RUMAH teres milik Shahira dan suami.
RUMAH teres milik Shahira dan suami.
Muhamaad Razis Ismail


KEDIAMAN yang terletak di Bandar Sri Impian, Kluang, Johor ini mempunyai keunikan tersendiri.

Apa tidaknya, kediaman milik Shahira Syamsuri, 28 dan suaminya Mohd Hidayat Mohd Ridza, 35, yang sudah berusia hampir 10 tahun itu tampil menarik bagaikan sebuah rumah baru.

Keinginan memiliki kediaman sendiri selepas tiga tahun menyewa mendorong pasangan suami isteri ini membeli rumah sekunder (subsale) sebagai rumah pertama, dua tahun lalu.

Pada Julai tahun lalu, Shahira bersama suami dan anak lelaki berusia empat tahun masuk ke kediaman mereka.

Shahira berkata, sebelum itu mereka menyewa di sebuah rumah teres di kawasan berhampiran sejak 2017.

"Kami mengambil masa agak lama untuk mencari rumah sesuai kerana pilihan sangat terhad, kekangan masa dan proses mengumpul wang.

"Tambahan pula pada ketika itu projek perumahan baru tidak banyak. Jadi, kami membuat carian di Internet, meninjau projek pemaju dan mendapatkan maklumat dari ejen hartanah.

"Alhamdulillah berkat kesabaran mencari selama dua tahun, kami berjaya temui rumah yang sesuai," katanya ketika dihubungi baru-baru ini.

SHAHIRA bersama keluarga.
SHAHIRA bersama keluarga.

Jelasnya, pada mulanya, keadaan rumah teres ini sangat berbeza seperti berbanding sekarang kerana pemilik asal membina bengkel di bahagian depan.

"Jadi, boleh bayang keadaannya bagaimana. Namun saya tertarik dengan lokasi dan keluasan rumah ini selain harga yang ditawarkan sangat berpatutan.

"Pada ketika itu juga, ejen berjanji akan membantu membaiki kerosakan rumah terbabit," katanya.

Shahira berkata, kriteria utama yang diambil kira sebelum membeli kediaman adalah lokasi rumah tidak berada di kawasan sesak, tiada kes jenayah serta kurang risiko bencana alam.

PANEL kayu untuk menaikkan seri dinding.
PANEL kayu untuk menaikkan seri dinding.

"Lebih menarik, kawasan ini juga terletak berhampiran dan banyak kemudahan termasuk hospital, taman permainan dan kedai runcit," katanya.

Tambahnya, kelebihan membeli rumah sekunder adalah harganya lebih murah berbanding rumah baru dengan reka bentuk dan keluasan memuaskan.

PERNAH dijadikan bengkel motosikal.
PERNAH dijadikan bengkel motosikal.

"Pemilik asal juga sudah membina tembok dan sengkuap bahagian depan.

"Selepas mendapatkan kunci, kami kemudian melakukan pengubahsuaian ruang dapur, siling di ruang tamu, mengecat dan sebagainya yang mengambil masa hampir setahun untuk disiapkan," katanya.

Ditanya perancangan masa hadapan, dia berhasrat untuk membuat pengubahsuaian lagi di beberapa bahagian lain di dalam rumah.

"Pada masa sama, sekiranya mempunyai rezeki lebih saya berhasrat membeli kediaman lain sebagai aset," katanya.

RUANG makan turut dihias.
RUANG makan turut dihias.

BILIK khas untuk permainan video.
BILIK khas untuk permainan video.

Shahira turut menasihatkan supaya pembelian rumah dibuat pada usia muda sekiranya berkemampuan berbuat demikian.

"Selain itu, lengkapkan diri dengan ilmu hartanah untuk mengelakkan

penipuan," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 3 September 2021 @ 7:00 AM