KELILING rumah dipenuhi semak.
KELILING rumah dipenuhi semak.
KEADAAN rumah selepas selesai dibaik pulih.
KEADAAN rumah selepas selesai dibaik pulih.
Hafiz Ithnin
hafizithnin@mediaprima.com.my


JIKA melihat foto yang dikirimkan kepada penulis dengan rumah selepas ditransformasi lelaki ini, ibaratnya tidak percaya itu adalah kediaman yang tidak berpenghuni selama 20 tahun.

Malah, pemilik rumah berkenaan, bekas pemain Kedah FA, Azmeer Yusof, 31, berkata, di awal melihat kediaman itu dia sedikit pun tidak gusar mengenai dunia mistik, tetapi lebih teruja untuk memberikan nafas baharu kepada rumah yang wujud sejak 1960-an itu.

"Bohonglah tidak terfikir mengenai 'penghuni' selama 20 tahun di situ. Apatah lagi ketika membelinya terdapat sebuah pokok besar di tengah ruang tamu.

"Tetapi, apabila melihat keunikan seni bina rumah lama itu yang mempunyai kualiti tersendiri dan begitu dekat dengan pusat bandar Alor Setar, Kedah, saya bulatkan hati untuk memilikinya," katanya.

Azmeer berkata, dia membeli rumah berkeluasan 2,000 kaki persegi dengan luas tanah keseluruhan 4,500 kaki persegi itu berharga RM140,000 pada Julai 2019.

"Saya mengambil masa tiga bulan untuk melakukan ubah suai rumah ini kerana ia boleh dikatakan sudah rosak teruk.

"Elemen kediaman yang tinggal dan masih digunakan adalah dinding dalam rumah dan tembok di luar rumah kerana ia unik yang sememangnya sukar untuk kita dapat pada hari ini. Jadi, lebih baik kekalkannya," katanya yang mengeluarkan kos tambahan RM50,000 untuk aktiviti renovasi.

RUMAH asal adalah jenis dua tingkat.
RUMAH asal adalah jenis dua tingkat.

Jelasnya, asalnya rumah itu mempunyai dua tingkat dilengkapi dua bilik tidur dan dan satu bilik air. Bahagian atasnya adalah kayu dan di bawah adalah batu.

"Memandangkan rumah ini sudah lama ditinggalkan, jadi bahagian atas yang berstruktur kayu rosak. Justeru, saya mengambil keputusan untuk merobohkannya.

"Dari rumah dua tingkat, saya hanya menjadikannya sebuah kediaman setingkat yang mempunyai empat bilik tidur dan dua bilik air," katanya.

Malah, tanah di luar rumahnya yang mampu mendirikan empat hingga lima khemah untuk majlis kenduri turut mempunyai sebuah kolam renang berkeluasan 20x7 yang dibinanya di tepi rumah lot banglo berkenaan.

STRUKTUR tingkat dua yang dirobohkan.
STRUKTUR tingkat dua yang dirobohkan.

Dari segi konsep, Azmeer berkata, dia tidak menggunakan khidmat pereka dalaman profesional untuk menghias rumahnya, tetapi banyak merujuk kepada media sosial.

"Saya gemarkan sebuah rumah yang ringkas dan tidak mempunyai banyak perabot kerana keadaan itu lebih memudahkan saya untuk membersihkan kediaman.

"Malah, saya sering merujuk kepada keadaan rumah di Jepun yang tidak mempunyai banyak perabot dan aksesori, tetapi praktikal untuk penghuninya," katanya.

Katanya, dia juga lebih gemar rumah yang mempunyai warna putih kerana kelihatan lebih luas dan disebabkan itu dinding, lantai dan siling mempunyai rona berkenaan.

KEADAAN dapur rumah terbengkalai.
KEADAAN dapur rumah terbengkalai.

Jelasnya, dia juga memilih penggunaan jubin sebagai hiasan lantai kerana ia boleh menjadi fungsi sebagai pantulan cahaya dalam rumah.

"Apabila pantulan terdapat pantulan cahaya semula jadi daripada lantai dan warna, ia boleh menjimatkan kos penggunaan lampu.

KEDIAMAN tidak berpenghuni selama 20 tahun diberi nafas baharu.
KEDIAMAN tidak berpenghuni selama 20 tahun diberi nafas baharu.

"Disebabkan itu, saya amat mementingkan penggunaan warna yang boleh memberi kesan kepada ruang dan penggunaan jubin berkenaan," katanya.

MEMILIH rona putih dalam rumah selepas dibaik pulih.
MEMILIH rona putih dalam rumah selepas dibaik pulih.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 15 Mei 2021 @ 6:20 AM