MENJELANG 17 Disember setiap tahun, bandar Konya, Turkiye menjadi tumpuan pelancong dari seluruh dunia untuk menyaksikan acara sambutan memperingati kematian tokoh sufi yang juga penyair terkenal, Maulana Jalaluddin Rumi atau dikenali sebagai Rumi.
Program yang dikenali sebagai Seb-i Arus atau 'pertemuan semula dengan Tuhan' itu diadakan di Pusat Kebudayaan Mevlana dan dihadiri ribuan pengikut sufi dari seluruh dunia.
Penulis antara 30 wartawan dari seluruh dunia diterbangkan khas ke bandar itu bagi menyaksikan sendiri acara yang ditunggu-tunggu pada setiap tahun oleh masyarakat Turkiye.
Paling mengujakan pastinya acara yang menampilkan persembahan Tarian Sema (Whirling Dervishes) berkonsepkan sufi kerohanian yang dicetuskan Rumi.
Persembahan spiritual hampir dua jam itu menampilkan banyak falsafah ketuhanan dan kehidupan yang diterjemahkan menerusi bacaan ayat suci al-Quran, doa serta tarian berpusing-pusing oleh penarinya.
Ini kerana bagi Rumi, kematiannya bukan pengakhiran yang perlu diratapi sebaliknya ia adalah pertemuan dan penyatuan indahnya dengan Tuhan tercinta.
Penulis yang pertama kali melihat tarian itu juga kagum dengan keupayaan penarinya berpusing-pusing dalam satu tempoh yang agak lama.
Kami dimaklumkan, untuk menjadi 'master' dalam tarian itu, seseorang itu perlu mempelajari teknik dan asas lain selama bertahun- tahun lamanya, ternyata ia bukan sesuatu yang mudah.
Apatah lagi setiap gerakan dan penghayatan dalam tarian itu mempunyai maksud tersendiri.
Penarinya juga perlu meninggalkan segala emosi untuk merasai kerinduan dan kecintaan yang mendalam kepada Tuhan.
Selain menyaksikan persembahan Tarian Sema, rombongan wartawan juga berpeluang bertemu dengan generasi ke-22 Rumi iaitu Esin Celebi.
Meskipun sudah lanjut usia namun wanita itu tetap kelihatan bersemangat untuk berbicara mengenai acara sambutan berkenaan dan falsafah moyangnya.
Dalam pada itu, pada kunjungan yang sama, penulis dan rakan wartawan lain turut dibawa melawat tapak arkeologi penempatan tertua masyarakat zaman Neolitik di Catalhoyuk.
Ia turut disenaraikan dalam senarai Tapak Warisan Dunia oleh Pertubuhan Pendidikan Kebudayaan dan Saintifik Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (Unesco) dan sehingga kini proses penggalian untuk mencari kesan peninggalan sejarah lain masih dijalankan.
Pengunjung juga berpeluang melihat model rumah contoh penempatan terawal itu yang dibina semula.
Desa perkampungan, Sille yang dahulunya adalah kawasan penempatan terawal Greek di Turkiye juga tidak kurang menariknya untuk disinggahi.
Perkampunyan kecil yang memiliki pemandangan gunung-ganang indah dan sungai di tengahnya itu mempunyai tapak peninggalan rumah gua, gereja tertua, Hagia Helena (kini dijadikan sebagai muzium) dan masjid lama yang dipulihara dengan baik oleh kerajaan Turkiye.
Memang menyeronokkan dapat menyelusuri perkampungan tradisional indah itu sambil mendekati kehidupan masyarakat setempat.
Ia kini menjadi lokasi tumpuan pelancong asing mahupun penduduk bandar berkenaan terutama pada hujung minggu.
Sementara itu, untuk ke bumi Konya, anda boleh menggunakan penerbangan Turkish Airlines yang menyediakan penerbangan terus dari Kuala Lumpur ke Istanbul.
Penerbangan selama 10 jam memang tidak terasa apatah lagi jika memilih tempat duduk kelas perniagaan yang luas dan selesa.
Kerusinya boleh diubah menjadi katil tidur dan lebih istimewa, penumpang juga boleh memilih pelbagai menu hidangan enak yang disediakan oleh cef berpengalaman di awan biru.
Dari Istanbul, pelancong boleh menaiki penerbangan domestik syarikat penerbangan itu ke Konya dengan tempoh penerbangan kira-kira satu jam 15 minit sahaja.
Jadi apa lagi, jika berhasrat mengunjungi negara yang kaya dengan warisan Islam, Greek dan Rom itu, jangan lupa singgah di Konya.
Anda bukan sahaja akan terpukau dengan keindahan bentuk muka bumi dan tinggalan sejarahnya malah pasti tertarik dengan keramahan, kebersihan dan kejujuran masyarakatnya.
Memetik kata Rumi, 'Yakinlah, di Jalan Cinta itu, Tuhan akan selalu bersamamu."
Tekrar gorusuruz Konya! (Jumpa lagi Konya!)