INDUSTRI hartanah negara penting untuk ekonomi.
INDUSTRI hartanah negara penting untuk ekonomi.
Hafiz Ithnin


BELANJAWAN 2021 dibentangkan pada Jumaat lalu turut menyentuh isu perumahan yang tidak lain tidak bukan bagi menggalakkan lagi kerancakan industri hartanah negara.

Perkara ini penting kerana industri perumahan adalah sektor terpenting dalam membantu negara menjana pendapatan dan tidak boleh dipandang sepi meskipun kita berdepan situasi pandemik Covid-19.

Antara yang diumumkan Menteri Kewangan, Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz ialah pengecualian duti setem sepenuhnya diberikan ke atas surat cara pindah milik dan perjanjian pinjaman bagi pembelian rumah kediaman pertama bernilai sehingga RM500,000.

Pengecualian ini adalah untuk perjanjian jual beli yang disempurnakan mulai 1 Januari tahun depan sehingga 31 Disember 2025.

Kedua, pengecualian duti setem ke atas perjanjian pinjaman dan surat cara pindah milik diberikan kepada kontraktor penyelamat dan pembeli asal rumah terbengkalai dilanjutkan bagi tempoh lima tahun lagi.

Pengecualian ini adalah untuk perjanjian jual beli yang disempurnakan mulai 1 Januari tahun depan sehingga 31 Disember 2025 bagi projek perumahan terbengkalai yang disahkan Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan.

PENGECUALIAN duti setem dapat menjimatkan pembeli.
PENGECUALIAN duti setem dapat menjimatkan pembeli.

Mengulas mengenai perkara ini, Penganalisis Hartanah dari Legasi Hartanah (M) Sdn Bhd, Datuk Norhafiz Suleiman berkata, inisiatif yang diberi untuk Belanjawan 2021 dilihat sangat positif dan sangat baik bagi pemilikan hartanah pertama untuk rakyat.

Katanya, dengan penjimatan setem duti kadar kosong peratus untuk kedua-dua jenis dokumentasi iaitu perjanjian jual beli dan pinjaman bank, pembeli pertama akan meraih penjimatan maksimum sehingga dianggarkan RM11,250.

"Menerusi kadar rumah di sekitar bandar utama di Malaysia, rumah pada kadar RM500,000 ke bawah adalah rumah mampu milik rakyat Malaysia.

"Penjimatan seperti ini pastinya ramai pemilik rumah pertama menarik nafas lega dan ia sangat membantu rakyat menjimatkan wang mereka," katanya.

Katanya lagi, bagi inisiatif pengecualian duti setem bagi projek yang terbengkalai disambung kontraktor, ia pasti meringankan pemaju untuk meneruskan projek bermasalah dan merancakkan kembali projek yang terbengkalai.

NORHAFIZ
NORHAFIZ

"Jika dilihat pada sudut positif, rumah yang terbengkalai bakal disiapkan, sekali gus akan membantu mengelakkan kerugian pihak terbabit.

"Malah, inisiatif ini sebenarnya banyak membantu golongan pertengahan yang baharu mulakan kehidupan dalam kerjaya.

"Mungkin dalam simpanan akaun dua Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) masih sedikit, tapi gaji mereka mampu membayar ansuran bulanan. Pastinya ada impak kepada golongan pertengahan di Malaysia dan kita boleh melihat pemilikan pada tahun depan akan meningkat," katanya.

Jelasnya, bagaimanapun masih ada beberapa kategori dalam hartanah yang sukar terjual terutama yang menjual lebih daripada kemampuan rakyat dan melebihi harga pasaran semasa.

"Semua pihak yang terbabit dalam sektor hartanah perlu mengambil pendekatan baharu dan mengkaji semula pakej tawaran semasa unit supaya ia mudah untuk dimiliki rakyat Malaysia," katanya.

BELANJAWAN 2021 bagi merancakkan kembali industri perumahan negara yang terkesan akibat Covid-19.
BELANJAWAN 2021 bagi merancakkan kembali industri perumahan negara yang terkesan akibat Covid-19.

Sementara itu, Penganalisis Hartanah dan Pengasas Saudagar Hartanah, Ahmad Firdaus Mahmod mengulas mengenai Belanjawan 2021, langkah pengecualian duti setem itu memberi manfaat kepada pembeli untuk menjimatkan pengeluaran wang tunai mereka bagi pembelian rumah.

"Biasanya pihak pembiaya akan menawarkan 90 peratus pembiayaan dan 10 peratus perlu ditanggung bakal pembeli dan terdapat kos lain daripada nilai pembelian itu menokok antara empat hingga lima peratus lagi.

"Jadi bakal pembeli perlu menyediakan sehingga 15 peratus maksimum bagi pembelian rumah dan perkara ini sudah tentu menyebabkan mereka memerlukan aliran tunai yang baik atau simpanan dalam akaun dua KWSP," katanya.

Jelasnya, apabila langkah ini dibuat, sudah pasti bakal pembeli dapat menjimatkan lagi kadar tambahan sehingga lima peratus itu untuk membeli rumah dan hanya memerlukan aliran tunai sehingga 10 peratus sahaja daripada harga kediaman bagi rumah pertama.

"Sebenarnya pengumuman ini juga sebagai satu nilai tambah bagi Pelan Jana Semula Ekonomi Negara (Penjana) yang diumumkan pada Jun lalu yang me

mberi pelepasan kepada cukai keuntungan harta tanah (CKHT) sehingga Disember tahun depan iaitu penjual dapat menjual rumah mereka dengan lebih rendah dan lebih cepat.

"Apabila berlaku dalam keadaan ekonomi mencabar ketika ini, penurunan harga jualan dapat membantu menguatkan lagi kuasa membeli," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 13 November 2020 @ 7:00 AM