MUZIUM Mevlana yang menerima kunjungan jutaan pengunjung setiap tahun.
MUZIUM Mevlana yang menerima kunjungan jutaan pengunjung setiap tahun.
Fairul Asmaini Mohd Pilus


SELAIN Istanbul, Pamukkale, Bursa dan Cappadocia yang popular dalam kalangan pelancong Malaysia, Konya juga sebenarnya perlu berada dalam senarai bandar yang perlu dilawati jika berkunjung ke Turkiye.

Terletak di selatan Ankara, Anatolia Tengah, Konya boleh dilawati menerusi lapan jam perjalanan melalui jalan darat, empat jam 15 minit dengan tren laju atau hanya kira-kira satu 15 minit penerbangan.

Bandar dengan populasi lebih dua juta penduduk itu pernah menjadi pusat pemerintahan kerajaan Seljuk antara 1071 hingga 1308.

Sejujurnya, bandar berkenaan bukan destinasi pilihan utama pelancong dari Malaysia, namun kunjungan penulis ke bandar itu baru-baru ini jelas membuka mata mengenai keindahan sebenar bumi yang digelar The City of Hearts itu.

Atas jemputan Turkiye Tourism Promotion and Development Agency (TGA), penulis bersama 29 wartawan dari pelbagai negara seluruh dunia berpeluang menjelajah Konya selama empat hari.

Ia sempena sambutan memperingati ulang tahun kematian tokoh sufi, ahli falsafah dan penyair terkenal Turkiye Maulana Jalaluddin Mohamad Rumi atau lebih dikenali sebagai Rumi.

Destinasi tarikan utama pelancong ke bandar Konya tidak lain tidak bukan tentunya Muzium Mevlana yang menerima jutaan pengunjung setiap tahun.

Selain menempatkan makam tokoh berkenaan dan tempat belajar agama, kompleks muzium itu juga diserikan dengan taman bunga ros serta koleksi naskhah al-Quran termasuk yang terkecil di dunia daripada era kerajaan Uthmaniyyah.

Lambang ikoniknya adalah kubah hijau dan bersebelahan dengannya terletak masjid terkenal, Masjid Selimiye yang indah dengan seni bina kerajaan Uthmaniyyah.

Ia sentiasa sesak dengan kehadiran orang ramai dan pengunjung perlu memakai plastik pelapik kasut sekiranya ingin memasuki kawasan dalam muzium.

Melihat beberapa makam tokoh agama, pelbagai saiz al-Quran, seni reka dalaman dan peralatan pe

ribadi sultan daripada kerajaan Uthmaniyah yang digunakan suatu ketika dulu, terasa begitu besarnya pengaruh Islam di sini.

Tidak jauh dari situ, terletak bazar lama yang menjual pelbagai jenis kraf tangan masyarakat setempat, makanan dan manisan tempatan, kopi, pakaian serta barangan perhiasan.

Harga manisan seperti lokum, baklava, lokma, halka tatlisi atau halwa di sini jauh lebih murah jika dibandingkan dengan Spice Bazaar di Istanbul selain kualiti dan rasanya juga setanding.

Namun, kekangan utama bagi pelancong ke bazar ini adalah masalah bahasa kerana hampir kebanyakan penduduk Konya tidak memahami bahasa Inggeris. Jadi, urusan jual beli hanya menggunakan nombor di kalkulator.

Bagi peminat sejarah pula, Panorama Konya Muzium juga perlu dilawati dan muzium itu menempatkan sejarah kehidupan Mualana Jalaluddin dari beliau kecil hingga saat kematiannya.

WARTAWAN dari pelbagai negara seluruh dunia diterbangkan khas ke bumi Konya sempena acara Seb-i Arus bagi memperingati ulang tahun kematian Maulana Jalaluddin Rumi, baru-baru ini.
WARTAWAN dari pelbagai negara seluruh dunia diterbangkan khas ke bumi Konya sempena acara Seb-i Arus bagi memperingati ulang tahun kematian Maulana Jalaluddin Rumi, baru-baru ini.

Ia divisualkan dalam bentuk tulisan penceritaan, model patung tiga dimensi (3D) dan lukisan menarik yang tidak membosankan pengunjung.

Selain itu, pengunjung juga berpeluang melihat model penempatan, Mevlevi Lodge yang banyak mempengaruhi gaya hidup dan budaya masyarakat Turkiye.

Andai masih mempunyai masa, jangan lupa singgah di kompleks IRFA yang terletak bersebelahan muzium berkenaan.

Ia adalah pusat maklumat kesenian dan kebudayaan masyarakat Turkiye yang menarik untuk diterokai.

Di sini, pengunjung juga berpeluang mempelajari cara pembuatan kraf tangan berasaskan bulu haiwan seperti topi, karpet perhiasan dan penghasilan lukisan cat minyak.

Dalam pada itu, Muzium Karatay yang terletak tidak jauh dari Muzium Ince Minare dan Masjid Alaeddin juga tidak kurang menariknya untuk dikunjungi.

Seperti kebanyakan muzium lain di Konya, ia juga pada asalnya adalah sebuah madrasah pengajian Islam sebelum dijadikan muzium.

Muzium Karatay adalah lokasi penting hasil kerja tangan, jubin marmar ketika era kerajaan Seljuk dan kini dijadikan sebagai muzium marmar.

Sebenarnya banyak lagi lokasi menarik yang boleh dikunjungi jika mengunjungi Konya.

Empat hari yang diberikan tidak mencukupi untuk penulis menjelajahi keseluruhan bumi indah itu dan ia adalah pengalaman yang tidak akan dilupakan.

Manakan tidak, dalam kunjungan itu penulis dan rakan wartawan lain turut berpeluang menyaksikan secara eksklusif acara penting bagi masyarakat Turki sempena memperingati kematian Maulana Jalaluddin Rumi iaitu Seb-i Arus dan Tarian Sema.

>>BERSAMBUNG MINGGU DEPAN

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 25 Disember 2022 @ 7:00 AM