MODEL projek Sunway Property di Bandar Sunway. FOTO AIZUDDIN SAAD
MODEL projek Sunway Property di Bandar Sunway. FOTO AIZUDDIN SAAD
Sofyan Rizal Ishak

BERDASARKAN prestasi cemerlang tahun lalu, Sunway Property meningkatkan sasaran jualannya sebanyak RM2 bilion pada tahun ini selepas berjaya mencatatkan jualan RM1.55 bilion pada 2019, melebihi sasaran ditetapkan iaitu RM1.3 bilion.

Pengarah Urusan Bahagian Hartanah Sunway Berhad, Sarena Cheah berkata, pihaknya yakin mampu mencapai sasaran jualan itu melalui langkah penyusunan semula produk pada harga tepat.

“Saya lihat RM2 bilion ini sebagai jumlah tepat untuk dicapai meskipun dalam keadaan pasaran mencabar masa kini. Jumlah jualan dicatatkan tahun lalu boleh menjadi asas untuk kami mencapai sasaran ini.

“Kami optimis ia boleh dicapai jika kami menawarkan produk tepat dan berkualiti tinggi pada harga tepat serta memenuhi keperluan pembeli,” katanya pada taklimat media dan perkembangan perniagaan Sunway Property 2020 di Petaling Jaya, baru-baru ini.

Beliau berkata, pihaknya merancang untuk melancarkan projek hartanah terbaharu dengan nilai pembangunan kasar (GDV) RM3.5 bilion pada tahun ini.

SARENA (tengah) ketika taklimat media dan perkembangan Sunway Property 2020 di Petaling Jaya.
SARENA (tengah) ketika taklimat media dan perkembangan Sunway Property 2020 di Petaling Jaya.

Menurutnya, 70 peratus atau RM2.4 bilion daripada jumlah itu akan membabitkan pelancaran hartanah di Singapura manakala, bakinya adalah untuk hartanah di negara ini.

Untuk Singapura, projek yang bakal dilancarkan adalah kondominium eksekutif Parc Canberra, kondominium peribadi Ki Residences dan kondominium eksekutif Park Avenue Residences.

“Pasaran tempatan pula bakal menyaksikan kami melancarkan projek terbaharu di Lembah Klang seperti Sunway Avila Retail dan Sunway Velocity Two Tower C; Pulau Pinang (Sunway Valley City) dan Johor (Sunway Maple),” katanya.

Sarena berkata, langkah syarikat untuk fokus kepada pelancaran projek baharu di luar negara adalah selari dengan pelan untuk kepelbagaian geografi.

“Pendapatan berulang Sunway daripada portfolio hartanah pelaburan kami pada masa ini mengukuhkan kemampanan kewangan kami dan kepelbagaian geografi ini juga akan membantu kami pada masa depan,” katanya.

Sehingga Disember 2019, Sunway Property memiliki bank tanah seluas 1,360 hektar dengan GDV RM59 bilion serta tempoh pembangunan keseluruhan adalah sehingga 15 tahun.

Pada masa ini, syarikat mencatatkan jualan belum dibilkan sebanyak RM2.8 bilion dalam tempahan sekali gus membantu mengukuhkan lagi pendapatannya dalam tempoh dua tahun akan datang.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 10 January 2020 @ 6:05 AM