PEMANDANGAN menenangkan.
PEMANDANGAN menenangkan.
Muhamaad Razis Ismail


PERNAH diberi notis dua minggu secara mengejut untuk keluar dari rumah sewa antara cabaran yang terpaksa dihadapi sebelum memiliki kediaman sendiri

Demikian pengalaman pahit terpaksa dihadapi Noorfatina Roslan, 31, bersama suaminya, Mohd Syafiq Idham Shuhaimi, 34, saat pernah menyewa di sebuah flat satu ketika dulu.

Lebih menyedihkan, Noorfatina baru sahaja selesai berpantang anak kedua ketika berdepan situasi itu.

Alasan yang diberikan pemilik rumah adalah salah seorang anaknya mahu tinggal di rumah terbabit biarpun sudah menyewa di situ selama enam tahun.

Norfatina berkata, dia dan suami tiada pilihan dan terpaksa mencari kediaman lain untuk menyewa.

Katanya, setahun sebelum itu dia sudah membeli sebuah kondominium di Kajang, Selangor yang hanya akan siap dalam tempoh tiga tahun.

KONDOMINIUM yang dihuni Noorfatina dan keluarga.
KONDOMINIUM yang dihuni Noorfatina dan keluarga.

"Jadi, dalam keadaan tergesa-gesa, kami terpaksa mencari kediaman lain yang berhampiran dengan tempat kerja suami di Semenyih.

"Alhamdulillah, kami berjaya menemui sebuah rumah teres empat bilik di kawasan terbabit dengan kadar sewa RM850 sebulan.

"Biarpun sedikit mahal berbanding sebelum ini, rumah ini lebih selesa kerana mempunyai tempat letak kereta selain dekat dengan tempat kerja suami," katanya.

Menurutnya, mereka berpindah ke kondominium yang dibeli pada 2017 di Kajang, Selangor pada September tahun lalu.

RUMAH diubah suai selama dua bulan.
RUMAH diubah suai selama dua bulan.

"Selepas lapan tahun menyewa di dua rumah berbeza, saya bersyukur apabila dapat memiliki dan tinggal di kediaman sendiri.

"Kami memperoleh kunci rumah pada Jun 2020 sebelum membuat pengubahsuaian selama dua bulan di beberapa bahagian di dalam rumah yang kebanyakan dilakukan sendiri.

"Pada tahun ini, lebih bermakna apabila kami dapat menyambut Aidilfitri buat pertama kali di kediaman baru," katanya.

Ibu kepada dua anak ini berkata, sebelum membeli kediaman terbabit dia dan suami membuat carian rumah yang sesuai selama tiga bulan.

TERUJA menerima kunci rumah pada Jun 2020.
TERUJA menerima kunci rumah pada Jun 2020.

"Secara kebetulan suami terjumpa iklan mengenai jualan rumah ini di Facebook dan terus ke galeri untuk melihat rumah contoh.

"Selain dekat dengan tempat kerja dan banyak kemudahan lain di kawasan berhampiran, kami tertarik dengan reka bentuk serta keluasan rumah sebelum buat keputusan untuk membelinya," katanya.

Jelasnya, sebelum membeli rumah, mereka memastikan kemampuan dan akaun bank sentiasa dalam keadaan 'cantik' supaya pinjaman diluluskan.

"Sebenarnya, rumah ini sudah ditempah individu lain, namun pinjamannya tidak 'lepas.'

REKA bentuk dan keluasan rumah menarik perhatian.
REKA bentuk dan keluasan rumah menarik perhatian.

"Kami bekerja keras siang dan malam untuk selesaikan komitmen lain dan alhamdulillah selepas dua hari permohonan dibuat, pihak bank memaklumkan pinjaman diluluskan," katanya.

Katanya, pada mulanya dia merancang untuk menjadikan rumah itu sebagai pelaburan di masa hadapan.

"Bagaimanapun selepas tinggal di sini, rasa sayang pula nak jual kerana lokasinya yang privasi selain terdapat banyak kemudahan untuk kegunaan penduduk termasuk kolam, tempat letak kereta berbumbung dan gimnasium," katanya.

NOORFATINA (kanan) bersama keluarga pertama kali menyambut Aidilfitri di kediaman baru.
NOORFATINA (kanan) bersama keluarga pertama kali menyambut Aidilfitri di kediaman baru.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 9 Julai 2021 @ 6:20 AM