SITI HAJAR sentiasa menyokong Syifa Qaisarah terbabit dalam aktiviti silat.
SITI HAJAR sentiasa menyokong Syifa Qaisarah terbabit dalam aktiviti silat.
Yusliza Yakimir Abd Talib

SILAT, taekwondo, judo, karate dan wushu antara beberapa seni mempertahankan diri popular di seluruh dunia. Gerak langkah dalam seni bela diri itu juga antara langkah terbaik untuk anak remaja membina kecergasan, disiplin diri dan kemahiran sosial.

Mungkin ada yang berfikir jika anak didedahkan kepada aktiviti itu, mereka akan menjadi keras dan menyalahgunakan kemahiran itu untuk kepentingan diri sendiri. Ini antara sebab mengapa ada sesetengah ibu bapa dulu tidak membenarkan anak perempuan mereka menyertai aktiviti seperti ini kerana bimbang anak gadis hilang sifat manisnya.

Perkara ini tidak mustahil boleh terjadi, tetapi jika dilihat dari perspektif yang positif ia lebih memberi manfaat berbanding memberi kesan buruk atau negatif. Malah pendedahan kepada seni bela diri juga sikit sebanyak mampu menjadi benteng pertahanan di saat anak remaja khususnya perempuan apabila berdepan situasi kecemasan mahupun bahaya.

Tambahan pula, persekitaran yang semakin mencabar buat kanak-kanak dan remaja menjadikan golongan itu sasaran mudah bagi jenayah. Kini boleh dikatakan saban hari kita dihidangkan dengan berita yang menakutkan, kes penculikan, rogol dan banyak lagi kejadian tidak diingini.

NOORAZIZAH sentiasa beri sokongan dua anak gadisnya menyertai muay thai.
NOORAZIZAH sentiasa beri sokongan dua anak gadisnya menyertai muay thai.

Justeru, sudah tiba masanya anak-anak kita diberi didikan dengan lebih mendalam dalam soal keselamatan dan antara langkah yang boleh dilakukan ialah membuka peluang mereka mengenali seni mempertahankan diri dan mengikuti kelasnya hingga mahir. Walaupun ia bukan jaminan anak kita akan terselamat daripada jenayah, setidak-tidaknya anak-anak ini diberikan asas untuk mempertahankan diri, sekali gus mengelakkan mereka terus menjadi sasaran pemangsa.

Banyak kelebihan dan manfaat yang diperoleh daripada pembabitan dalam aktiviti ini. Selain dijadikan sebagai salah satu bentuk senaman, ramai ibu bapa menyedari peningkatan jati diri dan disiplin anak remaja mereka.

Menurut Alnisa Amil, anak sulung dan anak keduanya mengikuti kelas karate sejak enam tahun lalu ketika mereka berusia 10 dan tujuh tahun. Melihat ketekunan dan kelebihan mereka, anak bongsunya yang kini berusia tujuh tahun turut mengikut jejak langkah abang dan kakaknya. Dia juga mahu mempunyai ilmu yang mereka miliki.

Dalam tempoh itu katanya, dia melihat sukan itu memberi begitu banyak manfaat kepada anak-anaknya kerana selain dapat mempelajari seni mempertahankan diri, mereka juga dapat mengisi masa lapang dengan aktiviti bermanfaat.

“Awalnya suami yang menghantar anak mengikuti latihan karate dan mereka menunjukkan minat mendalam terhadap sukan ini. Sejak itu, saya dan suami terus memberi galakan kepada mereka melakukan yang terbaik dan bersungguh-sungguh dalam sukan itu.

“Malah ahli keluarga kami yang lain turut memberi galakan termasuk ada yang menawarkan diri membayar yuran pertandingan karate apabila ada kejohanan di sekitar negeri ini. Ia membuatkan anak lebih bersemangat untuk menunjukkan prestasi terbaik,” katanya.

Menurutnya, anaknya juga seperti kanak-kanak lain yang suka bermain bersama rakan sebaya. Bagaimanapun, ketika menjalani latihan karate dan mengikuti pertandingan, mereka lebih berdisiplin dan fokus untuk berjaya.

Mereka kini juga lebih yakin ketika bertanding termasuk tatkala berdepan dengan lawan. Walaupun latihan berlangsung pada setiap hujung minggu, mereka tidak pernah menunjukkan rasa bosan atau enggan mengikuti latihan.

Malah katanya, mereka sendiri sudah sedia maklum jadual latihan dan sentiasa lebih bersedia mengikuti kelas latihan.

Alnisa yang berasal dari Tawau, Sabah berkata, karate juga memupuk semangat juang dan keyakinan dalam diri anaknya. Anak kedua, Nuranalisa Diana Mahadir, 13, misalnya, walaupun memiliki saiz badan kecil berbanding rakan sebaya, tetapi sentiasa bersemangat untuk menyertai aktiviti di sekolah seperti lumba lari dan menjuarinya.

“Saya percaya semangat juang yang dipelajarinya ketika latihan dan pertandingan karate, berjaya memupuk daya keyakinan dalam diri mereka sama ada di sekolah dan kehidupan seharian. Selain karate, Nuranalisa juga sering terpilih untuk mewakili kelas dan sekolah dalam pertandingan pidato dan sebagainya.

“Manakala, anak sulung Haikal Khusyairie Aqriz, 16, turut menunjukkan pencapaian cemerlang saban tahun dan menerima pelbagai anugerah dalam kejohanan karate di sekitar Sabah.

“Ketika ini Haikal Kusyairie dan Nuranalisa memiliki tali pinggang coklat-hitam manakala anak bongsu kami Nurmaysara Farzana Mahadir turut mengikuti latihan karate di tempat sama sejak setahun lalu,” katanya.

Menurutnya, semua anaknya tidak mempunyai masalah untuk membahagikan masa antara karate dan pelajaran kerana hanya memperuntukkan masa dua jam setiap Sabtu dan Ahad untuk latihan.

Katanya, dia bersyukur kerana setakat ini mereka masih boleh belajar dan bersukan seperti biasa, cuma agak sibuk ketika menjelang musim pertandingan karate kerana perlu menjalani latihan insentif pada waktu petang atau malam selepas waktu persekolahan.

“Alhamdulillah walaupun sibuk mengikuti kelas dan pertandingan karate, anak sulung saya turut mendapat keputusan 5A dalam peperiksaan PT3 manakala anak kedua pula mendapat 2A dalam UPSR tahun lalu,” katanya.

BERSAMA jurulatih karate.
BERSAMA jurulatih karate.

BENTUK SIKAP POSITIF

Siti Hajar Mahmud turut menghantar anaknya, Syifa Qaisarah Mohd Sham, 11, mengikuti latihan silat kerana menyedari banyak manfaat menerusi seni bela diri itu antaranya keseimbangan antara akademik dan aktiviti kecergasan.

Katanya, meskipun masih baru, anaknya menunjukkan minat mendalam dan bersungguh-sungguh menjalani latihan yang diadakan sekali seminggu malah anak gadisnya itu lebih bersemangat dan ceria.

“Saya mula tertarik mahu anak babitkan diri dalam seni bela diri kerana pernah terbaca satu jurnal mengenai kelebihan aktiviti kecergasan terutama sukan ini dengan aktiviti otak kita. Seni mempertahankan diri mampu merangsang kesan positif pada aliran otak dan secara tidak langsung membantu sedikit sebanyak keseimbangan fizikal dan mental.

“Lagipun sekarang ini banyak kes membabitkan kanak-kanak dengan penculikan, cubaan memperkosa dan banyak lagi kejadian tak diingini. Jadi, saya rasakan aktiviti seni mempertahankan diri sebagai langkah pertahanan diri sekiranya berdepan unsur jenayah seperti itu.

“Asas mengelakkan dan mempertahankan diri adalah satu bentuk kemahiran yang patut ada pada semua kanak-kanak hari ini, lebih-lebih bagi anak perempuan seperti Syifa Qaisarah,” katanya.

Menurutnya, Syifa Qaisarah kini lebih faham kenapa perlunya belajar seni mempertahankan diri dan sudah pasti bukan untuk disalahgunakan, tetapi sebagai satu kemahiran untuk menjaga keselamatan dirinya apabila berdepan situasi tidak diingini.

Katanya, meskipun masih terlalu awal untuk melihat dari aspek peningkatan disiplin, memang itu yang diharapkan agar anaknya itu lebih berdisiplin, menepati masa dan menghormati orang lain.

Menurut Siti Hajar, guru sekolah yang menguruskan aktiviti ini sentiasa mengemaskini jadual latihan anak-anak malah mereka turut berkomunikasi menerusi kumpulan WhatsApp agar lebih mudah berhubung dengan guru penyelaras.

Memandangkan jadual latihan seminggu sekali katanya, ia tidak mengganggu jadual waktu sekolah, manakala malam sebelum sesi latihan dia akan memastikan anaknya tidur awal.

“Seni mempertahankan diri seperti silat pada saya sangat halus, setiap pergerakan penuh makna tersendiri. Seni ini melambangkan nilai budaya dan seni yang tinggi masyarakat Melayu.

“Dalam kelembutan seni dan pergerakannya, ada pergerakan untuk mempertahankan diri. Kita tahu setiap seni mempertahankan diri ada kelebihan dan kelemahannya maka terpulang pada ibu bapa membuat keputusan dalam memastikan anak mempunyai keseimbangan antara akademi dan aktiviti sukan,” katanya.

Bagi Noorazizah Yussof, kedua-dua anak gadisnya Nuratiqah Nadia dan Nursyafiqah Naziha yang mengikuti seni bela diri muay thai sejak 2016 begitu teruja mengikuti latihan sejak pertama kali diperkenalkan.

Katanya, sebagai ibu, dia memberi galakan dan sokongan sepenuhnya terhadap minat mereka apatah lagi sukan itu sangat baik dari segi meningkatkan kecergasan dan pertahanan diri.

“Banyak perubahan yang mereka tunjukkan sejak tiga tahun mengikuti kelas bela diri ini. Walaupun perempuan, mereka lebih berani namun tetap berdisiplin dan menjaga etika sebagai pengamal seni bela diri ini. Apa yang paling melegakan saya sebagai ibu adalah mereka tiada masa untuk dibazirkan untuk perkara tidak berfaedah.

“Saya juga nampak perubahan positif mereka yang lebih bertanggungjawab dan saling menyokong antara satu sama lain. Disebabkan selalu bersama mengikuti latihan, mereka juga semakin akrab malah membentuk hubungan baik dengan rakan lain dalam sukan ini,” katanya.

ALNISA dan suami sentiasa memberi galakan kepada tiga anak mereka dalam karate.
ALNISA dan suami sentiasa memberi galakan kepada tiga anak mereka dalam karate.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 7 Mac 2019 @ 1:10 PM