KHAIRUL Nidzam menjaga dan menguruskan anaknya sejak lahir.
KHAIRUL Nidzam menjaga dan menguruskan anaknya sejak lahir.
Oleh Nor ‘Asyikin Mat Hayin


Kuala Lumpur: Lelaki ini pernah berasa malu 'memegang' status duda muda apatah lagi mempunyai anak perempuan kecil pada usia 25 tahun.

Namun perasaan ini lenyap apabila Khairul Nidzam Mokhtadza, 29, mengambil pendekatan untuk berdamai dengan takdir tertulis.

Kini, dia berasa bangga kerana menjadi bapa mithali kepada anak tunggalnya, Qhaisa Qhaila Khairul Nidzam, berusia empat tahun yang dijaga dan diuruskannya sejak dilahirkan.

Keakraban Khairul Nidzam dengan anaknya sangat erat seperti digambarkan di laman sosial TikTok apabila dia gemar memuat naik gambar dan kisah mereka di media sosial berkenaan.

Perkongsian Khairul Nidzam menarik perhatian warganet hingga ada menggelarkannya Duda Kiriman Tuhan, Presiden Duda dan Duda Kacak.

Ada antara perkongsian Khairul Nidzam di Tiktok mendapat empat juta tontonan dan 200,000 tanda suka.

Warganet menzahirkan rasa kagum terhadapnya kerana sanggup dan berupaya menjaga anak yang masih kecil.

Khairul Nidzam yang berasal dari Sarawak berkata, dia mengambil keputusan menjaga bayi baru dilahirkan sepenuhnya selepas bercerai dengan bekas isteri pada 2019.

Menurutnya, sebagai bapa kandung dan wali kepada Qhaisa Qhaila, dia merasa bertanggungjawab untuk menjaga anaknya, selain mahu memberikan didikan agama secukupnya.

"Saya menjaga anak dengan penuh kasih sayang dan menatangnya bagai minyak yang penuh. Qhaisa Qhaila adalah segala-galanya dan nyawa saya. Untuknya saya sanggup melakukan apa sahaja demi kebahagiaannya.

"Setiap hujung minggu, saya akan memastikan membawanya keluar sama ada ke pusat membeli belah, taman tema atau taman rekreasi untuk meluangkan masa berkualiti bersama Qhaisa Qhaila.

"Pendekatan ini dilakukan supaya Qhaisa Qhaila mempunyai minda terbuka dan membesar dalam persekitaran yang baik serta sempurna," katanya yang bekerja di sebuah syarikat swasta di ibu kota.

Menurutnya, atas sebab itu, dia tidak mengenakan sebarang sekatan atau halangan kepada bekas isteri untuk berjumpa dengan Qhaisa Qhaila.

"Ini kerana saya mahukan Qhaisa Qhaila sentiasa mendapat perhatian dan kasih sayang daripada ibukandung yang melahirkannya.

"Tambahan pula, ada kalanya saya bertugas di luar kawasan dan anak akan bermalam di rumah bekas isteri," katanya.

Khairul Nidzam berkata, sememangnya tugas bapa tunggal bukan mudah, memandangkan anaknya adalah anak perempuan yang dibesarkan tanpa ibunya di sisi.

"Namun saya sangat bersyukur kerana keluarga sangat membantu dalam menguruskan anak kecil saya. Tambahan pula Qhaisa Qhaila adalah cucu pertama dalam keluarga menyebabkan dia menjadi tumpuan ahli keluarga.

"Buat masa ini, saya belum terbuka hati untuk mencari pengganti (isteri) kerana masih berasa trauma dengan pengalaman lalu.

"Ada kalanya saya tertanya-tanya, adakah wujud wanita lain yang sanggup menjaga dan menyayangi anak tiri seperti anak kandung.

"Beberapa insiden ibu tiri atau ayah tiri tidak melayani anak dengan baik menyebabkan saya berasa takut untuk berkahwin lagi," katanya.

Namun katanya, dia tidak dapat menolak takdir seandainya ada jodoh baharu, tetapi berharap wanita itu dapat menerima serta menyayangi Qhaisa Qhaila seikhlas hati seperti anak kandung.

Sayalah bapa, sayalah ibu

Kasih kepada anak melebihi segala-galanya membuatkan lelaki ini sanggup berkorban jiwa, raga dan melupakan kebahagiaan diri demi memastikan permata hatinya mendapat perhatian serta kasih sayang secukupnya.

Disebabkan itu juga, Mohd Azlan Roslan, 38, mengambil keputusan berhenti bekerja di kilang demi menguruskan anaknya, Nur Irdina Sofea yang kini berusia setahun lima bulan sepenuh masa.

Mohd Azlan memilih menjadi bapa dan ibu kepada Nur Irdina Sofea sejak anaknya itu berusia tiga bulan iaitu selepas dia berpisah dengan bekas isterinya.

Menurutnya, keputusan itu dibuat selepas berbincang dengan bekas isteri untuk memberi peluang kepadanya (bekas isteri) bekerja.

"Saya mengambil keputusan mengalah (berhenti kerja) dan mengambil tanggungjawab menjaga serta membesarkan Nur Irdina Sofea kerana terlalu sayang kepadanya.

"Walaupun Nur Irdina Sofea membesar tanpa ibu di sisinya, tetapi saya akan memastikan dia mendapat kasih sayang secukupnya," katanya.

Mohd Azlan berkata, dia masih berasa serik dengan pengalaman lalu dan akan lebih berhati-hati dalam membuat sebarang keputusan, terutama membabitkan soal perkahwinan.

"Walaupun buat masa kini tiada ke arah itu (perkahwinan), tetapi sebarang keputusan akan membabitkan Nur Irdina Sofea. Saya tidak mahu tumpuan kepadanya terganggu.

"Sebelum ini, saya ada menerima banyak pandangan negatif apabila segelintir masyarakat melihat saya kerap berada rumah menjaga anak. Mereka beranggapan saya tidak bekerja dan mempersoalkan bagaimana mahu memberi anak makan jika tidak bekerja," katanya.

Bagaimanapun, dia tidak cepat melatah dan menjelaskan melakukan pekerjaan di rumah dengan menjual pelbagai produk secara atas talian.

"Pendapatan yang saya diperoleh dengan berniaga atas talian mencukupi untuk menyara hidup kami dua beranak," katanya.

Jelasnya, dia lebih selesa menjaga dan membesarkan anak sendiri tanpa bantuan orang lain, walaupun keluarganya bersedia membantu.

"Sejak menjaga Nur Irdina Sofea, berlaku perubahan drastik dalam hidup iaitu saya mula belajar memasak dan mencuci pakaian di rumah.

"Sebelum berkahwin dahulu, saya akan cuci pakaian di kedai dobi dan membeli makanan di kedai makan. Paling menarik apabila saya perlu mencari resepi di internet untuk penyediaan makanan berkhasiat buat Nur Irdina Sofea.

"Saya lakukan segalanya yang terbaik buat Nur Irdina Sofea kerana dia adalah amanah Allah SWT yang perlu dijaga seikhlas hati dan istiqomah," katanya.

Ditanya mengenai harapan terhadap Nur Irdina Sofea, Mohd Azlan berkata, dia mengimpikan anaknya itu membesar menjadi anak solehah dan mentaati agama.

"Jika mengikut semua perkara itu, Insya-Allah anaknya akan berjaya dunia dan akhirat," katanya.

Pahala buat duda hebat

Bapa tunggal yang menjaga anak dengan baik akan mendapat ganjaran pahala besar daripada Allah SWT terutama jika anak dipelihara menjadi anak soleh serta solehah.

Pensyarah Fiqh Fatwa Makanan dan Kepenggunaan Semasa, Pusat Kajian Syariah Universiti Kebangsaan Malaysia Prof Madya Datuk Dr Mohd Izhar Ariff Mohd Kashim berkata, ini kerana menjaga anak masih kecil adalah tanggungjawab yang berat dan mereka mampu menggalas dengan sebaiknya.

"Mereka ini adalah insan terpilih, hebat dan luar biasa. Apatah lagi bapa tunggal ini sanggup mengenepikan kebahagiaan diri semata-mata demi anak.

"Lazimnya, ibu mendapat hak penjagaan anak selepas perceraian. Tetapi apabila mahkamah memberikan hak penjagaan ini kepada bapa, bermakna bapa itu lebih layak dan diutamakan.

Dr Mohd Izhar Ariff Mohd Kashim.
Dr Mohd Izhar Ariff Mohd Kashim.

"Pastinya hakim mahkamah syariah lebih mengetahui sebab bapa itu wajar diberikan hak penjagaan anak berbanding si ibu.

"Saya yakin bapa tunggal ini mempunyai syarat yang cukup untuk menjaga anak-anak selepas perceraian," katanya.

Menurutnya, bapa tunggal ini mempunyai kecekalan untuk memberikan kasih sayang secukupnya dan memastikan anak-anak tidak terabai serta tidak berasa sedih dengan perceraian ibu bapa.

"Ayah tunggal sebegini akan dapat memperjuangkan hak anak dan pada masa sama, mencari pasangan yang sesuai untuk dirinya serta boleh menerima anak tiri seperti anak kandung.

"Saya kongsikan tip untuk menjadi bapa mithali iaitu sentiasa berfikiran positif, sentiasa melihat tanggungjawab seorang bapa, perlu melihat anak-anak sebagai satu tanggungjawab yang wajib dilaksanakan," katanya.

Galas amanah jaga empat anak

Pernah berada pada titik kehidupan paling rendah berpunca akibat perceraian dan kejatuhan perniagaan.

Namun semua itu tidak menjadi penghalang kepada duda, Jamizan Jamaludin, 48, menjadi bapa terbaik kepada empat cahaya matanya.

Buktinya, kesemua anak di bawah jagaannya sejak 2016 membesar dengan sempurna, meskipun tanpa belaian manja di berikan seorang ibu.

Bahkan hubungannya bersama anak-anak berusia di antara sembilan hingga 20 tahun amat akrab.

Jamizan yang aktif sebagai ejen hartanah berkata, di peringkat awal mengambil alih peranan menjaga anak-anak yang masih kecil bukanlah keputusan yang mudah.

"Ketika itu saya berhadapan dengan masalah kewangan agak teruk susulan masalah perniagaan dihadapi. Tiga kenderaan mewah terpaksa dijual untuk menampung kos kehidupan kami lima beranak.

"Ditambah pula ketika perceraian berlaku, anak saya masih kecil dan berusia antara dua hingga 13 tahun. Mereka memerlukan perhatian seorang ibu. Saya perlu kuat supaya emosi anak tidak terganggu.

"Keadaan sangat mencabar apabila anak sulung terkena serangan kebimbangan dan saya perlu ulang alik ke hospital bagi membolehkan dia mendapat rawatan," katanya.

Bagaimanapun, dia melihat semua cabaran itu sebagai sesuatu yang positif.

"Saya terus bersabar membesarkan anak walaupun dalam keadaan cukup makan.

"Ketika itu juga kebergantungan saya kepada Allah SWT sangat tinggi menyebabkan urusan menjaga serta membesarkan anak-anak menjadi sangat mudah," katanya.

Menurutnya, dia akan menjaga, mengurus, menghantar dan mengambil anak pulang dari sekolah sambil bekerja.

"Saya juga menjadi 'cef' kepada empat anak yang tidak pernah dilakukan sebelum bercerai dengan bekas isteri.

"Setiap malam, menjadi rutin kami sekeluarga meluangkan masa bersama untuk makan malam dan menonton televisyen. Saya mewujudkan budaya dalam keluarga iaitu tidak memegang telefon pintar pada jam 8 hingga 10 malam.

"Dengan cara ini hubungan kami menjadi lebih erat dan anak tidak merasa terpinggir," katanya.

Katanya lagi, oleh kerana dirinya seorang yang menjaga penampilan, ada rakan-rakan mengelarkan dirinya sebagai 'duda berhias'.

Jamizan berkata, walaupun sudah tujuh tahun menjadi duda, dia tidak serik untuk mendirikan rumah tangga lagi, tetapi belum menjumpai calon yang sesuai.

"Tumpuan kini ada membesarkan anak dan mahu memastikan mereka berjaya dalam akademik serta kerjaya," katanya.

JAMIZAN  mendapat jolokan ‘duda berhias’ kerana mampu membesarkan empat anak bersendirian.
JAMIZAN mendapat jolokan ‘duda berhias’ kerana mampu membesarkan empat anak bersendirian.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 9 September 2023 @ 8:00 AM