PERUNTUKAN pembangunan untuk perumahan rakyat amat penting bagi meningkatkan kualiti kehidupan penduduk golongan B40.
PERUNTUKAN pembangunan untuk perumahan rakyat amat penting bagi meningkatkan kualiti kehidupan penduduk golongan B40.
Muhamaad Razis Ismail

Pembentangan Belanjawan 2024 oleh Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim baru-baru ini dilihat membantu merancakkan kembali sektor hartanah yang masih terkesan akibat pandemik Covid-19 dan kemelesetan ekonomi global.

Belanjawan yang bertemakan 'Reformasi Ekonomi, Memperkasa Rakyat' merancang melaksanakan beberapa inisiatif untuk memenuhi objektif yang ditetapkan.

Antaranya adalah kerajaan memperuntukkan RM2.47 bilion bagi melaksanakan projek perumahan rakyat untuk terus menyediakan kediaman mampu milik kepada golongan B40.

Sejumlah RM546 juta disediakan bagi meneruskan 36 Program Perumahan Rakyat (PPR) termasuk satu projek baharu di Kluang, Johor.

Kerajaan juga memperuntukkan RM460 juta bagi menyediakan bantuan kepada kira-kira 65,000 rakyat susah di desa untuk membina rumah baharu atau membaik pulih rumah yang daif.

Tidak lupa juga RM100 juta disediakan bagi menyelenggara perumahan berstrata kos rendah dan sederhana awam dan swasta seluruh negara. Ia dapat digunakan dalam kerja membaiki tangki air, bumbung dan sistem pendawaian serta memasang kamera litar tertutup.

Pensyarah Kanan Pengajian Harta Tanah & Ukur Bangunan Kolej Pengajian Alam Bina Universiti Teknologi Mara (UiTM) Shah Alam, Dr Muhammad Azwan Sulaiman berkata, secara keseluruhan, Belanjawan 2024 untuk sektor hartanah amat baik dan diberi perhatian sewajarnya.

"Apa yang menarik perhatian adalah peningkatan peruntukan untuk Skim Jaminan Kredit Perumahan (SKJP) dinaikkan menjadi RM10 bilion berbanding RM5 bilion pada tahun sebelumnya.

"Saya menjangkakan sekurang-kurangnya inisiatif ini mampu manfaatkan 40,000 peminjam. Kesannya ia mampu meningkatkan permintaan kepada perumahan yang masa kini banyak unit perumahan yang tidak terjual akibat kesukaran pembeli mendapatkan pembiayaan," katanya.

Beliau berkata, selain peruntukan khas untuk projek perumahan terbengkalai turut diberikan perhatian dalam Belanjawan 2024 kali ini, projek perumahan rakyat juga terus diberikan perhatian dengan peruntukan terus dilaksanakan dengan beberapa projek baharu.

"Peruntukan untuk projek sakit pula memberi nafas baharu kepada pembeli yang terhimpit akibat projek yang tidak siap.

BELANJAWAN 2023 untuk sektor hartanah amat baik dan diberi perhatian sewajarnya.
BELANJAWAN 2023 untuk sektor hartanah amat baik dan diberi perhatian sewajarnya.

"Sebanyak RM2.4 bilion pula diperuntukkan bagi pembangunan untuk perumahan rakyat amat penting bagi meningkatkan kualiti kehidupan penduduk golongan B40 di mana peruntukan ini digunakan untuk baik pulih rumah daif, penyelenggaraan flat kos rendah dan mewujudkan PPR yang baharu di beberapa kawasan," katanya.

Bagaimanapun, beliau menjangkakan sektor hartanah pada tahun hadapan terkesan susulan kenaikan cukai jualan dan perkhidmatan (SST) kepada lapan peratus.

"Sebagai contoh, caj SST yang dikenakan membebankan pembeli baharu," katanya.

Selain itu, yang pasti menjadi tumpuan adalah sistem rantaian bekalan bahan binaan dan perkhidmatan sektor hartanah akan meningkat.

"Ini pasti membebankan pemaju dan kontraktor yang akhirnya peningkatan kos dipindahkan kepada pembeli.

"Walaupun masih terlalu awal untuk meramalkan keadaan ini, tetapi berdasarkan pengalaman lalu sebelum ini, kenaikan harga rumah dan bekalan bahan binaan akan berlaku," katanya.

Jelasnya, kenaikan harga rumah tidak dapat dielakkan berikutan peningkatan harga bekalan bahan binaan.

"Cuma kita tidak dapat pastikan, sama ada ia mengakibatkan kesan segera atau masa tertentu.

"Di sini perlu ada langkah sesuai supaya tidak berlaku peningkatan mendadak atau spekulasi harga terus bermain.

"Lebih penting, pemain industri perlu ada sifat tanggungjawab supaya tiada pihak mengambil kesempatan berikutan peningkatan SST ini," katanya.

Beliau mengharapkan supaya kerajaan terus memberi perhatian terhadap cukai yang dikenakan terhadap pemilikan hartanah.

"Antara cadangannya adalah pemberian pengecualian Duti Setem 100 peratus terhadap hartanah di bawah RM1 juta bagi pindah milik yang berlaku dalam tempoh tiga tahun ini kerana masih berada dalam pasca pandemik Covid-19 di mana rakyat mengalami fasa penyesuaian atau mengimbangi kenaikan kos dengan komitmen sedia ada.

"Pengecualian itu mampu mengimbangi kos kenaikan harga rumah, sekali gus membantu pemilikan rumah untuk rakyat," katanya.

Katanya, kerajaan perlu mempertimbangkan untuk memberi pengecualian SST terhadap sektor hartanah.

"Pada saya cukup dua 'rejim' cukai yang sedia seperti duti setem dan cukai keuntungan hartanah yang dikenakan untuk hartanah. Lebih elok hanya satu sistem cukai tunggal boleh diperkenalkan kerajaan," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 27 Oktober 2023 @ 7:02 AM