PEMANDANGAN desa sederhana.
PEMANDANGAN desa sederhana.
Teks dan foto Dr Irwan Dahnil


KAMPUNG tipikal di Switzerland. Begitu ungkapan menggambarkan suasana kedesaan Isetlwald yang tenang seolah-olah tiada berpenghuni.

Imej desa Eropah itu sangat sederhana dan ringkas sehinggakan tidak terasa apa yang istimewa mengenainya.

Bagi mereka yang pertama kali datang ke Switzerland, kampung seperti Iseltwald sering tiada dalam senarai jadual perjalanan. Apatah lagi tersenarai dalam peta lokasi pelancongan utama di Switzerland.

Namun, populariti Iseltwald mula mencanak sehingga menjadi perhatian pelancong serata dunia dek penangan drama Korea, Crash Landing On You.

Warna tasik biru kehijauan yang terdapat di lokasi terbabit menjadi 'santapan' mata penonton drama berkenaan.

Dalam kanton (pembahagian kawasan pentadbiran dalam beberapa negara di Eropah) Bernese Oberland, Iseltwald terletak di persisiran tasik.

Lokasi perkampungan itu juga mengambil masa 20 minit dari destinasi popular Interlaken.

Interlaken cukup terkenal dengan 'resort' percutian yang menawarkan pemandangan cantik tiga gunung Swiss terkenal iaitu Eiger, Jungfrau dan Monch.

Sekiranya memandu dari Lucerne, anda tidak mungkin terlepas daripada melihat pemandangan mengasyikkan sepanjang perjalanan terutama panorama tasik kehijauan di sebelah kanan menuju Interlaken.

SISIRAN tepian air sesuai untuk peminat aktiviti rekreasi seperti berjogging atau berjalan-jalan.
SISIRAN tepian air sesuai untuk peminat aktiviti rekreasi seperti berjogging atau berjalan-jalan.

Pengembaraan penulis ke Iseltwad adalah secara tidak sengaja pada musim bunga 2019.

Pada asalnya, perancangan untuk ke puncak tertinggi di Eropah, Jungfraujoch. Hasrat itu bagaimanapun tidak kesampaian kerana destinasi pergunungan ditutup akibat cuaca buruk.

Jadi, kembara itu terpaksa beralih ke destinasi lain iaitu Tasik Brienze yang terletak di utara Banjaran Alps.

Dalam perjalanan itu perkampungan ini ditemui. Terserlah panorama semula jadi kampung yang terjaga daripada pencemaran.

Mana tidaknya, kampung Iseltwald tidak membenarkan kereta masuk. Semua kenderaan perlu diletakkan di kawasan parkir khas dan pelancong perlu berjalan ke pusat kampung.

Anehnya, berjalan menuju jeti bot itu tidak melelahkan, sebaliknya ia membuka tirai pengembaraan mengagumkan ke kampung terbabit.

Ia sunyi dari segala pencemaran bunyi selain visual pemandangan tasik berwarna hijau kebiruan di hadapan.

Pemandangan di jeti bot menawarkan ruang bergambar yang sempurna dengan hamparan tasik di belakang.

Ia dilengkapkan dengan pepohon alpine menghijau di kiri kanan gunung yang dilihat seolah-olah 'melindungi' tasik terletak di tengah-tengah.

RUMAH desa kayu yang menampilkan ciri unik desa di pesisiran tasik.
RUMAH desa kayu yang menampilkan ciri unik desa di pesisiran tasik.

Dalam episod 3 Crash Landing On You, di jeti ini babak dilakonkan watak Kapten Ri Jeong-hyeok bermain piano menyorot kehidupannya di Switzerland.

Ia bukan sahaja babak yang indah dalam drama itu, tetapi sangat romantis apabila berada di lokasi sebenar.

Detik membayangkan babak karakter utama, Se-Ri berada dalam bot sambil mendengar alunan enak muzik dari piano dimainkan Kapten Ri Jeong-hyeok jelas terimbau dalam ingatan ketika itu.

Sebaik meninggalkan jeti yang terletak dalam kawasan tanah persendirian itu, penulis terus berjalan melalui Schorren, sebatang jalan yang berlatarkan Istana Seeburg yang muncul dalam drama Korea itu.

Istana yang dibina pada 1907 itu pernah menjadi lokasi penginapan peribadi, sehingga kepada tempat pengajian sebelum ditutup kepada umum.

Malah, istana ini sering digambarkan bersama Tasik Brienze. Tasik ini bukan sahaja yang tercantik di Eropah, malah ia juga sangat bersih.

Sumber air datangnya terus dari ais glasier yang mencair dari Banjaran Alps yang tinggi di Eropah.

Pemandangan tasik dari kampung ini sangat menakjubkan, lebih-lebih lagi pada musim panas menjadi tumpuan untuk pelancong berenang, berkelah atau bermain sukan air seperti bot dan kanu.

HAMPARAN pergunungan dan tasik antara pemandangan menarik dapat dilihat jika menginap di desa Iseltwald.
HAMPARAN pergunungan dan tasik antara pemandangan menarik dapat dilihat jika menginap di desa Iseltwald.

Ia lokasi tepat untuk bersama keluarga dengan pemandangan tasik menakjubkan dilatari gunung dan litupan salji di puncak itu yang jelas kelihatan dari tepian air di hadapan Strand Hotel.

Seperti yang digambarkan dalam drama itu, Isetlwald adalah satu perkampungan yang cukup sunyi. Ini kerana penduduknya cuma kira-kira 400 orang.

Kampung kecil ini tidak ada bangunan yang tinggi seperti di kampung berhampiran, Bonigen.

Kalau adapun hanya rumah kecil, melambangkan identiti kampung di sini. Rumah ini dibina daripada kayu dan jelas kelihatan sentuhan asli serta kerja kemahiran kayu yang tinggi.

Bagi penggemar aktiviti luar, tentunya akan rasa gembira mengetahui bahawa Iseltwald juga tempat permulaan yang sesuai untuk aktiviti pendakian ke air terjun Giessbach.

Trek sejauh lima kilometer itu melalui kawasan hutan yang redup dan sering menjadi tempat untuk mereka yang mahu merasai alam semula jadi.

PENULIS teruja dengan suasana tenang di Iseltwald yang sama seperti digambarkan dalam drama Korea popular.
PENULIS teruja dengan suasana tenang di Iseltwald yang sama seperti digambarkan dalam drama Korea popular.

Bagi mereka yang menginap di Iseltwald pula, aktiviti menaiki kapal sepanjang tasik ini juga tidak harus dilepaskan.

Kapal itu berhenti di beberapa jeti seperti Bonigen sehingga ke Interlaken. Kapal itu juga menyediakan makanan yang boleh dinikmati sepanjang pelayaran.

Pengalaman di Iseltwald itu benar-benar mengubat rasa kecewa penulis yang tidak dapat meneruskan ekspedisi di Jungfrau.

Bagi yang datang ke negara sejauh Switzerland, penginapan seperti ini bukan sekadar untuk tidur dan mandi semata-semata.

Sebaliknya perlu menikmati suasana di kampung Eropah itu yang memiliki udara nyaman, pemandangan hijau dan tasik mendamaikan di depan mata.

Tidak perlu buat apa-apa, bersantai di tepi tasik itu sejam dua. Bawa skon atau kroisan serta krim dan strawberi, untuk dinikmati dengan secawan kopi bagi 'merelakskan' diri.

Perjalanan pulang penulis ke Lucerne disulami rasa puas, tetapi kenangan di Iseltwald tetap menggamit hati untuk kembali lagi!

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 31 Oktober 2021 @ 7:00 AM