BILIK tidur.
BILIK tidur.
KEDIAMAN pertama Raja Nur Hazwani dan suami.
KEDIAMAN pertama Raja Nur Hazwani dan suami.
Muhamaad Razis Ismail


SAMBUTAN Aidilfitri bagi pasangan suami isteri ini menjadi lebih bermakna pada tahun ini apabila akan diraikan di kediaman pertama mereka di Kuala Langat, Selangor.

Rumah teres satu tingkat yang dibeli pada 2020 oleh Raja Nur Hazwani Raja Hizan, 32, dan suaminya, Adly Dzil Ikram Zahir, 34, hanya siap sepenuhnya pada tahun lalu selepas tertangguh akibat pandemik Covid-19.

Sebaik memperoleh kunci kediaman pada tahun lalu, kerja-kerja pengubahsuaian dan menata hias kediaman terus dilakukan dengan mengetengahkan konsep minimalis.

Pada Disember tahun lalu, Raja Nur Hazwani bersama suami dan dua anak mula mendiami rumah teres yang berkeluasan 1,170 kaki persegi.

Raja Nur Hazwani berkata,beliau dan keluarga sangat teruja apabila dapat menyambut Aidilfitri di kediaman baru pada tahun ini.

"Biarpun masih belum sempurna sepenuhnya, namun perasaan menyambut Aidilfitri pada tahun ini agak berbeza apabila pertama kali meraikannya di kediaman sendiri. Biar pun persediaan dilakukan secara sederhana sahaja.

"Saya teruja dan seronok kerana bakal menyambut satu lebaran bersama ibu bapa, adik-beradik dan saudara-mara beraya di rumah," katanya.

Berkongsi perjalanan memiliki kediaman pertama, Raja Nur Hazwani berkata, selepas empat tahun menyewa, beliau dan suami membuat keputusan untuk membeli rumah.

RAJA Nur Hazwani dan keluarga teruja dapat beraya di kediaman baharu.
RAJA Nur Hazwani dan keluarga teruja dapat beraya di kediaman baharu.

Katanya, pertimbangan itu dibuat selepas mengambil kira nilai sewaan kediaman sebelum ini hampir sama dengan ansuran bulanan yang perlu dibayar kepada bank jika memiliki kediaman sendiri.

"Selepas membuat penelitian rapi, kami membuat keputusan untuk membeli rumah teres satu tingkat dan berjumpa dengan agen hartanah bagi membuat permohonan membeli rumah pertama.

"Proses untuk menandatangani dokumen jual beli rumah mengambil masa selama sehari sahaja namun untuk menunggu maklum balas berkenaan kelulusan pinjaman mengambil masa selama tiga bulan kerana prosesnya membabitkan banyak perkara.

"Selepas permohonan diluluskan, kami perlu menandatangani perjanjian jual beli rumah (SPA). Kemudian, selepas semua proses ini selesai, kami sering melawat kawasan projek perumahan terbabit walaupun belum siap sepenuhnya kerana ingin melihat perkembangan proses yang dilakukan," katanya.

MENGETENGAHKAN konsep minimalis.
MENGETENGAHKAN konsep minimalis.

Menurutnya, dalam memilih kediaman yang bersesuaian, mereka membuat kajian teliti untuk mengelakkan sebarang masalah bakal timbul pada masa hadapan termasuk projek kediaman terbengkalai.

"Selama dua tahun kami mencari maklumat mengenai perumahan ini. Penelitian yang dilakukan terhadap pemaju projek mendapati rekod pembangunan dalam keadaan baik dan yang paling penting (pemaju) bebas dari senarai hitam.

"Malah kami melihat juga kediaman ibu bapa yang dibeli daripada pemaju sama, menambah keyakinan kami dengan pembelian rumah ini," katanya.

Jelasnya, antara cabaran yang terpaksa ditempuhi apabila negara dilanda pandemik Covid-19 sehingga projek perumahan terpaksa ditangguhkan selama dua tahun.

KESELESAAN keluarga diutamakan.
KESELESAAN keluarga diutamakan.

"Situasi ini menyebabkan rumah lewat disiapkan dan kami perlu terus tinggal di rumah sewa dan pada masa sama membayar pinjaman bank. Biarpun begitu, kami bersyukur kerana kerajaan memberikan moratorium kepada pemilik rumah yang dapat meringankan beban terpaksa ditanggung," katanya.

Mengulas lanjut, antara faktor utama mereka membeli kediaman ini adalah ia dibina dengan baik dan rekaan menepati ciri-ciri rumah idaman.

"Selain itu, lokasi kediaman ini berhampiran dengan kediaman ibu bapa yang memudahkan kami untuk berulang alik ke sana. Kemudahan utama seperti sekolah, surau dan hospital juga terletak berhampiran kediaman ini.

"Lokasi kediaman ini sangat strategik kerana berdekatan dengan bandar dan pada masa yang sama dapat menikmati keindahan alam semula jadi seolah-olah berada di kawasan kampung," katanya.

KERJA pengubahsuaian dan dekorasi dijalankan selepas memperoleh kunci.
KERJA pengubahsuaian dan dekorasi dijalankan selepas memperoleh kunci.

Sebelum membuat keputusan untuk membeli kediaman itu, dia sangat menitikberatkan soal perbelanjaan kerana menyedari aset ini menuntut komitmen yang tinggi untuk satu tempoh yang agak lama.

"Sejak berkahwin kami sudah mula menabung sedikit demi sedikit. Dan apabila sudah memiliki kediaman sendiri kami tidak rasa terbeban kerana sudah mempunyai sumber kewangan yang mencukupi.

"Untuk menambah pendapatan, saya turut menjalankan perniagaan sampingan dari rumah di mana sedikit sebanyak dapat membantu meringankan beban kewangan suami.

"Nasihat kepada bakal pembeli, menabunglah dari sekarang kerana kita tidak tahu apa yang akan terjadi pada masa akan datang. Apabila kita mempunyai simpanan secara tidak langsung dapat memudahkan segala urusan," katanya.

RUANG tamu.
RUANG tamu.

Ditanya perancangan masa hadapan, Raja Nur Hazwani dan suami berhasrat untuk membeli sebuah kediaman yang sederhana besar serta mempunyai keluasan tanah untuk bercucuk tanam.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 14 April 2023 @ 6:20 AM