TEKNIK seni mempertahankan diri ditunjukkan dalam bengkel.
TEKNIK seni mempertahankan diri ditunjukkan dalam bengkel.
Yusliza Yakimir Abd Talib

Persekitaran yang semakin mencabar buat wanita dan kanak-kanak menjadikan golongan itu sasaran mudah jenayah, malah saban hari kita dihidangkan berita menakutkan, kes penculikan, rogol dan banyak lagi kejadian tidak diingini.

Justeru, sudah tiba masanya golongan ini terus dididik dengan lebih mendalam mengenai seni mempertahankan diri, sekali gus mengelakkan mereka terus menjadi sasaran pemangsa.

Baru-baru ini, ONE Championship (ONE) bersama SheFights.my, badan bukan kerajaan (NGO) memperkasakan wanita dan kanak-kanak menerusi seni mempertahankan diri menganjurkan Bengkel Pendidikan Mempertahankan Diri untuk Wanita 2018 di Kuala Lumpur.

Bengkel itu mengetengahkan sistem pertahanan diri yang direka untuk wanita iaitu teknik She Fights, mengajar wanita cara terbaik untuk bertindak balas terhadap gangguan sama ada bersifat seksual atau keganasan rumah tangga serta pelbagai jenis keganasan lain.

SheFights turut mendidik wanita mengenai undang-undang pertahanan diri di Malaysia, memperkasakan wanita dengan ilmu pengetahuan terhadap langkah pasca gangguan yang berlaku kepada mangsa termasuk bagaimana mendapatkan kaunseling dan perlindungan untuk wanita yang menjadi mangsa penderaan.

Objektif utamanya untuk mendidik dan memberi kesedaran mengenai jenayah terhadap wanita dan mengajar mereka bagaimana mengelakkan jenayah dengan pengetahuan dan sikap yang betul.

Menerusi bengkel itu, dua atlet ONE, Hisyam Samsudin dan Jihin Radzuan menunjukkan bakat dan kemahiran mereka dalam seni pertahankan diri.

JIHIN (kiri) bersama Hisyam.
JIHIN (kiri) bersama Hisyam.

Hisyam berkata, wanita di seluruh dunia terutama di negara ini harus memiliki akses kepada pengetahuan mengenai pertahanan diri dan semua orang harus dapat melindungi diri mereka dan orang yang tersayang.

“Ia satu penghormatan untuk menjadi sebahagian daripada acara penting ini. SheFights melaksanakan tugas luar biasa untuk meningkatkan kesedaran berkaitan jenayah terhadap wanita.

“Saya gembira dapat membantu dengan meminjamkan bakat dan kemahiran saya dalam acara ini,” katanya.

Sementara itu, Jihin yang juga pengamal wushu dan Muay Thai serta pemegang tali pinggang biru jiu-jitsu berkata, sebagai seorang wanita dalam masyarakat, adalah penting menekankan keperluan mendapatkan ilmu dan pengetahuan mengenai mempertahankan diri.

“Saya percaya semua wanita perlu memiliki pengetahuan ini untuk memberi kekuatan dan kebijaksanaan bagi melakukan perkara yang betul dalam setiap situasi tidak diingini. Ini sangat penting untuk saya dan saya amat berbangga dapat berkongsi kemahiran saya untuk tujuan ini.

“Pada pendapat saya, SheFights melakukan tugas yang luar biasa dan saya gembira untuk semua wanita yang akan dapat kami bantu,” katanya.

Wanita diberi gelaran ‘Shadow Cat’ yang berusia 19 tahun ini juga adalah prospek seni mempertahankan diri muda dan bekas juara Dunia FIOGA Wushu dengan kemunculan pertamanya dalam ONE.

Jihin yang juga pemegang pingat Emas dan Perak Terbuka Asia Tenggara dalam Muay Thai bakal menempuh pertarungan pertama dalam kejohanan itu di Stadium Axiata Arena, Jumaat ini.

TEKNIK seni mempertahankan diri ditunjukkan dalam bengkel.
TEKNIK seni mempertahankan diri ditunjukkan dalam bengkel.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 8 Mac 2018 @ 7:00 AM