Shamran Sarahan


TIDAKLAH terlalu lama, hanya tiga tahun lalu, penulis pernah menjejakkan kaki di bumi Jerman ini.

Bezanya, ketika kali pertama, penulis pergi dengan duit sendiri untuk melancong, kali ini atas tuntutan kerja.

Penulis bersama tiga lagi wakil media dari Malaysia dibawa mengunjungi negara di Eropah tengah itu oleh German National Tourist Board.

Sudah tentu, untuk kunjungan kali kedua, penulis inginkan kelainan, meskipun hakikatnya, destinasi yang dikunjungi sama saja dengan kunjungan pertama dulu.

Franfurt, Cologne, Nuremberg dan Munich, semua destinasi itu masih segar dalam kepala penulis, tetapi kali ini berbeza, ia lebih ceria dan menyeronokkan.

PENULIS (kiri) bergambar bersama rakan media di pasar Krismas di Cologne.
PENULIS (kiri) bergambar bersama rakan media di pasar Krismas di Cologne.

Mungkin kerana kali ini, sudah tiba musim sejuk, lagi pula perayaan Natal dan sambutan tahun baharu semakin hampir.

Pasar Krismas sudah mula dibuka menjadikan kota-kota utama di Jerman, terutama di destinasi yang dikunjungi penulis tampak lebih ceria pada sebelah malam.

Bermula dengan kunjungan ke Frankfurt, penulis bersama wakil media dibawa mengelilingi sekitar bandar metropolis itu, turut dikenali sebagai ‘Bank Pusat Eropah.’

Tarikan utama bermula apabila kami memasuki The Hauptwache, atau turut dikenali sebagai ‘Main Guardroom’, ia sentral kepada kota Frankfurt.

DERETAN kedai barangan berjenama di Ingolstadt Village.
DERETAN kedai barangan berjenama di Ingolstadt Village.

Selain dipenuhi dengan pelbagai gedung beli-belah, sisi kota ini menjadi istimewa dengan longgokan gerai di pasar Krismas yang dipenuhi dengan jualan sempena sambutan Natal.

Pasar-pasar itu menjadikan sentral Frankfurt khususnya dekat Katharinenkirche, berwarna-warni dengan kerlipan lampu neon menghiasi setiap gerai, tidak sama seperti musim-musim lain.

Apatah lagi di kota lama, Romerberg, suasananya amat menarik, hiruk-pikuk dengan penduduk tempatan yang memenuhi setiap pelosok pasar Krismas di situ, itu tidak termasuk pelancong.

Gerai-gerai di situ, dengan barangan yang dijual lazimnya perhiasan sambutan Natal, selain kuih dan biskut tradisional, seperti Lebkuchen, Vanillekipferln, Springerle dan Pfeffernusse.


Hanya sehari kami di Frankfurt, jelajah kami diteruskan di Cologne, kira-kira sejam setengah perjalanan dengan menaiki kereta api laju.

Tidak mahu menghabiskan masa terlalu lama di pasar Krismas saja, kami mengambil peluang berkunjung ke tempat menarik lain di Cologne. Tetapi, ia bukan mudah buat kami.

Dalam lawatan singkat sehari, kami hanya sempat berkunjung ke Farina House yang mempamerkan kediaman Farina, pencipta minyak wangi pertama di dunia, selain ke Muzium Coklat dan Muzium Bandar Cologne.

Masa yang terluang juga kami penuhi dengan kunjungan ke pasar Krismas di sekitar bandar itu, selain melihat kemeriahan aktiviti bermain ski di tapak salji buatan di pinggir kota berkenaan.

SEKITAR Istana Imperial di Nuremberg
SEKITAR Istana Imperial di Nuremberg

Destinasi seterusnya, Nuremberg. Sebagaimana Franfurt dan Cologne, Nuremberg juga tidak ‘lokek’ dengan destinasi menarik untuk dikunjungi dan ia mudah dituju hanya berjalan kaki di sekitar sentral kota ini.

Siangnya, kami habiskan masa berkunjung ke Kaiserburg, istana lama peninggalan Empayar Rome, kemudian kami berkunjung ke Albrecht Durer’s House, kediaman pelukis terkenal negara itu pada abad ke-15.

Malamnya, sudah tentu kami tidak melepaskan peluang untuk sekali lagi berkunjung ke pasar Krismas di situ, khususnya di lokasi tarikan pelancong kota berkenaan, berdekatan gereja St Lorenz sehingga St Sebaldus.

Selain lambakan pasar Krismas, Nuremberg menyediakan 39 destinasi menempatkan dekorasi pokok dan hiasan Krismas sekitar kota itu.

Tidak hairanlah jika kota ini terkenal di dunia sebagai Christkindlesmarkt atau pasar Krismas dengan tradisi lebih 400 tahun.

PENDUDUK bermain ski di tapak salji buatan di pinggir kota Cologne.
PENDUDUK bermain ski di tapak salji buatan di pinggir kota Cologne.

Selepas tiga hari ‘meletihkan’ di Frankfurt, Cologne dan Nuremberg, kami singgah di Ingolstadt Village, lokasi pusat beli-belah terbesar di negara ini yang terletak lebih kurang 80 kilometer dari Munich.

Ingolstadt Village menempatkan premis jualan pelbagai jenama, termasuk barangan mewah seperti Gucci, Agner dan Prada, membabitkan lebih 110 butik.

Tidak menghabiskan masa lama di situ, kami meneruskan kunjungan ke Munich dan menghabiskan sisa dua hari kami di bandar Bavaria itu.

Meskipun musim dingin di bawah -1 darjah Celsius, ia tidak membantutkan keinginan penulis menjelajah Munich, yang cukup intim dengan pasukan bola sepak terkenal, Bayern Munich.

Munich, bagi penulis seperti juga Paris, ia kota romantis, kota seni. Ia tidak pernah membosankan, meskipun ia bukan kunjungan pertama penulis ke situ.

Di Munich, kami dibawa meronda-ronda mengelilingi kota metropolitan yang menempatkan 1.5 juta penduduk, selain ke kota lama Munich, Istana Nymphenburg dan Muzium BMW.

Hari terakhir, penulis mencuri masa bersendirian di Munich, berjalan kaki di sekitar kota di selatan Jerman ini tidaklah terlalu meletihkan.

Penulis memulakan langkah dari tengah kota di Stesen Marienplatz.

Di kanan Marienplatz dipenuhi seni bina lama, di kirinya pula deretan muzium dan galeri seni yang bermula di Kralsplatz.

Di sinilah kota baru dan lama bersatu.

Di situ juga terhimpun nadi tarikan ke Munich, dari panggung opera, Muzium Kebangsaan Bavaria, istana Archbishop yang menjadi kediaman Pope Benedict XVI dan puluhan lagi binaan sentuhan seni Rococo.

Seni bina lama seperti Gereja St Peter, Asamkirche, satu daripada seni bina gaya rococo terindah di dunia selain bekas istana lama yang dikenali sebagai Old Residenz turut dikunjungi.

Penulis turut meluangkan masa mengunjungi muzium seni halus, atau disebut warga tempatan, Alte Pinakothek, yang kebetulan sedang mempamerkan karya pelukis terkenal zaman pertengahan, Van Dyck.

Rasanya, kalaulah ada peluang lagi ke Jerman, sekalipun tempat yang sama, penulis tidak teragak-agak untuk kembali lagi.

Jerman memiliki seribu satu macam tarikan, bukan saja kerana sejarah, seni bina lama dan tamadun, bahkan dari segi kemajuan dan pemodenan, ia tidak cukup diterokai dengan hanya satu, atau dua kunjungan.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 22 Disember 2019 @ 5:15 AM