UNIK projek terbaharu memenuhi keperluan kehidupan penduduk kota.
UNIK projek terbaharu memenuhi keperluan kehidupan penduduk kota.
Nurul Husna Mahmud


PANDEMIK Covid-19 banyak mempengaruhi pasaran hartanah tempatan yang mana ia menjadi penanda aras terhadap penawaran produk baharu bersesuaian dengan bakal pembeli. Ketidaktentuan ekonomi ini menyebabkan rata-rata bakal pemilik kediaman membuat pertimbangan sama ada mahu menangguhkan pembelian hartanah bagi mengukuhkan simpanan untuk keperluan masa depan atau membeli hartanah dengan pakej menarik.

Dalam menarik pembeli hartanah baharu terutama golongan muda yang baharu memulakan kerjaya dan tidak mahu terikat dengan komitmen tinggi, Sunway Property melancarkan konsep pembangunan hidup bersama (Co-living) @ Sunway House Waterfront Residence terletak di Bandar Sunway Kuala Lumpur.

Menurut Pengarah Urusan Sunway Property, Sarena Cheah, konsep tinggal bersama sesuai buat golongan pelajar atau profesional muda yang mahu menikmati kehidupan bebas dan moden namun selesa.

"Konsep Co-Living ini dilancarkan tahun lalu memberi peluang kepada golongan belia yang baharu memulakan hidup di bandar untuk tinggal dalam unit disewa lengkap berperabot selain akses kepada kemudahan seperti kolam renang, gimnasium dan ruang rehat.

"Sewa bermula RM1,200 dan semuanya termasuk kepada akses utiliti seperti WiFi dan elektrik. Bezanya skim unit sewaan Co-Living dengan mana-mana pemaju yang menawarkan pakej sama ialah mereka boleh menukar 25 peratus daripada sewaan kepada wang pendahuluan apabila membeli hartanah pada masa akan datang dibangunkan di bawah Sunway Property," katanya.

Penawaran konsep unit berkenaan turut mencakupi keperluan golongan muda apabila kedudukan hartanah yang terletak di kawasan ikonik dalam ibu negara.

"Sunway House lokasi strategik Waterfront Residence menawarkan akses ke pelbagai kelas kemudahan terkini seperti Elevated Electric Bus Rapid pertama di Malaysia (BRT), dikelilingi universiti swasta terkemuka selain, Pusat Perubatan Sunway, Pusat Beli-belah Sunway Pyramid dan Sunway Lagoon," katanya.

Sementara itu bagi kempen terbaharu pemaju hartanah, kata Serena Cheah pihaknya optimis berada pada landasan betul apabila melancarkan kempen 'Beauty of City Living' iaitu projek pembangunan direka berdasarkan kehidupan bandar norma baharu bernilai RM1.1 bilion pada tahun ini.

"Dalam pelan pembangunan kempen 'Beauty of City Living' meraikan kehidupan urban dalam norma baharu, empat projek baharu iaitu Sunway Belfield di Kuala Lumpur, D'Hill @ Sunway Damansara di Kota Damansara, Sunway Artessa di Wangsa Maju dan Jernih Residence di Kajang ditawarkan berdasarkan permintaan semasa.

KEMUDAHAN perabot disediakan dalam projek Co-Living
KEMUDAHAN perabot disediakan dalam projek Co-Living

"Semua pembangunan hartanah pada tahun ini menumpukan pada trend gaya hidup bandar dengan memberi tumpuan kepada rangkaian akses kemudahan infra buat pemilik hartanah.

"Lokasi pembangunan baharu bakal terletak berhampiran stesen transit, menyokong gaya hidup moden seperti berdekatan kafe dan pasar raya selain mempromosikan gaya hidup sihat serta aktif, terletak berhampiran malar hijau. "

"Ramai ketika ini mula menghargai waktu bersama keluarga, kesihatan dan kesejahteraan diri. Kedudukan projek pembangunan baharu berada dalam kejiranan yang matang mengurangkan masa penduduk berulang-alik bekerja, menghantar anak ke sekolah bahkan membeli-belah keperluan harian," katanya.

Tambahnya lagi, rutin ketara bagi yang bekerja dalam tempoh pandemik baru-baru ini menyaksikan rata-rata melakukannya dari rumah.

"Produk kami tahun ini juga akan mempunyai norma baharu seperti bekerja dari rumah. Secara amnya, semua projek akan menyediakan lebih banyak ruang kediaman, sama ada di dalam unit atau di kawasan umum, mempunyai sambungan internet yang lebih baik dan menggabungkan reka bentuk yang mana menggalakkan pengudaraan lebih baik.

Projek-projek tertentu juga akan merangkumi kawasan umum yang dilengkapi seperti pejabat dan mempunyai bilik mesyuarat yang boleh ditempah untuk mesyuarat perniagaan," katanya.

Tambah Sarena pembangunan terbaharu Sunway Artessa di Wangsa Maju umpamanya sesuai bagi mereka yang mencari unit kediaman lebih besar terutama ketika keperluan bekerja dari rumah.

Unit khas mempunyai ukuran lebih daripada 1,300 kaki persegi. Pembangunan dihubungkan dengan jalan tertutup untuk ke Stesen Transit Aliran Ringan (LRT) Sri Rampai yang terletak hanya 500 meter.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 26 Mac 2021 @ 7:00 AM