Fairul Asmaini Mohd Pilus
asmaini@nstp.com.my

SEIRING perkembangan teknologi, konsep rumah pintar sememangnya semakin diminati.

Ia menjadi pilihan kerana mempunyai banyak kelebihan antaranya dapat menjimatkan elektrik dan penggunaan tenaga.

Kelebihan itu turut mendorong Rafiuddin Idris, 32, mentransformasi kediamannya kepada rumah pintar sebaik sahaja mendapat kunci tahun lalu.

Pelukis pelan itu membeli rumah jenis pangsapuri seluas 995 kaki persegi yang memiliki tiga bilik tidur serta dua bilik air di Cheras, Selangor.

Kata Rafiuddin, untuk lebih penjimatan dan memenuhi cita rasa, dia membeli sendiri semua peralatan yang diperlukan kemudian meminta kontraktor memasangnya.

Menurutnya, semua peralatan seperti Google Home, lampu dan suis pintar dibeli sendiri secara dalam talian selepas melakukan beberapa tinjauan.

RAFIUDDIN memilih konsep rumah pintar untuk kediamannya.
RAFIUDDIN memilih konsep rumah pintar untuk kediamannya.

PERALATAN elektrik di ruang tamu dikawal menerusi telefon bimbit.
PERALATAN elektrik di ruang tamu dikawal menerusi telefon bimbit.

"Peralatan elektrik di rumah ini seperti lampu, kipas, televisyen, lampu LED, robot penyedut hampagas dan sebagainya dipantau menerusi aplikasi khas di dalam telefon.

"Ia sememangnya menjimatkan tenaga kerana saya hanya perlu memberi arahan seperti 'Hey Google, please switch off my lamp' atau 'Hey Google please turn on my television' dan sebagainya dari ruang mana sahaja di rumah itu pada telefon bimbit untuk menghidupkan atau mematikannya dengan mudah," katanya.

Menurut Rafiuddin lagi, kelebihan utama rumah pintar ialah sistem kawalannya adalah fleksibel dan dapat menjimatkan tenaga dengan ketara.

Katanya, teknologi moden seperti itu sememangnya sesuai untuk membantu memudahkan kerja rumah golongan bujang sepertinya yang tinggal keseorangan.

"Bagi menyesuaikan dengan konsep itu, peralatan elektrik lain seperti penghawa dingin, penyedut asap serta pemanas air juga adalah daripada jenis teknologi pintar.

PEMILIHAN meja makan yang menjimatkan ruang.
PEMILIHAN meja makan yang menjimatkan ruang.

PENAL dinding yang dibuat sendiri Rafiuddin menyerikan lagi laluan ke bilik tidur.
PENAL dinding yang dibuat sendiri Rafiuddin menyerikan lagi laluan ke bilik tidur.

"Malah, untuk keselamatan, jeriji dan pintu masuk rumah juga menggunakan teknologi pintar.

"Biarpun perlu berhabis sedikit namun saya berpuas hati dengan hasilnya kerana inilah kediaman berteknologi moden yang diimpikan selama ini," katanya.

Dalam pada itu, Rafiuddin juga tidak ketinggalan menghiasi rumahnya dengan konsep moden menggunakan rona pastel lembut yang melatari kebanyakan dinding di kediaman berkenaan.

Selain itu, bagi memberi kelainan, Rafiuddin turut memasang sendiri panel dinding atau 'wainscoting' di kawasan laluan ke bilik tidur.

Untuk lebih keselesaan, Rafiuddin juga memasang kabinet di kawasan dapur kering dan basah.

"Walaupun hidup bujang, tapi kediaman ini sudah lengkap dengan semua peralatan rumah.

"Semua itu secara tidak langsung turut memberi keselesaan kepada ahli keluarga yang datang menziarah, " katanya.

BILIK tidur utama yang turut dilengkapi dengan teknologi pintar.
BILIK tidur utama yang turut dilengkapi dengan teknologi pintar.

DAPUR kering yang dilengkapi kabinet dapur.
DAPUR kering yang dilengkapi kabinet dapur.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 27 Februari 2021 @ 7:01 AM