KARGIL umpama pekan koboi cuma terletak beberapa kilometer dari sempadan Pakistan.
KARGIL umpama pekan koboi cuma terletak beberapa kilometer dari sempadan Pakistan.
Mohamad Jono Hashim

TUJUAN utama kembara 12 hari di negeri Jammu-Kashmir, India adalah untuk menakluk Gunung Stok Kangri (6,153 meter dari aras laut), gunung tertinggi di Banjaran Zanskar yang terletak di daerah Ladakh.

Diketuai oleh Azlee Mustafa, penulis bersama 11 rakan yang baharu dikenali di Lapangan Terbang Kuala Lumpur 2 dua jam sebelum berlepas.

Bagaimanapun, penulis hanya mampu mendaki setakat ketinggian 4,700 meter, walaupun jaraknya cuma tinggal satu kilometer untuk tiba di Kem Induk Stok Kangri.

Penulis akhirnya akur dengan keadaan yang semakin lemah akibat kekurangan oksigen dan bersetuju untuk kembali ke Hostel Hearth di Leh, bandar utama daerah Ladakh.

Purata ketinggian di Leh yang sekitar 3,400 hingga 3,500 meter dari paras laut, dikelilingi gunung-ganang dan padang pasir tandus, dengan sedikit tumbuhan hijau, sangat pantas menyebabkan serangan mabuk gunung atau ketidakselesaan akut pergunungan (AMS).

Rupa-rupanya sakit kepala yang dialami penulis ketika mula mendarat di Lapangan Terbang Kushok Bakula Rinpoche adalah tanda awal yang membawa kepada impak yang lebih besar kepada penulis sepanjang berada di Leh, termasuklah ‘bermalam’ di Hospital Memorial Sonam Norbu S.N.M.

PERHENTIAN rehat untuk sarapan di Pekan Drass selepas bertolak awal pagi dari Kargil.
PERHENTIAN rehat untuk sarapan di Pekan Drass selepas bertolak awal pagi dari Kargil.

LEH-KARGIL

Selepas semua selamat kembali ke Leh, kami tidak berehat lama. Keesokan pagi kami terus berkemas dan meninggalkan Leh menuju ke Srinagar.

Dua kenderaan SUV menunggu kami di padang polo berdekatan hostel. Perjalanan lancar menyusuri jalan berliku di gurun tandus di Banjaran Ladakh.

Kami dijadualkan berhenti dan bermalam di Kargil, sebuah bandar kecil 250 kilometer (km) dari Leh sebelum meneruskan perjalanan ke Srinagar. Perjalanan ke Kargil ini mengambil masa sembilan jam.

Kira-kira jam 5 petang kami tiba di Kargil dan terus menuju ke Hotel Ashiyana yang terletak di tengah pekan Kargil di Kargil Main Bazaar Road.

Kami tiada masalah mendapatkan makanan halal di sini kerana 99 peratus penduduk Kargil beragama Islam. Mengikut rancangan asal kami akan berehat di Kargil semalam saja, dan dua malam di Srinagar sebelum kembali ke Delhi.

TASIK Dal yang indah dan nyaman menjadi penutup terbaik untuk ekspedisi India.
TASIK Dal yang indah dan nyaman menjadi penutup terbaik untuk ekspedisi India.

Bagaimanapun kami terima berita yang mengatakan jalan masuk ke Srinagar ditutup kerana sehari selepas kami tiba di Kargil, satu keputusan mahkamah mengenai isu pemilikan tanah di negeri Jammu Kashmir akan diumumkan, dan dikhabarkan bakal berlaku beberapa siri bantahan dan semua premis perniagaan ditutup.

Penutupan ini adalah perkara biasa untuk mengelakkan sebarang kekecohan setiap kali timbul isu-isu tertentu di sini. Tindakan awal kami dalam situasi begini adalah membeli beberapa botol air mineral dan makanan seperti biskut dan roti untuk menghadapi sebarang kemungkinan termasuk perintah berkurung.

Malam itu, dari beranda bilik hotel kami melihat kenderaan bertali arus di jalan sehala di hadapan hotel. Jangkaan kami, masing-masing terutama para pelancong ingin segera keluar dari pekan itu sebelum ia ‘lumpuh’ kerana perintah berkurung.

Bagaimanapun, keadaan agak reda keesokan harinya. Cuma ada beberapa perarakan tunjuk perasaan oleh penduduk tempatan. Khuatir dengan keselamatan, kami tidak berani keluar dari hotel.

Terkandas di pekan koboi Kargil, kami memanfaatkan peluang berada di situ, sungguhpun tidak dapat pergi jauh. Pada petang hari kedua, selepas keadaan agak reda, kami membuat keputusan untuk berjalan-jalan sekitar pekan.

Walaupun tiada yang menonjol di pekan kecil ini, Kargil sebenarnya menarik dengan auranya yang tersendiri. Keramahan penduduknya, keenakan makanannya dan keunikan bangunan binaan tanah liatnya cukup menyentuh hati kami.

PERHENTIAN di pos keselamatan untuk meneruskan perjalanan ke Srinagar.
PERHENTIAN di pos keselamatan untuk meneruskan perjalanan ke Srinagar.

KARGIL-SRINAGAR

Selepas diberitahu laluan ke Srinagar dibuka semula, pada hari ketiga selepas solat Subuh kami bertolak meninggalkan Kargil.

Perjalanan sejauh 200km ini dijangka mengambil masa enam atau tujuh jam. Perjalanan kami yang bermula dengan lancar membelah kegelapan awal pagi, mula perlahan selepas melintasi perbatasan Ladakh dan memasuki Kashmir.

Selama berjam-jam kenderaan kami memintas satu demi satu daripada puluhan kenderaan tentera yang bergerak perlahan menuju arah yang sama.

Penulis mula tertanya-tanya apakah sebenarnya berlaku di Srinagar atau adakah ini pemandangan biasa di wilayah bergolak ini.

Selepas hampir empat jam perjalanan, jalan utama Kargil-Srinagar yang awalnya memang sempit dan berliku bertukar menjadi jalan denai, tanah berbatu dan berdebu, berlekuk di sana sini seakan-akan jalan lori angkut batu dari kuari di lereng gunung.

Manakala, altitud pula semakin tinggi dan berkabus, sedangkan sungai di dasar gaung di tepi jalan tanah yang tidak berpenghadang pula tampak semakin sayup, mungkin 1,000 meter ke bawah.

PEMANDANGAN sepanjang perjalanan dari Leh menuju Kargil.
PEMANDANGAN sepanjang perjalanan dari Leh menuju Kargil.

Menjenguk keluar tingkap kenderaan seakan-akan meninjau dari tingkap pesawat terbang. Sepanjang perjalanan menyusuri laluan di tepi jurang dalam, penulis mengakui rasa gayat dan jantung pula seakan-akan mahu gugur.

Rupa-rupanya inilah Zoji La Pass yang terkenal itu. Merentasi ketinggian 3,528m, Zoji La Pass ialah jalan utama yang menyambungkan Ladakh dan lembah Kashmir. Kecut hati apabila mengenangkan ia termasuk di dalam senarai jalan raya paling bahaya di dunia.

Ada masanya penulis kira hanya beberapa kaki jarak antara tayar kenderaan dengan tebing jurang. Keadaan jalan ini umpama dalam cerita kartun di mana jalan melilit gunung menuju ke puncak.

Selepas enam jam perjalanan, kami tiba di Srinagar. Ketibaan kami disambut hujan yang agak lebat. Srinagar yang tiada sistem perparitan dengan mudah dinaiki air dan banjir kilat menyebabkan jalan sesak melekat tidak boleh bergerak. Kenderaan dari pelbagai arah pula berasak-asak mahu jalan dulu.

Akhirnya selepas sejam bersesak dalam banjir, kami tiba di tempat penginapan iaitu Hotel De Apple dengan bantuan GPS. Petang pertama di Srinagar kami habiskan dengan menaiki sampan yang berhias indah, diukir dan dicat berwarna-warni di Tasik Dal, tasik kedua terbesar di negeri Jammu-Kashmir.

Tidak banyak yang dapat kami terokai selama 16 jam berada di Srinagar, ibu negeri musim panas Jammu Kashmir ini. Penulis simpulkan ia sebuah bandar yang agak ‘comot’ dan tidak tersusun.

PEKAN Kargil terletak di sepanjang Sungai Suru.
PEKAN Kargil terletak di sepanjang Sungai Suru.

Jam 4 pagi keesokan harinya penulis, Barry, Majdi dan Zalina bertolak ke Lapangan Terbang Antarabangsa Sheikh ul-Alam, Srinagar. Bagaimanapun, pintu masuk utama jalan menuju ke lapangan masih belum dibuka kepada orang awam. Hanya anggota tentera berkawal yang kelihatan keluar dan masuk. Kawalan keselamatan memang sangat ketat.

Sebaik masuk pintu pagar utama, semua bag perlu diangkut keluar dari kenderaan dilalukan ke mesin pengimbas sebelum dipunggah semula ke dalam kenderaan untuk meneruskan perjalanan ke terminal.

Selepas melalui pemeriksaan keselamatan yang begitu ketat, bag sandang penulis habis diselongkar, akhirnya tepat pukul 11 pagi penerbangan dengan pesawat GoAir meninggalkan Srinagar membawa penulis kembali ke New Delhi. Dalam penerbangan, kami bersyukur semuanya selamat walaupun ada impian yang tidak tercapai.

•Anda ada kisah percutian atau pengembaraan yang hendak dikongsikan? Tunggu apa lagi, kirimkan cerita perjalanan menarik anda kepada kami di .

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 11 November 2018 @ 9:02 AM