Muhamaad Razis Ismail


Berdasarkan situasi global semasa, ramai pakar dan penganalisis menjangkakan 2023 adalah tahun mencabar kepada ekonomi.

Malaysia sudah pasti tidak terkecuali dan kini bahangnya sudah dapat dirasai.

Oleh itu, pembentangan Bajet 2023 pada 7 Oktober ini amat penting untuk melihat pendekatan kerajaan untuk menangani cabaran yang bakal dihadapi ini termasuk membabitkan sektor hartanah.

Pensyarah Kanan Pusat Pengajian Pengurusan Hartanah, Fakulti Senibina Perancangan & Ukur UiTM Shah Alam, Dr Muhammad Azwan Sulaiman berkata, pada 2023, pasaran hartanah negara dijangka terus menghadapi tekanan terutama dalam isu pemilikan dan bekalan pasaran harta tanah sedia ada dalam pasaran.

"Isu kemampuan pemilikan rumah, rumah yang tidak terjual dan lambakan hartanah memerlukan tindakan yang signifikan daripada kerajaan terutama dalam belanjawan 2023 yang diumumkan kelak.

"Berdasarkan data terkini dikeluarkan Pusat Maklumat Harta Tanah Negara (Napic), sehingga suku kedua tahun ini, lambakan hartanah tidak terjual ini masih tinggi iaitu melebihi 30,000 unit dan kebanyakan di negeri seperti Selangor, Johor dan Pulau Pinang.

"Malah berdasarkan laporan itu juga, menunjukkan lebih 80 peratus rumah tidak terjual ini antara rumah yang berharga RM300,000 hingga RM1 juta di mana 28.3 peratus adalah kediaman bawah RM300,000, 28.3 peratus antara RM300,000 hingga RM500,000 dan 29.6 peratus harga rumah antara RM500,000 hingga RM1 juta ini," katanya.

FOKUS kepada pemulihan kuasa beli dalam pasaran terlebih dahulu.
FOKUS kepada pemulihan kuasa beli dalam pasaran terlebih dahulu.

Menurutnya, Bajet 2023 amat penting bagi menentukan arah tuju pasaran hartanah negara pasca Covid-19.

"Kita kini tidak boleh menyalahkan Covid-19 lagi pada 2023 kerana tahun ini kita sudah hampir 99 peratus dalam proses pemulihan. 2023 adalah pasaran mesti dalam keadaan normal.

"Justeru, pemain industri hartanah dan masyarakat memerlukan satu langkah yang pragmatik dari kerajaan.

"Pada yang dilihat kini, dasar sedia ada sebenarnya memberi kelebihan kepada pemaju berbanding kepada pembeli dan kerajaan perlu membuat sesuatu dasar yang mampu memberi impak besar kepada pasaran hartanah," katanya.

Beliau berkata, penambah baik dasar terdahulu pastinya perlu dilakukan seperti pengecualian duti setem, cukai keuntungan harta tanah (RPGT) dan pakej bantuan kewangan untuk pemilikan harta kediaman.

"Fokus perlu diberikan kepada pemulihan kuasa beli dalam pasaran terlebih dahulu. Sebab itu saya tegaskan, perlahankan dahulu pembangunan hartanah yang baharu supaya hartanah sedia ada dapat diselesaikan.

TANGANI isu perumahan yang akan memberi manfaat terutama kepada golongan B40 dan M40.
TANGANI isu perumahan yang akan memberi manfaat terutama kepada golongan B40 dan M40.

"Kalau kita terlalu fokus kepada insentif yang lebih memberi keuntungan kepada pemaju atau pelabur, ia pasti memberi imej negatif kepada kerajaan di mata rakyat. Oleh itu, ia perlu seimbang," katanya.

Jelasnya, penyelesaian secara tuntas mengenai rumah tidak terjual dan keupayaan pemilikan rumah oleh rakyat perlu terus diberikan perhatian.

"Dalam bajet kali ini, kerajaan perlu lebih berani membuat keputusan yang walaupun mungkin tidak popular pada pihak tertentu. Ketegasan kerajaan menangani isu hartanah dan perumahan dengan lebih serius pastinya memberi manfaat kepada rakyat terutama golongan B40 serta M40.

"Walaupun dalam bajet 2023 tidak mampu menyelesaikan sekali gus isu hartanah, namun Bajet 2023 perlu dilihat sebagai platform untuk membina keyakinan rakyat dan pelabur mengenai masa depan pasaran hartanah," katanya.

Sementara itu, bagi Presiden Persatuan Perunding Hartanah Muslim Malaysia (Peham), Sr Ishak Ismail berkata, sektor hartanah bergelut dengan cabaran semasa termasuk inflasi, kenaikan harga bahan binaan, kesukaran untuk mendapatkan pinjaman bank dan kenaikan Kadar Dasar Semalaman (OPR).

TANGANI impak kenaikan OPR melalui Bajet 2023.
TANGANI impak kenaikan OPR melalui Bajet 2023.

Oleh itu, menerusi Bajet 2023, momentum pemulihan sektor hartanah ini perlu terus disokong kerajaan dengan memberi beberapa bantuan dan insentif termasuk pengecualian duti setem yang diberikan kepada pasaran kediaman utama diperluaskan untuk pasaran kediaman sekunder (subsale).

"Selain itu, kita mengharapkan kerajaan mempertimbangkan supaya RPGT untuk penjualan tiga tahun pertama dikurangkan dari 30 peratus kepada sekurang-kurangnya 20 peratus.

"Pengurangan ini dapat membantu mereka yang terkesan untuk melupuskan hartanah tanpa dibebani dengan cukai yang tinggi. Inisiatif ini satu segmen dilihat membantu pembeli dan pada masa sama, penjual hartanah," katanya.

Selain itu, beliau melihat kerajaan perlu mempertimbangkan untuk menyediakan insentif kepada pemaju yang menggunakan teknologi Sistem Binaan Berindustri (IBS).

"Langkah ini penting untuk mengurangkan impak kenaikan kos bahan binaan dan kebergantungan terhadap buruh asing.

"Teknologi IBS ini perlu diperluaskan kerana ia jauh lebih murah dan mempercepatkan pembinaan, sekali gus dapat menyelesaikan masalah berbangkit lain," katanya.

Pada masa sama, beliau turut mencadangkan kerajaan menetapkan syarat kajian pasaran dan kemungkinan wajib dijalankan sebelum kelulusan diberikan kepada pemaju.

"Laporan hasil kajian ini perlu disediakan perunding berkelayakan untuk memastikan projek terbengkalai dan tidak terjual tidak berulang," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 30 September 2022 @ 7:00 AM