MASJID Sultan di Kampung Glam.
MASJID Sultan di Kampung Glam.
Nurul Hidaya Asmayadi


RAKYAT Malaysia jarang memilih untuk memandu ke Singapura kerana bimbang dengan undang-undang yang ketat terutama pertama kali memandu ke negara republik itu.

Tidak dinafikan penguat kuasa termasuk polis trafik negara terbabit sangat efisien berdasarkan pengalaman penulis sendiri apabilasatu dari tiga kenderaan menyertai percutian sehari di Singapura dihampiri pegawai bertugas walaupun kurang lima minit menunggu di tepi jalan.

Malah, tidak seperti di Malaysia, kita boleh beri isyarat ke kiri dan menunggu di bahu jalan seketika, tetapi perbuatan berhenti di tempat sebarangan dilarang sama sekali di Singapura, selain berkemungkinan berdepan penalti.

Pengalaman itu tidak bermakna mengendalikan kenderaan di Singapura sukar, cuma kena patuhi terutama had kelajuan dan peraturan jalan raya di sana.

Sebenarnya jika pergi dalam kumpulan atau bersama keluarga, menggunakan kereta untuk mengunjungi Singapura adalah pengalaman menarik dan kaedah lebih selesa.

Bagi mengelak kesesakan, percutian kali ini membabitkan 14 ahli keluarga memilih merentas tambak Johor ke Singapura pada Sabtu seawal jam 5 pagi.

Destinasi pertama sebaik melepasi pemeriksaan imigresen kedua-dua negara, kami terus menuju ke Kampung Glam atau Gelam menunaikan solat Subuh di Masjid Sultan yang cukup tersohor dalam kalangan pelancong termasuk dari Malaysia.

Baik Masjid Sultan atau Kampung Glam sendiri, ia ada nilai sentimental apabila dikatakan berkait rapat dengan kesultanan atau raja Melayu Johor iaitu Sultan Hussain Muazzam Shah Ibni Almarhum Sultan Mahmud III Shah Alam iaitu Sultan Johor ke-18 yang dilantik sebagai Sultan Singapura pertama pada 6 Februari 1819.

Perjalanan kami diteruskan ke Pasar Serai Geylang yang mengambil masa 15 minit dari kampung Glam. Seperti pasar basah di Malaysia, lokasi ini menjadi tumpuan orang tempatan untuk membeli keperluan harian dari barangan dapur sehinggalah baju.

Di sini juga 'port' sarapan pagi yang enak dan masih berpatutan. Apatah lagi mata wang Dolar Singapura tiga kali ganda berbanding Ringgit Malaysia jadi perlu pandai mencari tempat makan yang bersesuaian dengan bajet.

Usai sarapan kami bergerak ke Vivo City yang juga antara tempat membeli-belah utama dan menjadi pilihan warga setempat.

Tarikan terbaharu dan satu kemudahan juga di Vivo City apabila ada monorail untuk melintasi lautan menuju ke Pulau Sentosa.

Ibarat orang mengantuk disorongkan bantal, hasrat awal memandu ke Pulau Sentosa bagi mengunjungi Universal Studio Singapura (USS) yang menjadi antara destinasi wajib sampai. Lawatan kali ini lebih mudah kerana khidmat monorail baru beroperasi awal tahun ini dibuka secara percuma.

Dari dalam monorail memberi dimensi lain apabila merentasi laut untuk ke pulau buatan manusia di mana menjadi pusat hiburan utama di republik berkenaan dengan hanya menggunakan tren.

BERSAMA keluarga di USS.
BERSAMA keluarga di USS.

Walaupun kami tiba agak awal ke USS iaitu jam 9.30 pagi, tetapi kawasan itu sudah dipenuhi dengan kehadiran pengunjung membanjiri depan taman tema terbabit.

Hasrat bergambar depan mercu ikonik 'globe' USS yang berputar menjadi misi mustahil kerana segenap sudut dibanjiri dengan pengunjung dari serata dunia.

Menikmati suasana sekitar USS termasuk lokasi yang tidak jauh terdapat Hard Rock Hotel dan Cafe untuk peminat cenderamata rangkaian hotel atau kafe itu.

Ketika tengah hari, kami kembali semula ke Kampung Glam kerana di sini terdapat restoran cukup terkenal dengan sajian murtabak dan nasi briyani. Restoran Zam Zam yang terletak di Arab Street, Bridge Road dan berada di hadapan jalan dengan Masjid Sultan wajib dikunjungi peminat hidangan terbabit. Satu pengalaman unik juga apabila kadar caj dikenakan pelanggan juga berbeza mengikut ruang makan.

Harga ruang berhawa dingin jauh lebih tinggi berbanding ruang makan di bawah atau meja di ruang luar restoran.

Rasanya tidak lengkap jika tidak sampai ke Merlion Park. Di sini boleh menyaksikan beberapa bangunan ikonik seperti Marina Bay Sand dan Esplanade.

Sebelum balik kami singgah di Lucky Plaza di Jalan Orchard. Plaza ini sesuai untuk membeli-belah cenderahati kerana boleh tawar-menawar dengan penjual.

Di kawasan ini juga anda boleh menikmati roti ais krim cukup popular dan nostalgia.

Bagi pemanduan selesa, penggunaan kad 'autopass card' sangat membantu. Penggunaan kad ini menyamai kad Touch n Go kerana boleh digunakan untuk tol dan juga parkir.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 19 Mac 2023 @ 7:00 AM