Maiamalina Mohamed Amin


JIKA anda berhasrat untuk melancong ke Bangkok, Thailand jangan buat kesilapan seperti penulis lakukan ketika kunjungan pada awal Februari lalu.

Dalam kunjungan itu, penulis bukan hanya tidak sempat melawat banyak lokasi popular dan tempat bersejarah, malah gagal menikmati keenakan pelbagai jenis makanan terutama yang diperkatakan warganet di media sosial.

Bagaimanapun, penerokaan empat hari tiga malam di ibu negara gajah putih itu tetap menyeronokkan dan masih terpahat di sudut ingatan penulis, semua yang manis dan pahit.

Tujuan utama penulis ke Bangkok bersama rakan, Halimaton Saadiah Sulaiman untuk menyaksikan konsert Coldplay selepas kami gagal dalam 'perang' mendapatkan tiket bagi konsert yang berlangsung di Kuala Lumpur pada November tahun lalu.

Kesilapan penulis apabila tidak merencana perjalanan sebaiknya, disebabkan terlalu fokus kepada konsert kumpulan rock terkenal dari Britain itu.

Hakikatnya, kami gembira dapat meraikan malam magis bersama lebih 60,000 peminat Coldplay di Stadium Nasional Rajamangala, tetapi dalam masa sama, ralat apabila hanya mengenal Bangkok menerusi empat ikonnya iaitu Muzium Nasional, kuil Wat Arun, Pasar Chatuchak dan Siam Square.

PASAR Chatuchak yang menjadi pilihan pelancong mendapatkan buah tangan pada harga berpatutan.
PASAR Chatuchak yang menjadi pilihan pelancong mendapatkan buah tangan pada harga berpatutan.

Muzium Nasional Bangkok iaitu muzium pertama di Thailand, kuil Wat Arun tinggalan kerajaan Ayutthaya pada abad ke-17, Pasar Chatuchak adalah pasar terbesar yang mempunyai lebih 15,000 gerai dan Siam Square pula kawasan beli-belah dan hiburan yang tidak perlu diperkenalkan lagi kerana banyak diceritakan dalam bacaan umum serta sumber media lain.

Lagipun dalam tempoh terhad, mustahil untuk kami meneroka semua tarikan menarik yang ada di bandar terkenal dengan jolokan 'street life' itu, justeru pemilihan empat lokasi berkenaan dibuat berdasarkan minat kami dan keperluan pada masa terbabit.

Sementara itu, soal makan, kami hanya pilih mana-mana kedai yang menyajikan makanan halal ketika perjalanan ke satu-satu destinasi. Bahasa mudahnya, makan sahaja apa terlintas di mata, asalkan halal dan perut terisi.

Ada juga terasa hendak mencuba keenakan tomyam yang diperkatakan ramai di Restoran Usman Muslim Thai Food di Khlong Toei, tengah Bangkok atau bertandang ke kafe hipster yang semakin mendapat tempat dalam kalangan pelancong.

Namun, kekangan masa menyebabkan kami terpaksa melupakan semua itu dan fokus terhadap apa yang sudah direncanakan.

Mengambil iktibar daripada pengalaman penulis, anda digalak merancang dengan baik jika mahu merasai warna-warni sebenar Bangkok. Walaupun kunjungan itu kelak atas tujuan kerja, hiburan atau menghadiri majlis tertentu, ambil peluang meneroka bandar yang menduduki tempat pertama paling kerap dikunjungi pelancong di dunia pada 2023.

Sebagai permulaan, pilih penerbangan pada sebelah pagi berbanding petang supaya ada lebihan masa untuk diisi dengan aktiviti, memandangkan tempoh penerbangan secara purata hanya dua jam 14 minit.

PENULIS di hadapan pintu masuk Wat Arun.
PENULIS di hadapan pintu masuk Wat Arun.

Sekiranya anda tidak gemar bersesak di lapangan terbang pada sebelah pagi, disarankan tidak memilih waktu penerbangan yang terlalu lewat jika enggan hari pertama percutian dibazirkan begitu sahaja.

Ini yang berlaku kepada penulis apabila memilih penerbangan petang dan memandang rendah pesona Bangkok. Akhirnya, penulis seperti tidak cukup masa untuk benar-benar meneroka Bangkok.

Seperti Kuala Lumpur, bandar pesisir Sungai Chao Phraya itu pesat membangun dan kemudahan infrastrukturnya unggul termasuk pengangkutan awam yang dipelbagaikan, tidak hanya bergantung kepada tuk-tuk, teksi, bas dan teksi air atau feri semata-mata.

Hampir keseluruhan Bangkok kini menerima akses sistem transit rel bandar, merangkumi BTS Skytrain, MRT, Airport Rail Link dan SRT Red Lines (komuter) dengan keseluruhannya membabitkan lebih 200 stesen.

Jadi, alternatif terbaik bergerak di bandar itu dan mengelak terperangkap dalam kesesakan jalan raya adalah menggunakan tren. Ini juga mod pengangkutan pilihan penulis sepanjang di Bangkok.

Bagaimanapun, penulis akui sempat berasa stres menghadap trafik Bangkok apabila menggunakan GrabCar untuk ke Stadium Nasional Rajamangala pada hari konsert. Luar jangka sesaknya, malah kami terperangkap lebih dua jam hingga terpaksa berhenti di tepi jalan dan berjalan hampir dua kilometer (km) ke stadium.

Ketika tiba di pekarangan stadium, kelihatan pintu masuk ke terowong bawah tanah yang menyerupai stesen MRT dan penulis bertanya kesahihannya dengan penduduk tempatan.

Kata lelaki yang sama-sama berjalan ke stadium, ia sememangnya pintu stesen MRT yang dijangka mula beroperasi pada tahun ini.

Jika menjadi kenyataan, mudahlah pelancong dan penduduk tempatan untuk ke stadium berusia 26 tahun itu, yang juga di bawah pakej Kompleks Sukan Hua Mak di kawasan kejiranan Bang Kapi.

Dalam pada itu, jelajah Bangkok tidak akan lengkap sekiranya tidak menyusuri Sungai Chao Phraya yang panjangnya 372 kilometer dari utara Thailand ke Teluk Siam.

Sungai itu yang menjadi nadi pembangunan negara adalah sebahagian elemen penting pelancongan Thailand, malah diperhebat dengan kemudahan bot Hop-On Hop-Off untuk pelancong ke tempat bersejarah termasuk Wat Arun, Grand Palace, Wat Po dan Royal Barge Museum (Muzium Tongkang), selain gedung komersial, Icon Siam.

Sudah namanya untuk pelancong, harga tiket bot tentu lebih mahal, namun masih mesra bajet. Begitupun, jika anda mahu rasa seperti 'lokal,' boleh cuba bot daripada 'orange flag line' yang harga tiketnya sekali ganda lebih murah, selain rangkaian lain yang bertindak seperti komuter air.

Dalam situasi nilai Ringgit Malaysia jatuh ketika ini, Bangkok antara pilihan destinasi pelancongan terbaik untuk dipertimbangkan. Pastikan anda merancang dengan bijak dan teroka mengikut gaya anda tersendiri!

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 3 Mac 2024 @ 7:00 AM