KEHIDUPAN masyarakat Bangkok di kawasan yang penuh warna-warni.
KEHIDUPAN masyarakat Bangkok di kawasan yang penuh warna-warni.
Fairul Asmaini Mohd Pilus

Sebut sahaja mengenai Bangkok, Thailand pasti yang terbayang di fikiran keseronokan membeli-belah dan keenakan pelbagai jenis makanan.

Ibu negara gajah putih itu antara destinasi pilihan pelancong dari seluruh dunia.

Rakyat Malaysia pula memilih Bangkok untuk melancong kerana jarak masa perjalanannya dekat selain tukaran mata wang yang tidak begitu membebankan.

Di Bangkok, Grand Palace antara lokasi bersejarah yang wajib pelancong singgah walau sepadat mana pun waktu percutian di sana.

Istana yang dibina pada 1782 itu pernah digunakan sebagai tempat tinggal keluarga diraja Thailand.

Selain itu, ia juga terletak berdekatan banyak tarikan lain di Bangkok seperti Wat Pho, Wat Phra dan Grand Palace, Jalan Khao San yang kian popular sebagai pusat berkumpul ramai kaki kembara beg galas di negara itu.

Pelancong dapat melihat sisi lain kehidupan masyarakat Bangkok di kawasan yang penuh warna-warni.

Jika ingin menikmati keindahan kota raya itu dari sudut berbeza, pelancong boleh menaiki bot yang dikendalikan penduduk tempatan atau 'cruise' pelancongan untuk menyusuri kehidupan di Sungai Chao Phraya.

PELANCONG boleh menaiki bot yang dikendalikan penduduk tempatan atau ‘cruise’ pelancongan untuk menyusuri kehidupan di Sungai Chao Phraya.
PELANCONG boleh menaiki bot yang dikendalikan penduduk tempatan atau ‘cruise’ pelancongan untuk menyusuri kehidupan di Sungai Chao Phraya.

Pelancong juga mencuba pengalaman menaiki feri yang turut digunakan penduduk tempatan untuk melintasi sungai itu ke tengah kota.

Bagi pengalaman lebih menarik, kunjungi Pasar Terapung Damnoen Saduak di Ratchaburi, kira-kira hampir dua jam perjalanan menaiki kereta dari kota raya itu.

Ia turut digelar 'Venice of the East,' namun pelancong dinasihatkan supaya sentiasa berhati-hati ketika membeli barangan mahupun makanan di kawasan itu.

PASAR Terapung Damnoen Saduak popular dalam kalangan pelancong.
PASAR Terapung Damnoen Saduak popular dalam kalangan pelancong.

Tidak jauh dari pasar terapung itu, terletak satu lagi lokasi tarikan pelancongan menarik iaitu pasar Stesen Keretapi Maeklong, sebuah pasar tradisional yang menjual makanan, buah-buahan dan sayuran segar.

Apa yang uniknya, di tengah-tengah pasar itu adalah terletaknya laluan kereta api yang masih digunakan setiap hari.

Apabila amaran dibunyikan, peniaga segera menurunkan khemah atau payung bagi memberi laluan kepada kereta api, urus niaga kembali seperti biasa apabila ia sudah melepasinya.

Tidak jauh dari pasar terapung itu, ada perkampungan gajah yang cukup sinonim dengan masyarakat Thailand.

Pengunjung boleh melihat pertunjukan menarik, bergambar atau memberi makan kepada haiwan berkenaan.

DESTINASI pilihan pelancong dari seluruh dunia.
DESTINASI pilihan pelancong dari seluruh dunia.

Dalam pada itu, Bangkok juga terkenal dengan pasar hujung minggu terbesar, Pasar Chatuchak yang menempatkan 15,000 gerai jualan.

Daripada makanan hingga kepada barangan kelengkapan diri, semuanya boleh didapati di sini dengan harga berpatutan.

Untuk aktiviti malam pula terutama bagi yang membawa kanak-kanak, kunjungi Asiatique yang terletak di tepi Sungai Chao Phraya.

Ia meriah dengan deretan kedai dan tempat permainan kanak-kanak selain dapat melihat bot pelancongan lalu-lalang.

Kunjungan ke Bangkok kurang lengkap jika tidak mengunjungi pusat beli-belah yang bersaiz mega.

Antara yang terkenal ialah Siam Paragon menghimpunkan lebih 7,500 jenama fesyen mewah, kecantikan, barangan kulit, makanan serta banyak lagi.

Jika perut terasa lapar, ada pelbagai pilihan makanan boleh didapati di pusat beli-belah itu daripada cita rasa tempatan hingga restoran bertaraf Michelin Star.

Malah anda boleh mencuba keenakan makanan tempatan di medan selera Gourmet Eats.

Untuk makanan halal, Jeerapan Grill Chicken di medan selera itu menyediakan ayam panggang yang enak.

PUSAT beli-belah The Emporium dan The EmQuartier yang terletak di Sukhumvit juga berbaloi untuk dikunjungi.
PUSAT beli-belah The Emporium dan The EmQuartier yang terletak di Sukhumvit juga berbaloi untuk dikunjungi.

Selain itu, pusat beli-belah The Emporium dan The EmQuartier yang terletak di Sukhumvit juga berbaloi untuk dikunjungi.

Ia dikelilingi laman hijau Taman Benjasiri dan menawarkan tarikan membeli-belah antarabangsa serta tempatan.

Pendek kata, semua yang dimahukan ada di kota raya itu.

Jadi, ayuh bawa keluarga tersayang mengunjungi Bangkok untuk merasai pengalaman menarik yang tiada di negara kita.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 18 September 2022 @ 2:04 PM