KOLAM renang infiniti turut disediakan.
KOLAM renang infiniti turut disediakan.
Hafiz Ithnin


SUNWAY Property melancarkan Galeri Hartanah Jernih Residence di Kajang, Selangor pada penghujung Mei lalu untuk membolehkan bakal pembeli melihat secara dekat projek berkenaan.

Ketika pembukaan besar-besaran selama dua hari itu, pengunjung yang mendaftar untuk pembelian unit kediaman berpeluang menyertai kempen putar dan menang rebat sehingga RM3,000.

Selain itu, mereka turut dapat menikmati pelbagai juadah ditawarkan menerusi trak makanan dan menyertai bengkel terarium mini sambil mengetahui lebih lanjut mengenai projek pembangunan terbabit.

Pengarah Eksekutif Kanan Sunway Property, Chong Sau Min berkata, harga mampu milik yang ditawarkan menerusi Jernih Residence membolehkan pembeli muda dan mereka yang ingin menaik taraf pemilikan kediaman, peluang untuk membeli rumah tanpa perlu berkompromi dengan kualiti dan kemudahan.

"Garis panduan Reka Bentuk dan Seni Bina Pembangunan Sunway (Sunway Design and Development Architecture, SDDA) membolehkan kami membangunkan Jernih Residence bagi menawarkan gaya hidup holistik, lestari dan bersepadu untuk penduduk.

"Konsep kehidupan berorientasikan transit utama yang ditawarkan di Jernih Residence merangkumi jaringan terbaik menerusi pengangkutan awam dan lebuh raya utama serta kemudahan bandar dan gaya resort," katanya.

Tambahnya, Jernih Residence dimajukan atas sebidang tanah berstatus pegangan bebas berkeluasan 2.1 hektar.

"Pembangunan ini menawarkan 1,605 apartmen servis yang dibahagikan menerusi dua blok kediaman. Setiap unit ditawarkan dengan empat saiz binaan dalaman daripada 550 hingga 850 kaki persegi dari RM320,000 atau purata RM500 sekaki persegi.

MENAWARKAN 1,605 apartmen servis.
MENAWARKAN 1,605 apartmen servis.

"Projek ini dimajukan secara strategik bersebelahan Stesen Transit Aliran Massa (MRT) Sungai Jernih yang terletak hanya 50 meter. Sekali gus, menawarkan kemudahan harian kepada penduduk yang mementingkan keterhubungan dan kebolehcapaian," katanya.

Tambahnya, sejajar kehendak pasaran untuk gaya hidup berteraskan kesihatan, kemudahan ala resort di Jernih Residence direka untuk menggalakkan aktiviti luar santai dan rehat penduduk.

"Ia sesuai untuk istirahat keluarga dan individu. Antara kemudahan yang akan ditawarkan termasuk kolam infiniti sepanjang 30 meter, kolam dan gelongsor renang kanak-kanak, jakuzi luar, taman herba dan kawasan permainan luar," katanya.

Manakala, aras satu dan dua juga akan menawarkan 41 unit runcit dengan keluasan bersih yang boleh disewa 42,609 kaki persegi. Setakat ini, pemaju itu menerima 10,000 pendaftaran bagi projek terbabit.

Tambahnya, pembeli baharu Jernih Residence boleh menikmati tawaran Kempen Sunway Signature Series 2022 yang berakhir pada 31 Julai depan dan akan didaftarkan secara automatik sebagai ahli Program Sunway Property Pals+ yang baharu dilancarkan.

MAJLIS pelancaran Galeri Hartanah Jernih Residence.
MAJLIS pelancaran Galeri Hartanah Jernih Residence.

"Jernih Residence adalah projek yang mempunyai nilai pembangunan kasar (GDV) berjumlah RM543 juta. Reka bentuknya berdasarkan SDDA yang diasaskan menerusi tonggak kelestarian, inovasi, kesihatan dan kesejahteraan serta gaya hidup selain pengalaman baharu.

"Ia bakal menampilkan reka bentuk mesra alam yang mampan seperti cekap tenaga dan air, laluan dan lif mesra warga emas, kanak-kanak serta pengguna kerusi roda," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 24 Jun 2022 @ 6:12 AM