakan baiknya sendiri menjadi mangsa ragut ketika berjalan ke tempat kerja beberapa tahun lalu membuka mata wanita ini terhadap pentingnya setiap wanita mengetahui setidak-tidaknya asas untuk mempertahankan diri.

Lantas, berbekalkan pengalaman selama sembilan tahun dengan muay thai, Faeznur Farok berazam mendedahkan seramai mungkin wanita dan kanak-kanak kepada program seni bela diri menerusi pusat seni mempertahankan yang diasaskannya, SheFights Malaysia (SheFights) dua tahun lalu.

Faeznur yang lebih mesra disapa Benny berkata, asas penubuhan SheFights berlandaskan kesedaran yang masih berkurangan dalam kalangan masyarakat kita selain mendapati kurangnya pusat seni mempertahankan diri untuk wanita dan kanak-kanak di Malaysia.

Katanya, atas dasar keprihatinan terhadap keselamatan golongan ini di samping mahu memberi keyakinan kepada mereka untuk menghadapi apa jua perkara yang bakal berlaku juga antara sebab dia menjadi tenaga pengajar seni mempertahankan diri.

BERI tunjuk ajar seni bela diri asas ketika menghadapi serangan.
BERI tunjuk ajar seni bela diri asas ketika menghadapi serangan.

“Sukan bela diri sebenarnya bukan hanya untuk persediaan ketika berdepan situasi tidak diingini sebaliknya sebagai latihan koordinasi, fleksibiliti malah satu cara mengurangkan berat badan, mengekalkan kecergasan dan kesihatan.

“Inspirasi penubuhan pusat ini pun kerana rakan baik saya pernah diragut turut mempunyai masalah berat badan berlebihan yang teruk (obes). Ketika kejadian itu berlaku, dia tidak dapat melawan mahupun melarikan diri kerana keadaan fizikalnya.

“Selepas kejadian itu, rakan saya meminta bantuan untuk menurunkan berat badan dan mahu kekal cergas di samping mempelajari seni bela diri. Jadi, selain menekankan kepentingan seni mempertahankan diri, setiap wanita perlu sedar pentingnya mengekalkan tahap kecergasan untuk berdepan kejadian tidak diingini,” katanya ketika ditemui pada program kerjasama SheFights dan RUANG by Think City di Kuala Lumpur, baru-baru ini.

Wanita berusia 28 tahun ini juga antara atlet muay thai dan Brazilian jujitsu yang aktif menyertai pertandingan dalam sukan seni bela diri itu di samping menjadi jurulatih tomoi yang diiktiraf International Sport Kickboxing Association (ISKA).

Malah wanita ini turut aktif sebagai jurulatih kecergasan, memberi khidmat latihan sukan seperti sukan angkat berat dan senaman untuk mengurangkan berat badan.

Pelbagai aktiviti berkaitan kesihatan dilaksanakan antaranya latihan kecergasan di gimnasium dan pejabat hinggalah pada awal 2016, Faeznur mengambil langkah menubuhkan Shefights untuk memberi peluang lebih ramai wanita dan kanak-kanak menyertai sekurang-kurangnya satu sukan bela diri.

Berbekalkan pengalaman dalam muay thai, dia mula mencari rakan kongsi untuk memulakan pusat kecergasan yang hanya fokus pada wanita bagi membolehkan mereka melakukan aktiviti lebih selesa.

SheFights kini mempunyai pasukan instruktor seni mempertahankan diri dan menjalankan sekurang-kurangnya lima program pertahanan diri dengan salah satu daripadanya menjadi program awam percuma yang bermula tahun lalu.

Kini, lebih 1,000 wanita dan kanak-kanak sudah mendapat manfaat menerusi program yang dianjurkan malah Faeznur turut meluaskannya ke peringkat korporat menerusi kelas, seminar dan bengkel.

FAEZNUR.
FAEZNUR.

Dia turut bekerjasama dengan pelbagai pertubuhan termasuk Unicef Malaysia dan Women’s Aids Organization bagi menjayakan kempen kesedaran berkaitan wanita dan kanak-kanak.

“Namun, saya akui kesedaran mengenai seni bela diri masih di peringkat awal bahkan ramai yang meluahkan perasaan malu, takut, terasa sudah terlalu lambat untuk sertai seni bela diri terutama apabila sudah berusia dan berbadan besar.

“Hakikatnya, sesiapa saja boleh mempelajarinya bahkan ia sebagai cara mengekalkan kesihatan dan kecergasan bukan semata-mata pandai berlawan serta mempertahankan diri,” katanya.

Faeznur berkata, dia turut berlatih bersama beberapa rakan menerusi The Combative Malaysia. Mereka adalah yang berkemahiran dalam pelbagai jenis seni bela diri seperti tomoi, seni bela diri campuran dan muay thai bagi mengenal pasti sama ada apa yang diajar adalah berkesan kepada peserta.

Katanya, penting bagi pasukannya mengkaji bentuk serangan yang pernah dilakukan pelaku jenayah terhadap mangsa ketika ingin menculik, memperkosa, membunuh dan pelbagai ancaman lain agar modul khusus mempertahankan diri untuk wanita serta kanak-kanak dapat digunakan ketika serangan terjadi.

“Saya berharap platform yang saya sediakan ini dapat dimanfaatkan sepenuhnya oleh orang ramai khususnya wanita bukan hanya untuk meningkatkan keyakinan diri malah sebagai persediaan buat mereka menempuh sebarang cabaran dalam kehidupan,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 11 November 2019 @ 6:30 AM