PERTEMBUNGAN dua peserta dalam acara Muay Thai.
PERTEMBUNGAN dua peserta dalam acara Muay Thai.
Nurul Husna Mahmud

Bagi melihat wanita mempunyai platform atau saluran sendiri dalam pembabitan seni mempertahankan diri, studio seni mempertahankan diri, Fitness Champ tampil berkolaborasi dengan pusat kecergasan di Semenanjung menerusi penganjuran acara Fight Like A Girl di Zebra Square, Kuala Lumpur, baru-baru ini.

Menurut pengasasnya Kal Rejab, penganjuran acara itu sempena sambutan Hari Wanita Sedunia dan diharap dapat memperkasakan serta memberi peluang peminat seni khususnya kelompok wanita mempertahankan diri.

"Penganjuran Fight Like A Girl adalah pencetus kepada acara menghimpunkan pelbagai disiplin mempertahankan diri seperti tinju, Muay Thai dan seni mempertahankan diri campuran (Mixed Martial Art- MMA).

"Hari ini 20 peserta diturunkan mewakili kelab, studio seni mempertahankan diri, pusat kecergasan atau wakil perseorangan dari sekitar Semenanjung.

"Melihat sambutan baik dalam kalangan peserta atau penonoton, kami menjangkakan penganjuran lebih besar untuk tahun depan," katanya.

Tambah Kal, penganjuran terbabit juga memberi mesej keperluan seni mempertahankan diri penting bagi melindungi diri dan maruah dalam situasi memerlukan.

"Penganjuran ini tidak semestinya mahu menunjukkan wanita boleh menandingi lelaki dalam seni mempertahankan diri, sebaliknya untuk mendidik wanita boleh menguasai seni itu tidak kira umur, latar belakang mahupun bentuk badan.

AKSI peserta dalam perlawanan kategori tinju.
AKSI peserta dalam perlawanan kategori tinju.

"Mesej penting ialah wanita perlu ada seni mempertahankan diri sebagai lapisan pertama untuk keselamatan. Selain itu, kita sedia maklum sejak pandemik, isu wanita menjadi mangsa keganasan rumah tangga dan seksual juga meningkat.

"Dengan menguasai seni mempertahankan diri tertentu dapat melindungi diri dan orang kesayangan mereka. Aspek lain ingin saya kongsikan sebaik pembabitan wanita dalam seni mempertahankan diri ialah ia membantu meningkatkan kualiti hidup dengan kekal cergas," katanya.

Katanya lagi, peserta yang menyertai pertandingan kali ini berusia 20 tahun sehingga 41 tahun dan datang dari pelbagai latar belakang profesion termasuk berstatus isteri serta ibu.

Peserta kategori tinju, Alia Sampuri, 25, menyambut baik usaha penganjur mengadakan acara terbabit khusus untuk wanita.

"Saya sebelum ini adalah penggiat sukan Muay Thai dan mula beralih kepada tinju kerana minat. Adanya pertandingan seperti ini boleh tingkatkan tahap penguasaan dan impak latihan.

"Selain itu, meningkatkan motivasi dan keyakinan diri apabila berpeluang menyertai perlawanan di arena sebenar. Ia penting untuk meningkatkan skil dan penguasaan seni mempertahankan diri," katanya.

Harapan beliau, moga ramai wanita lebih berani menceburi seni mempertahankan diri kerana memberikan impak baik terutama kepada kesihatan diri.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 17 Mac 2022 @ 6:30 AM